Haul Imam Haddad 2010

Published October 20, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Habib Umar Al-Hafiz dari Tarim, Hadralmaut Yaman

Ahad lepas saya hadir dalam majlis Haul Imam Hadad yang diadakan di Masjid Al-Falah USJ 9. Majlis ini bermula pada pukul 5.30 petang dan selesai jam 9.30 malam. Majlis yang penuh barakah ini dihadiri oleh Rektor Darul Mustafa, Tarim Yaman iaitu Habib Umar Al-Hafiz dari keturunan Rasulullah saw. Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran alim ulama lain yang tidak kurang hebatnya menyampaikan tausiyah dan nasihat-nasihat yang berguna untuk jemaah yang hadir. Haul Imam Haddad adalah acara tahunan di Yaman untuk memperingati ulama tersohor Habib Haddad yang terkenal dengan

Semasa saya sampai di masjid kelihatan khemah-khemah jualan didirikan di perkarangan masjid. Kenderaan banyak namun alhamdulillah pihak masjid menyediakan pengawal keselamatan untuk menunjukkan arah parking di kawasan padang permainan bersebelahan masjid. Jauh-jauh kedengaran wirid-wirid dan diselangi dengan tausiyah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang hadir. Suasana di perkarangan masjid sungguh mengujakan. Bagi saya ini pengalaman pertama menghadiri majlis seumpama ini. Jemaah yang hadir memakai jubah putih, serban dan kain rida yang disangkutkan di bahu. Saya terasa seperti berada di zaman ulama-ulama dahulu apabila ramai jemaah yang memakai pakaian yang mirip dengan pakaian ulama-ulama besar nusantara dahulu. Suasana yang menyebabkan saya terasa terasing sekali di tengah-tengah lautan manusia serba putih. Namun suasana sebegini menyebabkan hati menjadi tenteram melihat wajah-wajah yang tenang dan tenteram.

 

Kebanjiran penuntut-penuntut agama

Kawalan keselamatan

Gerai-gerai jualan

Sebelum itu saya  melawat gerai-gerai yang mempamerkan buku-buku tulisan ulama-ulama Melayu silam atau dipanggil Kitab Kuning nukilan ulama-ulama tersohor seperti Syeikh Daud Al-Fathani dan Tok Kenali. Antara kitab-kitab yang dijual ialah seperti Munyatul Musolli yang masih diamalkan sejak 200 tahun yang lalu dan kini masih diajarkan di pusat-pusat pengajian pondok seluruh negara.  Begitu juga dengan kitab-kitab lama yang diberi sentuhan baru oleh ulama-ulama kontemporari seperti Almarhum Wan Mohamad Saghir. Barulah saya sedar bahawa selama ini ulama-ulama terdahulu telah meninggalkan begitu banyak khazanah warisan yang tidak ternilai harganya. Warisan yang berupa amalan-amalan pendinding seharian yang kini jarang-jarang diamalkan oleh generasi masa kini.

Penjual-penjual gerai menghampiri saya dan mempromosikan buku-buku mereka dengan menawarkan tawaran yang tidak pernah saya fikirkan. Tawaran yang bukan dalam bentuk wang ringgit atau material sebaliknya tawaran dalam bentuk pahala.

Tuan, belilah buku Lum’atul aurad ini, ia mengandungi koleksi selawat yang diamalkan oleh ulama dahulu. Banyak khasiatnya kalau diamalkan selalu“.

“Tuan belilah buku ini, lihat muka surat 114 ada ratib haddad. Selain itu, ada wirid-wirid khusus. Tuan boleh ikuti pengajian kitab ini juga setiap Jumaat selepas maghrib” seorang anak muda mempromosikan buku tulisan guru beliau.

Semasa membelek-belek buku sSeorang penuntut ilmu berkata kepada saya, ” Duit boleh dicari Tuan tetapi buku-buku ini sukar untuk didapati sekarang”.

Saya mengiyakan kata-katanya dan akhirnya, RM 70+ dikeluarkan untuk membeli beberapa buah buku.

Lum’atul Aurad dikarang pada 1311 Hijrah/1894 Masihi

Selalunya kalau pergi ke pesta-pesta jualan murah di pasaraya,PC Fair atau Matta Fair kita akan teruja dengan tawaran harga yang sukar untuk diketepikan. Tawaran murah tiket kapal terbang, harga barang yang jauh lebih murah dari kebiasaan adalah fenomena yang biasa kita lihat. Kita sanggup bersesak-sesak, bertolak-tolak, berebut-rebut, sanggup datang awal dan tidak kisah jika terpaksa beratur panjang demi mendapatkan apa yang dihajati dengan tawaran harga yang murah. Kita tidak kisah dengan segala kesusahan itu kerana hasilnya sungguh memuaskan hati.

Sebaliknya tawaran yang ditawarkan di sini pula adalah dalam bentuk ganjaran yang tidak nampak di mata, tidak boleh disentuh dek tangan dan tidak boleh dipuaskan di hati melainkan hasilnya akan hanya dapat dituai di hari akhirat kelak. Sungguh berbeza dan luar biasa sekali. Anak-anak muda remaja, belia-belia tidak henti-henti mempromosi buku-buku tulisan ulama-ulama terdahulu. Rupa-rupanya masih ada lagi pemuda yang mengabdikan dirinya kepada agama Allah ketika majoriti pemuda di luar sana kian hanyut ditelan arus dunia.

Tiba-tiba saya rasa bertambah terasing, jahil dan terasa cemburu melihat gelagat beberapa anak-anak muda yang membeli buku-buku lama tersebut kerana mereka benar-benar ingin memahami isi kandungannya. Moga Allah memberkati mereka dan menjadikan mereka ulama muktabar untuk umat akan datang.

 Azan maghrib berkumandang. Para jemaah berpusu-pusu memasuki ruang solat. Solat maghrib diimamkan sendiri oleh Habib Umar Al-Hafiz. Selesai solat, majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari Surah At-Takathur. Biar pun pendek namun saya dapat mengagak bahawa tujuan dibacakan surah ini ialah bagi mengingatkan jemaah mengenai kubur dan kematian. Bacaan dari imam sungguh merdu walaupun seketika.

Acara diteruskan dengan tausiyah yang disampaikan oleh salah seorang Habib dari Jakarta. Saya tidak ingat namanya tetapi tausiyah dan pesanan pesanan yang diberikan sungguh mengesankan. Beliau berkata bahawa perkara utama yang perlu ditanamkan di dalam jiwa setiap muslim sebelum melakukan perintah seperti solat dan puasa ialah “yakin” kepada Allah. Keyakinan yang sebenar-benarnya. Yakin yang mampu membawa kepada rasa harap dan pergantungan yang lebih kepada Allah. Beliau membawa contoh Sayyidina Ali r.a dalam satu peristiwa di mana anak panah terpacak di tubuh beliau meminta supaya anak panah itu dicabut dan lukanya dibersihkan ketika beliau tenggelam dalam tawajuhnya kepada Allah melalui solatnya. Ada yang menyatakan bahawa perkara ini mustahil untuk berlaku di zaman mutakhir ini, namun Habib tersebut membawa kisah benar yang berlaku kepada seorang ulama di Indonesia  yang dibedah otaknya dalam keadaan dirinya sedang hanyut berzikir kepada Allah. Walaupun beliau boleh sahaja dibius kerana darurat namun beliau menolak kerana baginya darurat itu hanya terpakai untuk orang awam tetapi bukan untuk dirinya. Beliau tidak mahu bahan-bahan luar yang syubhah masuk ke dalam dirinya kerana boleh menjejaskan imannya kepada Allah. Keyakinan inilah yang sepatutnya ditanam dalam setiap jiwa muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya.

 

Suasana padat dalam masjid

Dari celah tiang – Habib Umar

Usai tausiyah, majlis diteruskan dengan lantunan alunan Qasidah nukilan Imam Haddad yang sungguh merdu. Suara imam yang merdu ditambah dengan sistem akustik yang menyebabkan semua terpaku dan terpegun. Qasidah yang melembutkan hati mereka yang mendengarnya.

Rumah yang dinaikkan darjatnya oleh Allah

Habib Umar memberikan tausiyahnya dengan menekankan konsep rumah di dalam Islam. Rumah yang hebat bukan terletak pada hiasan dalamannya, pada permaidani atau perabotnya tetapi rumah yang hebat di sisi Allah adalah rumah yang sentiasa dihidupkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sepanjang masa. Beliau membawa contoh rumah Imam Haddad sendiri yang sempit di mana pembelajaran dilakukan di atas tangga sahaja, namun rumah tersebut berjaya melahirkan insan-insan yang hebat dan karya-karya yang besar. Beliau juga membawa contoh rumah baginda Rasulullah saw yang sempit sehingga bumbung rumah baginda boleh dicapai dengan tangan. Hidupkan rumah dengan bacaan surah Yassin seperti yang banyak diamalkan di negara Yaman ujar beliau lagi.

Akhirnya majlis disudahi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Habib Umar. Para jemaah menadah tangan. Doa Habib dibaca dan diterjemahkan. Ketika doa dibacakan saya terasa suasana yang sungguh nyaman di dalam masjid. Ada suara tangisan di belakang saya. Mungkin kerana terlalu menghayati maksud doa yang dibaca oleh beliau. Terasa seperti ada aliran arus letrik yang mengalir di celah-celah jemaah. Sungguh luar biasa sekali, suasana yang jarang didapati di tempat lain.

Majlis diakhri dengan solat Isyak berjemaah dan selepas itu semua bersurai dengan penuh kepuasan di jiwa> Kepuasan yang tidak tergambarkan bila menerima siraman rohani dari Habib yang mulia.

Abu Wafi, USJ 9 (17 Oktober 2010) 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: