Di mana ulama di hati kita

Published October 14, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Habib Ali Jaafar Al-Idrusi

Ustaz Ahmad Sonhadji

Tuan Guru Hj Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman

Mereka bukan manusia yang menjadi kegilaan dan pujaan peminat. Tiada jeritan histeria peminat dan siulan anak-anak muda yang menyambut kedatangan mereka. Tiada sambutan ‘red carpet’ atau majlis anugerah bintang popular setiap tahun untuk mereka. Tiada anugerah penulisan karya terbaik untuk mereka yang ingin dihebahkan ke seluruh negara. Tiada wartawan khusus untuk melaporkan berita mereka secara eksklusif. Tiada segmen khas atau segmen gosip untuk melaporkan aktiviti hidup mereka setiap hari. Apa yang mereka lakukan dari subuh hingga subuh berikutnya tiada siapa yang sudi melaporkannya walaupun seluruh perjalanan kehidupan mereka itu penting untuk dijadikan suri teladan.

Nama mereka tidak segah nama bintang-bintang popular tanahair. Nama mereka tidak popular seperti nama bintang-bintang sukan tanahair. Mereka tidak popular di kalangan muda mudi hari ini. Mereka bukan ikon atau idola yang boleh dijadikan contoh ikutan remaja hari ini. Mereka popular dalam kelas mereka yang tersendiri di kalangan anak-anak murid yang setia dan kasihkan mereka. Cerita mereka tidak bisa meletupkan atau melariskan jualan akhbar kerana mereka bukan celebrity’ yang perlu diraikan. 

Kehidupan mereka seadanya. Tiada siapa yang mempedulikan mereka, namun mereka bahagia dengan mengharap keredhaan Allah. Mereka langsung tidak mengharapkan semua itu kerana mereka telah dididik bahawa apa yang ada di dunia ini adalah habuan yang bersifat sementara, sedangkan akhirat itu sebenarnya yang lebih kekal.

Hanya segelintir manusia yang mengenali dan mengagumi mereka.

Hanya segelintir manusia yang mendampingi mereka.

Manusia yang telah dipilih oleh Allah untuk mengenali mereka dan menadah ilmu berguna tinggalan mereka. Manusia yang minoriti dari kalangan manusia terbanyak.

Tidak popularnya mereka mengingatkan saya kepada kisah tabi’en hebat Uwais Al-Qarni@ Qarani.

Uwais tidak popular di kalangan penduduk dunia, tidak ramai yang mengenalinya malah ada yang menganggapnya sebagai gila. Namun nama Uwais Al-Qarni sangat popular di kalangan penduduk langit. Para malaikat menyebut-nyebut nama beliau. Rasulullah saw sendiri ketika hayatnya berpesan kepada para sahabat supaya mencari Uwais Al-Qarani dan pintalah Uwais mendoakan mereka.

Uwais hidup di zaman Rasulullah saw namun tidak dianggap dalam kategori sahabat kerana Uwais tidak pernah bertemu dengan Rasulullah saw secara nyata kerana faktor geografi yang jauh. Uwais hidup dalam kemiskinan bersama ibunya jauh di negara Yaman. Jika tidak kerana kedudukan yang jauh dan faktor kehidupan Uwais yang serba kekurangan, Uwais sudah pasti turut sama berjuang bersama Rasulullah saw di Madinah.

Usai kewafatan Rasulullah saw, para sahabat menunggu-nunggu kedatangan beliau setiap kali tibanya musim haji. Mereka menunggu jemaah dari Yaman. Takdir menentukan bahawa Sayyidina Umar menjadi orang pertama berjumpa dengan Uwais semasa Uwais menunaikan haji bersama bondanya di Makkah. Saidina Umar berpegang dengan  pesanan Rasulullah saw dan lantas meminta Uwais mendoakan untuk beliau. Doa Uwais  mustajab kerana keihklasan dan ketaqwaannya kepada Allah.

Tahun 2010 kita menyaksikan pemergian 3 tokoh ulama besar negara dan nusantara buat selama-lamanya. Mereka pergi meninggalkan ilmu yang berguna untuk umat ini. Kehilangan mereka adalah musibah kepada umat kerana ulama adalah pewaris para nabi.

Rasulullah saw bersabda daripada Abu Darda’; Sesiapa yg pergi di pagi hari kerana,  inginkan ilmu dan mempelajarinya semata-mata kerana Allah nescaya Allah membukakan baginya satu pintu syurgaNya,  para Malaikat membentangkan sayapnya untuknya, para malaikat 7 petala langit mendoakan rahmat untuknya; dan demikian juga ikan-ikan di laut. Kelebihan orang alim itu ke atas orang abid adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang di langit. Para ulama itu adalah pewaris nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, sesiapa yg mengambil ilmu maka dia mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu, matinya seorang alim adalah satu musibah yg sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi, ini adalah umpama bintang yg hilang sirna (di antara bintang-bintang), sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding seorang alim. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi,ibn Majah dan Baihaqi)

Sesungguhnya kita merasa sedih dengan layanan yang diterima oleh mereka ketika hidup. Tidak ramai yang menghiraukan mereka atau berusaha untuk mengambil ilmu dari mereka. Tidak ramai yang berminat untuk mencontohi mereka.  Tidak ramai yang mahu menjadikan sifat ‘qanaah’ dan ‘tawadhuk’ yang ada pada diri mereka sebagai sifat-sifat terpuji yang perlu ditanamkan di dalam diri seorang insan. Tidak hairanlah jika manusia hari ini semakin hilang keinsanan bila sifat-sifat mahmudah seperti tawadhuk, dan qana’ah hampir tiada dalam diri mereka sebaliknya digantikan dengan sifat-sifat ego, besar diri  dan tamak dengan harta dunia. Kerana mereka mencontohi ikon yang salah dalam kehidupan mereka, ikon yang jauh dari Allah.

Ustaz Ahmad Sonhadji cukup popular di sekitar tahun 1980-an di radio Singapura dengan pengajian Tafsirnya. Malahan tafsirnya dibukukan dan dijual di pelosok negara. Banyak nasihat-nasihat agama yang dicurahkan oleh beliau melalui penulisan tafsir yang mudah diafahami oleh masyarakat.

Habib Ali atau lebih dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat sering menjadi tumpuan masyarakat Islam seluruh dunia. Ramai ulama dari luar negara terutama dari Yaman akan singgah di Batu Pahat untuk menziarahi beliau setiap tahun. Pemergiaan beliau adalah satu kehilangan besar kepada umat.

Amalan Habib Ali , istighfar 10 kali pagi dan petang

Habib Ali adalah orang yang sangat sederhana, dengan rumah yang sangat kecil, sempit dan tergolong rumah dari rakyat jelata kalangan fuqara, ruang tamunya tak pernah kosong dari ratusan botol air aqua dari para tamu yg meminta air doa dari beliau, beliau sangat santun pada para tamu dari segala kalangan, kalangan kaya, miskin, ulama, awam, dan siapapun, jika mereka kunjung pada jam makan, maka tak mungkin tamunya diizinkan pulang sebelum makan bersama beliau, dan salah satu sifat rendah hati yang sangat mengagumkan pada peribadi beliau adalah selalu meminta doa dari tamunya, tak pernah mau beliau berdoa kecuali tamunya yang berdoa, jika tamunya tak mau berdoa maka tak diizinkan pulang, demikian santun budi pekerti beliau – Petikan dari tulisan al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa.

Begitu istimewanya Habib Ali bagi mereka yang sempat mengenalinya.

Manakala Tuan Guru Hj Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Teh Kroh” adalah seorang pendidik yang gigih membangunkan pesantren @ pondok di Perak. Sehingga kini pusat pengajiannya masih hidup subur dengan ratusan pelajar. Beliau juga salah seorang ahli Majlis Fatwa Negeri Perak cukup terkenal dengan keilmuan yang tinggi.

Layanan terhadap mereka mengingatkan saya kepada peristiwa lalu. Beberapa tahun yang lepas seorang ulama tersohor Ustaz Wan Saghir meninggal dunia. Almarhum seorang yang komited dengan ilmu sehingga pernah dipapah selepas membentangkan kertas kerja. Setiap Isnin, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah akan menulis di dalam ruangan Agama, Mega. Kebetulan semasa kematian Almarhum, seorang tokoh judi negara juga telah meninggal dunia. Namun kematian tokoh judi tersebut mendapat liputan seluas-luasnya. Besar sungguhkah jasa tokoh tersebut kepada negara sehingga menenggelamkan jasa ulama besar ini.

Saya hanya mahu membawa pembaca kepada satu persoalan yang selama ini mungkin dilupakan oleh sebahagian besar dari kita iaitu di mana kita meletakkan ulama-ulama di hati kita? Apakah selama ini kita telah memberikan layanan yang sewajarnya kepada mereka? Mereka tidak meminta layanan VVIP tetapi seharusnya kita memuliakan mereka kerana mereka adalah pewaris para nabi.

Lihatlah di sekeliling kita, ada berapa ramai lagi ulama yang masih tinggal. Perhatikan ulama-ulama yang mengorbankan seluruh hidup mereka di jalan-jalan Allah untuk memperbetulkan umat ini. Renunglah dan dekatilah mereka selagi hayat mereka masih tersisa. Mintalah nasihat dari mereka dan pohonlah mereka mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat kita.

Salah satu cara untuk memperbaiki hati yang rosak ialah dengan mendampingi alim ulama. Nasihat-nasihat mereka amat berguna untuk hidup kita. Mencintai mereka samalah dengan mencintai Rasulullah saw kerana cinta mereka lebih dekat dengan baginda berbanding kita. Cintailah orang-orang yang hampir dengan baginda.

Jadikan mereka sebagai ikon kehidupan yang perlu diteladani. Jadikan amalan-amalan zikir mereka sebagai contoh ikutan amalan harian kita.

Bukanlah menjadi tujuan saya untuk mengajak semua mengagung-agungkan mereka cuma sekadar menarik perhatian masyarakat kepada kewujudan dan sumbangan mereka kepada umat.  Menghargai dan meletakkan sumbangan mereka sewajarnya untuk diambil manfaat bagi memandu kehidupan dunia dengan selamat dan sejahtera.

Abu Wafi

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: