Tarawih bersama Syeikh Romi

Published August 16, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan kali ini saya berterawih di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. Seperti tahun-tahun sebelumnya masjid ini menampilkan imam jemputan iaitu Syeikh Romi dari Syria. Tahun lepas pun dia di sini juga cuma kali ini apa yang saya dapat kesan bacaannya sedikit berbeza dengan tahun lepas. Lebih bertenaga dan bertaranum menjadikan solat terawih 20 rakaat begitu membangkitkan jiwa.

Malam itu suasana agak berbeza dengan jemaah berpusu-pusu masuk ke dewan solat utama. Di luar kenderaan berjejal-jejal masuk. Parking penuh sehingga melimpah keluar. Situasi ini mengingatkan saya kepada suasana di Masjidil Haram yang tidak pernah sunyi dari kunjungan manusia. Alangkah indah jika perkara ini kekal sehingga selepas berakhirnya Ramadhan bila umat manusia berebut-rebut untuk melaksanakan solat berjemaah. Tentu gerun musuh-musuh Islam di luar sana jika perkara ini dapat dikekalkan kerana mereka tahu kekuatan Islam terletak pada kesatuan hati umat Islam seperti yang berlaku di zaman kegemilangan Islam dahulu.

Malam itu Syeikh Romi membaca surah Ali-Imran. Sesekali lantunan suaranya tinggi dan sesekali rendah dan mendayu-dayu. Hati saya bagaikan tertarik oleh sesuatu untuk menghayati setiap bait ayat-ayat Al-Quran yang dibacakannya. Biar pun saya bukan mahir berbahasa Arab namun pembacaan dan pengajian tafsir berkenaan surah ini sedikit sebanyak memberi bantuan kepada saya untuk memahaminya.

Tiba-tiba bacaan Syeikh Romi terhenti. Ada nada sebak dan ada bunyi tangisan beliau bila sampai ke satu ayat. Saya tidak dapat mengesan ayat apakah yang benar-benar menyentuh perasaan beliau sehingga menangis. Setahu saya, beliau membaca ayat-ayat mengenai ‘qital’ atau peperangan.Jemaah semua terdiam, mungkin semua terkejut dengan tangisan beliau yang berlaku secara tiba-tiba atau mungkin juga merasa hairan kerana tidak pernah bertemu dengan pengalaman seperti ini. Membaca Al-Quran dan kemudian menangis bila sampai ke ayat-ayat tertentu. Keadaan ini mungkin biasa di tanah suci tetapi mungkin pelik di negara kita.

Tidak lama kemudian, beliau meneruskan bacaannya sehingga selesai solat. Sungguh bermakna dan berharga sekali pengalaman solat di belakang beliau. Sungguh beliau benar-benar menghayati maksud yang tersirat di sebalik ayat-ayat yang dibaca.

Balik ke rumah saya membuka tafsir Al-Quran bersama isteri dan mencari ayat yang dibacanya berpandukan kepada ayat seterusnya yang beliau baca. Akhirnya saya terjumpa ayat tersebut dan saya meyakininya bahawa inilah ayat yang telah menyentuh hati beliau sehingga sebak dan mengalirkan air mata.

” Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. Ali-Imran :169

Inilah ayat yang sungguh istimewa. Ayat-ayat sebelum dan selepasnya giat menceritakan mengenai peristiwa perang Uhud dan balasan yang menimpa orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya.

Saya teringat kepada satu ceramah yang pernah saya hadiri dulu. Kata ustaz, kewajipan kita terhadap Al-Quran ada 3. Pertama, membaca Al-Quran, kedua memahami Al-Quran dan ke-3 mengamalkan ajaran yang dibawa dalam Al-Quran. Masalah yang kita hadapi sekarang ialah bagaimana kita mahu mengamalkan Al-Quran jika kita sendiri tidak memahaminya kerana Al-Quran bukannya diturunkan dalam bahasa kita. Justeru, kita perlu mengkaji dan memahami Al-Quran melalui tafsiran ulama-ulama muktabar seperti Tafsir Al-Azhar oleh HAMKA atau tafsir-tafsir lain  yang banyak di pasaran. Rajin-rajinlah menghadiri kelas-kelas pengajian tafsir yang diadakan di masjid dan surau kerana di situ letaknya kunci untuk kita memahami Al-Quran. Di dalam Al-Quran ada ayat-ayat yang muhkamat (jelas maksud atau direct) dan ada ayat-ayat yang mutasyabihat (samar dan memelukan tafsiran) justeru pengajian yang berterusan ke arah memahami Al-Quran perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Saya dapat rasakan satu nikmat besar sekiranya kita memahami Al-Quran sedalam-dalamnya. Bayangkan kita membaca Al-Quran seperti kita membaca novel kesukaan kita.Penuh penghayatan bila kita memahami jalan cerita dan setiap patah perkataan tanpa silap. Itu baru karya nukilan manusia sedangkan Al-Quran adalah kalam Allah yang tentunya lebih indah dan hebat. Tidak hairan jika mereka yang memahami Al-Quran mampu menangis bila membaca ayat-ayat menceritakan mengenai neraka dan mampu tersenyum bila tiba ke ayat yang menceritan mengenai nikmat syurga. Inilah kefahaman yang jelas dan tuntas. Kefahaman yang dirasai oleh generasi sahabat, tabie’n dan tabi’ tabi’en serta mereka yang mampu mencapai tahap ini. Iman mereka sungguh hebat dan luar biasa sekali.

Iman itu boleh bertambah dengan fahamnya kita kepada Al-Quran. Semakin mendalam kefahaman kita kepada Al-Quran semakin meningkat keimanan kita kepada Allah dan roh kita juga menjadi semakin kuat dengan sentuhan wahyu sepanjang masa.

Saya merenung ke dalam diri, sesungguhnya perjalanan kita untuk memahami Al-Quran masih jauh. Sedih bila mengetahui bahawa ramai umat Islam sekarang yang tidak tahu membaca Al-Quran. Jika tidak mengenal huruf, bermakna perjalanan untuk memahami dan seterusnya mengamalkan isi kandungan Al-Quran tentunya lebih jauh dan payah.

Pesanan ustaz, berusahalah setakat yang mampu, moga-moga Allah membantu kita dalam usaha yang murni ini.

Abu Wafi

One comment on “Tarawih bersama Syeikh Romi

  • assalamualaikom,
    ayat 169 yg di bacakan oleh mohamad al luhaidan ni juga telah menitiskan airmata jemaah yg ada…boleh follow video nya di youtube

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: