Lab @ Makmal Ramadhan

Published August 11, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Perkataan ‘lab’ atau makmal memang asing bagi saya kerana lab hanya sinonim dengan saintis. Namun sejak kerajaan memperkenalkan KPI dan NKRA perkataan lab sentiasa meniti di bibir penjawat awam. Lab kini bukan hanya untuk saintis sahaja malahan lebih jauh dari itu. Dari tempat tersorok dalam bilik untuk melakukan kajian, istilah lab telah diperluaskan kepada dimensi yang baru. Lab sebagai pusat penyelesaian masalah negara. Pada mulanya ramai yang merasa pelik dengan penggunaan isitilah ini, namun setelah acapkali diguna dan diperjelaskan fungsi dan peranan lab ini maka ramai mula memahaminya.  Istilah lab dikaitkan dengan penetapan KPI sesebuah agensi bagi melancarkan produktiviti dan keberhasilan.

Itu baru penetapan KPI dalan urusan dunia.Untuk dunia kita sanggup bersusah payah. Untuk dunia kita sanggup duduk berhari-hari di dalam lab bagi mencari penyelasaian yang tuntas dan mengkagumkan. Namun, bagaimana pula dengan urusan akhirat kita?

Bagaimana pula dengan KPI Ramadhan kali ini? Apa yang telah kita sasarkan untuk dicapai dalam tempoh 30 hari ini? Di mana pula bidang keberhasilan utama yang ingin kita capai?

Khatam Al-Quran?

Solat Terawih 20 rakaat di masjid?

Bersedekah setiap hari?

Zikir dan Qiyamulail setiap malam?

Inilah contoh-contoh KPI Ramadhan yang boleh kita pilih berdasarkan kemampuan diri kita. Pilihlah satu dan mohonlah bantuan Allah untuk melakukannya.

Pada Ramadhan tahun-tahun lepas, saya pernah berazam untuk khatam Al-Quran. Namun beberapa kali gagal kerana faktor-faktor keletihan dan mengantuk yang amat sangat.

Saya pernah bertadarus di sebelah malam selepas terawih namun lama-kelamaan saya jadi mengantuk kerana berjaga sehingga lewat malam.

Tahun lepas begitu juga, cuma bertadarrus di sebelah siang semasa waktu ‘lunch’ namun hanya bertahan separuh jalan kerana ramai yang tidak dapat memberikan komitmen penuh.

Tahun lepas hanya mampu sampai juzuk ke 7, tahun sebelumnya tidak sampai juzuk ke-5. Terus terang saya katakan bahawa saya cemburu pada kawan-kawan yang berjaya khatam Al-Quran. KPI Ramadhan saya pada ketika itu adalah khatam Al-Quran namun sehingga kini saya tidak berjaya mencapainya. Entah bilalah saya mahu mencapainya. Terasa lemahnya diri ini.

Sesungguhnya ujian untuk melakukan kebaikan itu terlalu besar dan sukar untuk dilalui. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya melaluinya dengan sabar dan tabah kerana tiada jalan singkat untuk menempah tiket ke syurga. Semuanya mahal dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga malahan sehingga nyawa melayang.

Tahun ini sekali lagi saya masuk dalam lab Ramadhan. Namun saya tidak lagi menetapkan KPI untuk khatam Al-Quran. Saya sedang mencari KPI baru untuk Ramadhan tahun ini.

Usah memaksa diri jika tidak mampu melakukannya.

Sesungguhnya bukan banyak atau sedikit amalan yang Allah pandang tetapi sejauh mana kebaikan yang terdapat di dalam amalan itu. Penentuan syurga atau neraka bukanlah berdasarkan kepada banyak atau sedikitnya amalan itu sebaliknya Allah menilai berdasarkan kualiti amalan tersebut.

” Sesungguhnya kami menjadikan dunia ini sebagai perhiasan bagi menguji siapakah di kalangan mereka yang paling baik amalannya”   [Al-Kahfi: 7]

Ingat, paling baik bukan paling banyak. Allah menggunakan perkataan “ahsan” yakni baik dan bukannya “aksaru” yakni banyak.

Semalam saya mengambil Al-Quran lalu membuka lembaran-lembaran di dalamnya. Saya membaca Surah As-Sajadah berkali-kali. Lalu saya merenung tafsirnya. Subhanallah, terlalu banyak peringatan yang diberikan oleh Allah di dalam surah yang pendek ini, walaupun hanya 30 ayat sahaja.

Beberapa tahun yang lepas saya pernah cuba menghafal surah ini, namun usaha saya gagal kerana kegagalan untuk istiqamah.

Saya ingin membaca Surah Sajadah di dalam solat subuh namun hasrat itu sehingga kini belum kesampaian. Saya malu pada Allah setelah 37 tahun hidup di dunia ini saya masih belum mampu menghafaz surah yang pendek ini.

Sekali lagi Allah memberi saya peluang untuk berada di dalam lab Ramadhan. KPI Ramadhan saya, adalah berusaha untuk menghafaz surah ini selewat-lewatnya sebelum Ramadhan melambai pergi. Biarlah kali ini, saya melangkah keluar dari Ramadhan dengan membawa satu hadiah yang sungguh bererti.

Ya Allah, permudahkan urusan aku. Bantulah aku untuk melakukan amal soleh. Bantulah aku untuk menghafaz surah ini. Bantulah aku untuk memahami maksud dan kandungan surah ini. Bantulah aku untuk mengamalkan surah ini dalam kehidupanku.”

Saya berdoa semoga Allah memakbulkan hajat saya ini. Biarlah jumaat kali ini menjadi lebih bemakna bagi saya  jika saya berjaya solat subuh  hari Jumaat dengan bacaan surah sajadah.

Saya merenung jauh ke luar tingkap, hari ini hari pertama Ramadhan.  Perjalanan untuk mencapai KPI ini masih jauh lagi. Masih ada 29 hari lagi berbaki untuk mencapai KPI Ramadhan kali ini.

Abu Wafi, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: