Archives

All posts for the day June 26th, 2010

Hijau yang mempesona

Published June 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya baru sahaja membeli buku kecil ini 2 hari yang lalu di Masjid Kolej Islam PJ. Kerana buku ini saya sanggup ‘skip lunch’ meninggalkan pejabat untuk mendapatkan buku yang sungguh berharga ini. Mendengar nama tajuknya sahaja sudah menarik perhatian saya untuk mendapatkannya.

Buku kecil tulisan bekas siswazah Akademi Pengajian Islam UM Saudara Dzul Khairi ini bagi saya cukup berharga. Biarpun ringkas, isinya tetap padat dan sarat dengan nasihat-nasihat berguna yang dikutip dari para alim ulama sepanjang zaman.

Dengan harga RM8.00 anda akan mengalami kepuasan emosi dan santapan rohani yang mantap. Satu pelaburan yang kecil di dunia, namun satu pelaburan besar di sisi Allah.

Buku ini mungkin kecil atau dipandang sebagai bahan bacaan ringan oleh sesetengah pihak namun buku ini berupaya untuk mengubah persepsi dan sikap manusia menjadi lebih baik. Buku kecil bersaiz poket ini sama sekali tidak menghampakan sesiapa yang membacanya malah bisa menggerakkan hati yang lalai kepada Allah.

Dalam masa 40 minit  dengan 40 nasihat rabbani yang berguna untuk kehidupan siapa sahaja boleh mengkhatamnya.  Namun saya memilih untuk membaca berdikit-dikit kerana saya rasa sayang untuk menghabiskan buku ini. Biarlah saya memuaskan jiwa saya dengan titipan kata-kata semangat nukilan Imam Atoilah, Al-Qushairi, Ibnu Mas’ud dan ulama-ulama yang tajam mata hati mereka mengenai dunia ini.

Sempat juga saya meminjamkan kepada 2 orang rakan sekerja semasa waktu senggang dan komen mereka isi kandungannya adalah “mantop”.

Dunia ini ibarat sayur-sayuran hijau yang segar bugar, atau seperti rerumput dan dedaunan yang hijau namun sayangnya kesegaran dan kehijauan itu tidak bertahan lama. Mudah layu dan mudah hancur “perishable”. Warna hijau memang menarik dan menyegarkan kepada sesiapa yang melihatnya sehingga ada yang sanggup berusaha bermati-matian untuk mendapatkan kemewahan dan keseronokan yang tidak kekal itu.

Yang hijau itu menawan. Namun ia bagaikan fatamorgana, menipu kita tanpa kita menyedarinya    [m/s 50]

Sesungguhnya dunia ini mundur ke belakang, sedangkan akhirat ada di hadapan. Setiap daripadanya memiliki anak. Maka jadilah anak akhirat, jangan jadi anak dunia.[m/s 40]

Terima kasih kepada penulis atas usaha yang telah diambil untuk menghasilkan buku ringkas namun banyak manfaat untuk umat ini.

Abu Wafi, Seksyen 17 Petaling Jaya