Syahid itu anugerah

Published June 14, 2010 by Menikmati Takdir Langit

“Pada hari akhirat, kita semua akan dibangkitkan bersama-sama rakyat Palestin. Pada masa itu kita akan disoal oleh Allah apa yang telah kita lakukan untuk membantu Palestin? Isu Palestin bukan isu kemanusiaan semata-mata tetapi isu akidah yang melibatkan semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada.”

Pada 12 Jun 2010, Ketua Sukarelawan Malaysia Life Line for Gaza, Tuan Hj. Noorazman Mohd. Samsuddin telah singgah di Putrajaya untuk menceritakan pengalaman beliau bersama 11 rakyat Malaysia yang lain di dalam kapal Mavi Marmara ketika diserang tentera Israel. Ceramah ini dianjurkan oleh Haluan Malaysia dengan kerjasama Surau Putra Harmoni.

Penceritaan pengalaman beliau boleh dibahagikan kepada 3 fasa:-

1.Persiapan sebelum pergi- dimaklumkan bahawa semua anggota misi kemanusiaan telah bersedia fizikal dan mental bahawa pemergian mereka ke Gaza belum tentu terjamin bahawa mereka akan selamat kembali ke Malaysia;

2. Insiden mencemaskan di atas kapal; dan

3. Pengalaman di dalam penjara Israel.

Ringkasan ceramah beliau dapat saya simpulkan seperti berikut:-

Persiapan ke Gaza

1. Terdiri daripada pelbagai NGO besar di seluruh dunia yang diketuai oleh Turki. Mendapat halangan dan tekanan sehingga ada 2 buah kapal iaitu Challenger 1 dan Challenger 2 disabotaj. Selain itu, perjalanan mereka tergendala sedikit akibat kelewatan kapal lain menyertai mereka. Misi kemanusiaan ini dinamakan sebagai “Life Line For Gaza”.

2. Kapal Mavi Marmara hanya membawa penumpang sebanyak 600 orang. Paling muda 2 bulan setengah (bayi warga Turki bersama ibu bapanya) dan paling tua berusia 83 tahun seorang warga Jordan.

3. Turut serta dalam misi kemanusiaan ini ialah beberapa ahli Parlimen Eropah, Turki, seorang paderi dan seorang Ahli Parlimen Israel.

4. Misi ini adalah misi kemanusiaan yang bertujuan menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan, peralatan, kepada penduduk Gaza yang dikepung sejak 3 tahun lalu tanpa membawa apa-apa senjata melainkan pisau untuk memasak.

Suasana di dalam Kapal Mavi Marmara

1. Menurut beliau, walaupun di dalam kapal Mavi Marmara terdapat banyak perbezaan khususnya dari sudut bangsa, agama, keturunan, negara kelahiran namun ini tidak menghalang mereka daripada bersatu hati dan matlamat. Malahan mereka berjaya mengetepikan perbezaan itu buat sementara dan menfokuskan kepada misi membantu penduduk Gaza semata-mata.

2. Malam sebelum mereka menghampiri perairan Gaza yang dijangka tiba pada waktu subuh, semua penumpang melakukan solat Isyak berjemaah di dek. Saat paling syahdu ialah apabila imam membacakan doa qunut nazilah yang panjang dan berucap kepada makmum bahawa ini mungkin solat mereka yang terakhir maka lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk. Ramai yang menangis termasuk paderi Kristian yang turut sama dalam solat berjemaah tersebut. Mereka benar-benar bergantung harap dengan Allah dan menyerahkan diri bulat-bulat kepada sambil mulut tidak henti-henti mengucapkan kalimah “hasbunallahiwanikmal wakil” – doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s ketika dibakar oleh Raja Namrud bermaksud “cukuplah Allah sebagai pelindung mereka”.

3. Jam 4.15 pagi keadaan masih gelap di luar dan kabut tebal menyelubungi kapal. Waktu Subuh telah masuk dan masing-masing mengambil tempat untuk melakukan solat subuh secara bergilir-gilir;

4. Semua penumpang dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kemungkinan terdapatnya ancaman lanun-lanun kecil dari puak pelampau Yahudi cuba menyerang kapal;

5. Kelihatan lampu-lampu kecil armada tentera laut Israel dan helikopter mereka;

6. Mavi Marmara pada ketika itu berlabuh lebih kurang 70 batu nautika dari perairan Gaza. Sempadan tentera yang ditetapkan oleh Israel ialah 68 batu nautika dan ini bermakna Mavi Marmara diserang di perairan antarabangsa;

7. Percubaan pertama – bot tentera marin Israel menghampiri kapal dan tenteranya cuba memanjat kapal dengan bantuan tangga namun berjaya dipatahkan oleh sukarelawan dengan menyembur air dari hos bomba beberapa kali sehingga mereka berundur;

8. Percubaan kedua – melalui helikopter dengan menurunkan 3 anggota komando tetapi berjaya ditawan oleh sukarelawan dari Turki yang berada di atas dek 1;

9. Percubaan ketiga – helikopter disuluh dengan lampu kapal menyebabkan mereka berpatah balik;

10. Percubaan ke-3 saat paling kritikal – helikopter Israel merendahkan terbangan tetapi tidak menurunkan apa-apa sebaliknya melepaskan berdas-das tembakan sehingga mencederakan beberapa sukarelawan dari Turki. Pada masa itu, semua sukarelawan Malaysia berada di dek 3 kerana telah diamanahkan supaya menjaga dek 3 dan tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing walau apa pun yang terjadi. Amanah ini dipegang rapi oleh semua sukarelawan;

11. Turut terkena tembakan adalah 3 anggota komando tentera Israel yang dibawa ke bilik rawatan untuk dirawat oleh pegawai perubatan. Akhlak yang baik ditunjukkan oleh sukarelawan ini mengingatkan saya kepada peristiwa Perang Salib di mana Salahuddin Al-Ayyubi menghantar doktor dan buah-buahan kepada panglima tentera Salib Richard The Lion Heart;

12. Saudara Norazman menceritakan bahawa pada saat itu, bertubi-tubi tembakan dilepaskan oleh tentera Israel melalui helikopter dan bot marine. Mereka menggunakan peluru hidup dan semua sukarelawan dan penumpang bertahan di dalam dek. Bagaikan satu keajaiban yang berlaku, Allah mencabut perasaan takut dari hati semua sukarelawan, mungkin disebabkan solat malam berjemaah yang hebat sehari sebelum kejadian itu;

13. Diringkaskan cerita, kapal tersebut akhirnya ditawan dan dibawa ke pelabuhan Ashdood. Semua penumpang diikat ketat dan tidak diberi makan minum selama 15 jam sebelum dihumban di dalam penjara Israel namun setelah didesak pihak Israel memberika air mineral kepada semua tahanan;

14. Mereka turut mendesak supaya 5 orang sukarelawan yang cedera parah dihantar ke hospital sekitar Israel secepat mungkin namun mereka syahid semasa dalam perjalanan ke hospital. Mungkin disebabkan kehilangan darah yang banyak, kelewatan mendapat rawatan atau disabotaj oleh tentera Israel semasa dalam perjalanan. Jumlah syahid meningkat dari 4 kepada 9 orang. Allahuakbar.

Bersungguh-sungguh beliau menceritakan pengalamannya

Bersalam-salaman dengan jemaah seusai ceramah

Jualan barang-barang Palestin

Sukarelawan Haluan Malaysia

Ceritanya panjang dan rasanya tidak cukup untuk saya memperincikan semuanya satu persatu. Cukuplah jika saya katakan bahawa mendengar pengkisahan pengalaman beliau sahaja sudah cukup untuk menggetarkan hati saya dan menyebabkan badan saya berpeluh. Saya seperti berada di atas kapal tersebut dengan perasaan berdebar-debar yang kuat. Sungguh suspend.

Cerita Syahid

1. Menurut Tuan Hj. Noorazaman, seorang aktivis Turki telah ditembak oleh sniper (penembak tepat) di tengah dahi sehingga otaknya tersembur keluar dari belakang kepalanya. Beliau adalah seorang yang sangat soleh. Sentiasa membantu penumpang lain dengan membersihkan kapal dan memberikan air kepada mereka yang memerlukannya. Beliau sempat bertahan selama 15 minit sebelum menemui syahid.

2. Seorang lagi sukarelawan Turki ditembak di perut sehingga pecah ususnya turut menemui syahid akibat kehilangan darah yang banyak;

3. Seorang pegawai perubatan Malaysia yang mangsa terkorban melaporkan bahawa beliau tercium bau wangi umpama kasturi ketika beliau mencium dahi salah seorang dari mereka, petanda mati syahid. Malahan wajah mereka juga kelihatan bersih dan tenang walaupun mengalami kecederaan yang teruk.

“Kami pergi ke Gaza adalah untuk Misi Kemanusiaan dan Keamanan bukan mencari syahid. Tetapi sekiranya ditakdirkan kami syahid, maka itu adalah anugerah Allah untuk kami”.         Tuan Hj. Noorazman Samsuddin.

4. Hanya Allah yang maha mengetahui hamba-hambaNya yang layak dianugerahkan title syahid. Mungkin semua sukarelawan Malaysia masih belum bersedia lagi, ujar beliau lagi.

5. Kelebihan orang yang mati syahid ialah di hari akhirat  selain syafaat para Nabi dan Rasul, syuhada juga boleh memberi syafaat kepada 70 kaum keluarga mereka yang terdekat mengikut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Istimewanya mereka di sisi Allah.

Pemenjaraan di Barsheeba

Penjara di Barsheeba adalah penjara baru yang dikhususkan untuk mereka. Keperitan berada di dalamnya hanya Allah sahaja yang tahu. Semua sukarelawan dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Mereka hanya diberi makan buah apricot, timun dan lobak merah.  Sepanjang berada di dalam tahanan, beberapa pegawai kedutaan datang menjemput rakyat mereka namun memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel maka tiada wakil kedutaan yang dapat masuk menemui mereka. Sehinggalah pada suatu hari wakil kedutaan Jordan masuk dan membawa mereka keluar. Ketika itu, barulah terbayang dan teringat wajah insan tersayang di Malaysia.

Penutup

Misi kemanusiaan yang gagal ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan strategi yang lebih tersusun. Kegagalan misi bantuan kemanusiaan ini sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk bekerja lebih kuat lagi untuk memecahkan blockade di Gaza. Itu janji Tuan Hj. Noorazman kepada Allah jika dibebaskan.

Mudah-mudahan beliau akan berusaha lebih keras lagi. Kita doakan semoga beliau dan rakan-rakan yang lain dapat menerobos tembok besar Gaza suatu hari nanti.

Insyallah !!!!!

Abu Wafi.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: