Diari: Cuti rehatkan minda

Published June 9, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Cuti sekolah pun bermula selama 2 minggu. Sudah 3 tahun saya tidak dapat mengambil cuti panjang semasa cuti persekolahan. Puncanya setiap kali cuti sekolah bermula, maka setiap kali itulah kerja saya bermula. Tetapi kali ini saya bertekad untuk bercuti selama 3 hari dan pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah. Sudah 6 bulan saya tidak menjengah kampung halaman dan daerah kelahiran. Sudah terlalu banyak perubahan yang berlaku pada tempat kelahiran saya dan tiba-tiba saya terasa rindu yang amat sangat pada tanah tumpah darah ini.

Terlalu banyak perkara yang hendak diselesaikan dan terlalu banyak kenangan yang perlu dikutip sepanjang 6 bulan yang lalu. Banyak perkembangan saudara mara yang sudah saya ketinggalan.

Saya ingin menatap wajah ayah bonda yang selama ini bersusah payah membesarkan saya yang selama ini hanya dihubungi dengan panggilan telefon  sebagai pengubat rindu.

Saya ingin sekali bertemu sama teman-teman rapat suatu ketika dahulu.Teman-teman persekolahan yang hilang entah ke mana dan teman-teman sekerja yang sudah membina kehidupan sendiri. Teman-teman inilah yang banyak memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasi untuk saya terus hidup. Walaupun mereka semua telah bertebaran entah ke mana, ingin saja saya mencari mereka satu persatu dan membuka kembali lembaran kenangan-kenangan manis dan pahit bersama mereka.

Saya ingin saja berjalan ke sekolah lama saya, ke hospital saya dilahirkan dan ke tempat permainan saya semasa kecil. Ingin saya tunjukkan kepada anak-anak setiap langkah-langkah saya di daerah sunyi ini suatu masa dahulu.

Namun, saya tidak punya cukup masa untuk membawa saya menziarahi dan melewati semua tempat-tempat yang pernah saya kunjungi dahulu. Kedai makan kegemaran,tempat kerja lama saya dan teman-teman rapat adalah antara agenda yang ingin saya lakukan tetapi saya tidak mampu. Saya memerlukan masa yang panjang untuk tujuan itu.

Tiba-tiba saya dapat rasakan bahawa pemergian saya yang terlalu lama meninggalkan daerah ini membuatkan saya merasa begitu terasing walaupun di daerah kelahiran sendiri. Terlalu banyak perubahan yang drastik berlaku di sini. Daerah yang dahulunya sebuah kawasan luar bandar lagi terpencil mula pesat membangun. Kedai-kedai baru dan taman-taman perumahan tumbuh dengan pesatnya.

Saya sempat melawat ke pekan Bukit Mertajam, dan melewati hospital tempat saya dilahirkan 37 tahun yang lalu. Juga singgah di kedai roti benggali yang klasik namun penangan kesedapannya masih terasa hingga kini.

Hospital kelahiranku

Kedai roti terkenal di pekan Bukit Mertajam sejak 30 tahun lalu

Suasana damai di kampung

Bagi yang ingin mencari menggemari ayam goreng, bolehlah mencuba  ayam goreng Malaysia di Radix Fried Chicken yang hanya ada 2 outlet sahaja di Malaysia iaitu di Laguna Merbok dan Tesco Sungai Petani, Kedah.

Singgah di Radix FC di Laguna Merbok, Sg.Petani

Rasanya ‘not bad’

Dah sampai SP, sempat singgah ke pejabat rakan sehidup seakhirat Saudara Faisal Abdullah. Sudah hampir 3 tahun tidak bertemu beliau. Alhamdulillah, kami dipertemukan di pejabat beliau dalam satu pertemuan yang singkat tetapi cukup bermakna. Sahabat yang banyak membantu saya semasa susah. Pernah saya menumpang di rumah beliau ketika mula-mula bekerja di Sungai Petani sekitar tahun 2001. Sekarang telah membuka firma guamannya sendiri di Sungai Petani.

Bersama Chor (Faisal)

Kami sekeluarga juga sempat singgah berkelah di Sedim,tempat perkelahan dan reakreasi terkenal di selatan Kedah. Lebih kurang 40 minit dari rumah kami di Kulim. Selain dari tempat perkelahan, aktiviti outdoor dan aktiviti sukan lasak tempat ini adalah satu tempat yang bersejarah bagi negeri Kedah. Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah menyembunyikan ayahandanya dan kekandanya Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah daripada tentera Jepun di Sedim ini sehinggakan kampung ini dinamakan Kg Lindungan Raja. Selepas keadaan selamat dan Jepun meninggalkan Tanah Melayu, baginda sultan keluar dari tempat persembunyiannya. Mengikut Tunku dalam bukunya “Looking Back” beliau telah menculik dan melarikan ayahandanya ke Kulim ekoran tersebarnya berita bahawa Jepun akan membunuh Sultan. Pada mulanya kekandanya yang juga Raja Muda Tunku Badlishah membantah tindakan Tunku namun beliau akhirnya menyertai Sultan bersembunyi di daerah ini sehinggalah keadaan selamat. Usia Sultan ketika disembunyikan ialah 77 tahun mengikut catatan yang saya baca  di dalam rumah tersebut. Rumah persembunyian tersebut masih lagi utuh di sini dan tidak jauh dari sungai tempat perkelahan Sedim.

Sungai mengalir deras

Dari atas chalet

Di hadapan rumah persembunyian Sultan Abdul Hamid

Keadaan di  dalam rumah

Suasana di perkampungan Sedim ini cukup indah dan nyaman. Udaranya bersih. Persekitarannya bersih dan terpelihara. Tempat yang sesuai untuk merehatkan minda, menulis buku, mencari idea dan beruzlah mencari ketenangan dengan mengingati Allah di tempat yang sunyi ini. Tempat kerehatan bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran dari stress bekerja.

Dalam pada kita ghairah mencari kerehatan di dunia, janganlah lupa bahawa kerehatan yang sebenar adalah kerehatan di akhirat. Di dunia kita berehat seketika untuk melepaskan penat lelah bekerja yang bersifat sementara sedangkan di akhirat kita berehat selama-lamanya setelah berpenat lelah di dunia dengan amalan-amalan soleh yang mudah-mudahan akan diterima Allah.Kita hanya berehat di akhirat, setelah amalan kita di dunia cukup untuk melayakkan kita mendapat rahmat dan syurga Allah.

Akhirat itu adalah tempat kerehatan yang sebenar, kekal abadi untuk mereka yang benar-benar mahu mengambil pengajaran. Dunia adalah tempat bekerja sekeras-kerasnya untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Abu Wafi, Kulim, Kedah.

2 comments on “Diari: Cuti rehatkan minda

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: