Bertindaklah Sewajarnya

Published May 30, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Sebagai penjawat awam, adalah satu perkara normal apabila saya sering menerima arahan dari pihak atasan untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang pelbagai. Adakalanya saya diminta menyediakan maklumbalas kepada pihak luar dan adakalanya arahan tersebut untuk kepentingan organisasi sendiri. Jika maklumbalas yang perlu disediakan maka surat  dari pihak luar akan diberikan kepada saya dengan catatan yang berbentuk arahan. Arahan tersebut akan diminitkan kepada saya untuk dilaksanakan dan perkataan yang paling popular digunakan adalah “SEWAJARNYA“. Umumnya, semua penjawat awam memahami perkataan ini. Arahan yang diberikan tidak perlu diterangkan secara jelas,terang, satu persatu tindakan yang perlu dilakukan. Justeru, perkataan sewajarnya sudah dianggap memadai. Apa yang perlu saya lakukan adalah membaca keseluruhan surat yang diminitkan kepada saya sebelum saya boleh membuat keputusan mengenai bentuk tindakan yang perlu saya lakukan.

Namun sebagai pekerja biasa, saya sebenarnya mendambakan jika arahan tersebut turun dalam keadaan yang spesifik dan jelas pelan tindakannya. Maka tindakan yang saya akan ambil berdasarkan arahan tersebut juga adalah jelas, namun perkara ini tidak berlaku. Justeru, apa yang sering saya lakukan jika tidak jelas bentuk tindakan ialah dengan mengadakan perbincangan dengan “immediate boss” atau dengan merujuk kepada beberapa rakan yang mungkin pernah melakukan tugasan yang sama. Walau bagaimanapun, jika perkara yang diarahkan itu adalah satu rutin yang telah dikuasai oleh saya, maka perkataan sewajarnya itu sangat wajar digunakan kerana dapat menjimatkan masa semua pihak.

Ada kalanya saya tersenyum bila menerima tugasan, mungkin kerana telah tahu apa tindakan yang patut saya lakukan dan ada kalanya muka saya berkerut memikirkan apa bentuk tindakan yang patut saya ambil sebagai wajar. Ternyata, perkataan sewajarnya itu kadang-kala mudah ditafsirkan dan adakalanya begitu sukar untuk ditafsirkan. Bila sukar, sudah tentu saya pening memikirkan dan bimbang jika tindakan yang saya rasa wajar itu berubah menjadi tidak wajar atau tidak patut.

Bertindaklah sewajarnya !

Bersikaplah sewajarnya!

Namun bagaimanakah pula untuk memuaskan hati semua pihak di sekeliling kita bahawa semua yang kita lakukakan adalah wajar belaka?

Bagaimana pula kita bersikap sewajarnya dalam aspek kehidupan kita khususnya sebagai seorang individu dan hamba Allah?

Bagaimana kita ingin menjadi anak yang bersikap sewajarnya kepada kedua orang tuanya; atau suami yang sewajarnya; isteri yang sewajarnya kepada pasangan masing-masing; seorang ayah dan ibu yang sewajarnya kepada anak-anak; seorang guru yang sewajarnya kepada anak-anak muridnya; seorang majikan yang sewajarnya kepada pekerjanya; seorang pekerja yang sewajarnya kepada majikan ;  seorang individu sewajarnya kepada anggota masyarakat dan seorang  warganegara yang sewajarnya kepada negara?

Inilah persoalan yang seringkali bermain di fikiran saya  dan apakah selama ini saya telah bertindak dan bersikap sewajarnya kepada ayah, ibu, isteri, anak-anak dan anggota masyarakat di sekeliling saya?

Bagaimanakah pula ukuran sewajarnya kepada diri saya? Sudah semestinya perkataan sewajarnya itu menjadi begitu subjektif bila diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Mungkin ada orang yang berpandangan tindakan itu sesuai dengan perkataan sewajarnya dan mungkin ada yang berpandangan sebaliknya.

Keutamaan saya selain daripada bertindak dan bersikap sewajarnya kepada orang-orang sekeliling saya ialah, adakah saya sebagai seorang hamba telah bertindak sewajarnya kepada Pencipta saya, selama 37 tahun saya hidup di muka bumi Allah ini?

Ini yang lebih penting dan seharusnya kita semua sentiasa bertanyakan soalan ini kepada diri setiap hari. Bermuhasabah.

Bertindak sewajarnya  ialah dengan mematuhi segala perintahNya; dan

Bertindak sewajarnya  ialah dengan menjauhi segala laranganNya.

Satu sifir yang cukup mudah, namun ramai yang tersungkur untuk memenuhi sifir ini kerana terpengaruh dengan hasutan syaitan dan nafsu yang merajai diri.

Fikirkanlah…. bertafakurlah

Jika sifir mudah ini berjaya dipatuhi, anda sebenarnya telah bersikap sewajarnya kepada Pencipta anda sekaligus anda juga akan bersikap sewajarnya kepada orang-orang di sekeliling anda.

Seorang ulama kontemporari terkenal, Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya “La Tahzan” turut mengupas isu ini dalam hikmahnya yang ke-30. Kata beliau:

Wahai orang-orang yang berakal dan sedar, tempatkanlah segala sesuatu itu sesuai dengan ukurannya.Jangan membesar-besarkan peristiwa dan masalah yang ada; bersikaplah secara adil, seimbang dan jangan berlebihan. Jangan pula larut dalam bayang-bayang dan fatamorgana yang menipu.

Beliau mengajak kita agar meletakkan aspek keadilan dalam bersikap sewajarnya. Sebagai contohnya, jika kita mencintai seseorang memadailah jangan berlebih-lebihan kelak mungkin suatu hari nanti persahabatan itu akan bertukar kepada permusuhan; dan jika membenci seseorang, bencilah sekadarnya kerana mungkin suatu hari nanti kebencian itu akan bertukar menjadi kasih sayang yang tidak terhingga.

Apa pun, bersikap sewajarnya yang dimaksudkan oleh Dr.Aidh Abdullah Al-Qarni adalah bertindak sekadarnya dan jangan berlebih-lebihan kerana tiada benda yang kekal di dunia ini kerana hati manusia ini boleh berubah-ubah mengikut keadaan.

Semoga kita bertindak sewajarnya untuk semua pihak.

Bertindaklah sewajarnya kepada Allah, sewajarnya kepada manusia lain, sewajarnya kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan sewajarnya kepada alam sekitar.

Abu Wafi, Putrajaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: