VIP dunia VIP akhirat

Published May 23, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Mungkin ada yang tertanya-tanya, gambar siapakah di atas. Bagi mereka yang rajin mengikuti perkembangan politik di negara jiran seberang tambak tentu mengenali individu di atas. His Excellency Dr. Yaakob Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air, Republik Singapura. Menariknya, beliau adalah satu-satunya menteri berbangsa Melayu dan beragama Islam di dalam kabinet Kerajaan Singapura.  Sebenarnya ada pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama.

Saya baru sahaja selesai menamatkan tugas sebagai pegawai pengiring atau Liason Officer (LO) untuk Dr. Yaakob Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air, Singapura  yang hadir ke Malaysia untuk satu mesyuarat penting. LO adalah pegawai yang dipertanggungjawabkan oleh pihak tuan rumah untuk mengiringi tetamu negara sepanjang beliau berada di negara tersebut. ToR LO menetapkan bahawa saya mesti sentiasa berada di sisi beliau selama 2 hari tanpa gagal. Ke mana sahaja beliau pergi saya perlu menemani beliau. Ibarat kata, saya adalah sebagai diari bergerak untuk memaklumkan kepada beliau mengenai jadual hariannya.  Saya juga bertindak sebagai penghubung untuk orang luar yang ingin mengetahui di mana kedudukan beliau. Maka, tiba-tiba kedudukan saya menjadi begitu penting.

Pengalaman yang paling mencabar ialah apabila membawa beliau ke Masjid Syakirin KLCC untuk solat jumaat. Menempuhi perjalanan yang sesak dan orang ramai yang berpusu-pusu ke dalam masjid menjadikan tugas mengiringi beliau sungguh mencabar. Mujur ada anggota keselamatan yang membantu memudahkan kerja saya.

Selain itu, saya juga menemaninya ke kedai buku Kinokuniya di KLCC dan saya sesungguhnya cukup kagum dengan beliau yang sangat sukakan buku. Hampir 30 minit kami di situ dan kesudahannya saya membawa bakul berisi buku-buku berharga tidak kurang RM500.00 termasuk buku “Mahathir Maverick” manakala buku-buku lain terdiri dari pelbagai disiplin ilmu seperti sejarah dan sains politik.

Minister of Environment & Water Resources, Singapore, Minister In-charge of Muslims Affairs

Selaras dengan taraf tetamu negara, pergerakan  beliau ke mana sahaja dikawal ketat dan diiringi dengan anggota polis. Maka, pantaslah kami bergerak walaupun jalan di sana sini sesak dengan kenderaan. Begitu istimewanya layanan yang diberikan dan saya sendiri tiba-tiba merasa sungguh istimewa dan terhormat dengan layanan VIP yang diberikan walaupun saya bukan VIP yang dilayan.

Perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama menjadi pantas. Bayangkan lebuhraya dilalui tanpa dikenakan tol. Semua kenderaan perlu memberi laluan atau bergerak ke tepi jalan agar konvoi kami dapat melalui dengan selesa. Ohh… sungguh istimewa sekali.

Dalam kenderaan saya terfikir;

” Ini baru VIP di dunia, VIP di akhirat bagaimana pula?

“Jika di dunia begini layanannya, bagaimana pula layanan di akhirat. Apakah layanan VIP di dunia akan berpanjangan di akhirat?

“Hari ini aku diberi layanan istimewa dan Kelas Pertama, apakah layanan sebegini akan aku nikmati ketika berada di padang mahsyar semasa menunggu waktu untuk dihisab?”

Saya bermonolog sendirian sehinggalah konvoi kenderaan yang membawa kami sampai ke destinasi. Beberapa kali saya bermonolog sedemikian. Monolog yang cukup memberi kesan kepada diri ini.

Saya teringat peristiwa di padang mahsyar yang banyak diceritakan oleh ustaz-ustaz terutamanya perjalanan kita melintasi titian sirat mustaqim. Ulama mentafsirkan  bahawa titian ini sungguh tajam dari mata pedang dan lebih halus dari rambut. Pada ketika ini, saya sendiri tidak dapat membayangkan dengan mata perkara itu. Tanpa ada pengecualian, kita semua akan melalui titian tersebut dan di bawahnya adalah neraka yang apinya menjulang-julang ke atas. Kejayaan perjalanan kita melintasi titian tersebut adalah bergantung kepada amalan ketika di dunia. Ada yang berjalan kaki, ada yang berlari, ada yang bergerak sepantas kilat, ada pula yang merangkak dan ada yang mengensot sehingga terjatuh disambar api neraka yang panas. Semuanya bergantung kepada amalan di dunia.

Siapa pula VIP di sana?

Terbayang di fikiran saya, bagaimana kedudukan insan-insan istimewa di sisi Allah seperti para anbiya’,syuhada’,siddiqin dan solihin. Mereka adalah VIP di akhirat. Mereka bergerak tanpa ada tol dan sekatan. Jika adapun sekatan ianya akan dipermudahkan untuk mereka. Ternyata VIP akhirat lebih bermakna berbanding VIP dunia yang kenikmatannya boleh hilang bila-bila masa.

Saya mendapat pengajaran berguna dari tugasan ad-hoc yang diamanahkan kepada saya.

Pertama, untuk pelajaran di dunia, sentiasalah mengemaskini pengetahuan dengan banyak membaca khususnya bahan-bahan bacaan yang berat. Dr. Yaakob adalah individu yang boleh dicontohi dalam perkara ini. Berbual dengan beliau terasa menyeronokkan kerana pengetahuannya sangat luas dan tidak membosankan.  Ada saja ilmu yang diperolehi. Sesuai dengan latar belakang beliau sebagai bekas Professor di  National University of Singapore dalam disiplin Kejuruteraan Struktur, beliau kelihatan sangat berkeyakinan bila berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.

Kedua, untuk pelajaran akhirat pula, pengalaman ini mengajar saya bahawa apa yang ada di dunia ini tidak kekal. Buktinya, saya hanya menjadi VIP kecil selama 2 hari sahaja. Sekembalinya, beliau ke Singapura, status tersebut hilang dari diri saya. Begitulah tidak kekalnya dunia ini.

Ketiga, usahlah berkecil hati jika anda bukan VIP di dunia ini kerana anda masih berpeluang untuk menikmatinya di akhirat kelak. Bayangkan ketika umat manusia dari zaman Nabi Adam as sehingga umat terakhir bersesak-sesak dan bermandi peluh menunggu masa dihisab seorang demi seorang, tiba-tiba anda mendapat layanan VIP di celah-celah jutaan manusia. Dan anda kemudian dihisab dengan hisab yang  mudah dan melalui titian sirat ke syurga sepantas kilat yang menyambar tanpa sempat menoleh ke bawah. Tentunya perkara ini lebih didambakan oleh kita semua.Pastinya untuk menjadi VIP akhirat, anda perlu melipatgandakan amal-amal soleh semaksima mungkin dan meninggalkan segala larangan.

Keempat, kaitkan semua perkara dengan agama. Kaitkan semua kerja dan tugas yang kita lakukan dengan agama. Cubalah cari titik pertemuannya, insyallah kita akan bertemunya di situ.

“Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut mereka menjadi orang-orang yang mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, sebaliknya yang buta itu adalah mata hati yang ada di dalam dada.  (Al-Hajj: 46)

Allah suruh kita buka mata hati seluas-luasnya melalui penglihatan dan pendengaran kita yang digunakan sebaik-baiknya. Perhatikan alam ini, dan perhatikan segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan ambillah pengajaran yang berguna untuk akhirat kita.

Moga-moga kita semua berfikir ke arah situ hendaknya …..

Abu Wafi, Putrajaya.

2 comments on “VIP dunia VIP akhirat

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: