KPI n KRA

Published April 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

” KRA n KPI dah buat, Pelan Strategik dah buat, Rancangan Kerja Tahunan 2010 dah buat, Pencapaian Sasaran Kerja Tahunan 2009 dah bentang dan semak. Apa lagi hahhh. Besok ke KT pula untuk retreat bincang semula semua niii. Buat apa lagi, arggh… letih aku”.

Keluh rakan sepejabat saya suatu hari.

“Apa nak buat, dah keperluan macam itu, kita kenalah ikut” jawab saya.

“Tapi bukankah kita dah ada ISO lagi mahu ditambah dengan KPI dan KRA pula. Bukankah ini 2 kali kerja” tegas rakan saya lagi.

” Itu dulu, sekarang dah lain. Keperluan dan kehendak semasa sudah berubah. The demand is very high. Expection from the public is also increasing days by days. Bussiness is not as usual my friend” jawab saya.

Dia terdiam. Mungkin dia penat atau letih. Letih otak memikirkan perkara-perkara baru yang perlu dilaksanakan atau juga dia tidak cukup tangan untuk melakukannya sendirian. Mungkin juga dia tidak mempunyai motivasi untuk menggerakkan diri.

Saya tidak salahkan dia. Namun itulah hakikatnya. Di mana-mana semua orang dan semua sektor sibuk bercakap mengenai KPI dan KRA. Masing-masing sibuk untuk mencapainya.

Kehidupan manusia sentiasa berubah. Pekerjaan menjadi semakin sukar dengan pelbagai kriteria yang tegas.

Kehendak zaman, kehendak semasa, kehendak rakyat, kehendak kerajaan dan persepsi awam yang menuntut kita lebih menumpukan perhatian kepada pekerjaan.

Berbanding zaman dahulu,  perkhidmatan lebih mementingkan tindakan dan keputusan atau Action and results. Namun kini, output dan pencapaian lebih diutamakan.

Sungguh sukar zaman ini berbanding zaman dulu.

Segala-galanya perlu diukur dan dinilai pencapaiannya. Segala tindakan mesti mempunyai had masa, mesti boleh diukur, mesti boleh dicapai, mesti realistik dan mesti spesifik.

Bertambah-tambahlah sukarnya, bekerja di zaman yang serba mencabar ini. Mencabar dan tercabar dengan sistem yang menuntut kita bergerak pantas dan bersifat dinamik.

Cepat dan pantas dalam masa yang sama mesti berkualiti.

Pekerjaan adalah satu ibadah. Apa pun perancangannya jika nawaitunya betul dan benar maka pahala dari Allah akan menyusuli dan membantu kita di kemudian hari.

Jika pekerjaan kita menghasilkan manfaat yang besar kepada orang di sekeliling kita dan memudahkan kehidupan mereka, maka jaminannya pahala dari amal kebaikan ini akan diganjar kepada kita. Pahala yang akan hanya kita lihat dan tuai ketika menghadap Allah di hari yang tiada siapa yang mampu membantu kita melainkan diri kita sendiri.

Justeru, saya selalu mengingatkan diri ini… apa pun pekerjaan yang saya lakukan… maka lakukanlah dengan nawaitu yang jelas dan betul dan dalam masa yang sama saya perlu mengikhlaskan diri.

Akan tetapi…

Pekerjaan kita adalah ibadah umum sahaja. Pahalanya tidak sebanyak mana, tidak setanding pahala yang diperolehi dari ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, sedekah, membaca Al-Quran, mentadabbur makna ayat-ayat Al-Quran,membaca dan merenungi hadith, berzikir dan bangun di malam yang sunyi dengan amalan-amaan sunat yang melimpahkan pahala yang berbaloi-baloi lagi berganda-ganda.

Sesungguhnya ibadah khusus ini lebih bermakna jika dibandingkan dengan ibadah umum.

Cukupkah kita kalau kita menghadap Allah esok dengan hanya berbekalkan pahala ibadah umum sahaja sedangkan ibadah khusus kita kosong atau sungguh sedikit. Mampukah ibadah umum ini menjadi bekalan kita untuk melayakkan kita ke syurga Allah?

KPI n KRA hanya terhad kepada ibadah umum semata-mata. Pencapaian yang cemerlang di dalam kerjaya hanya terhad kepada kepuasan di dunia sedangkan di akhirat masih belum tentu.

Bagaimana pula KPI dalam ibadah khusus kita? Apakah kita pernah serious untuk memikirkannya atau apakah kita langsung tidak pernah terfikir untuk melaksanakan KPI dalam ibadah khusus kita? Apakah KPI dalam urusan persiapan untuk bekalan akhirat kita itu tidak penting lantas tidak perlu diutamakan??

Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),
Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal   ( Surah: Al-A’la: 15 -18)

Mungkin selain KPI dan pencapaian kerjaya, kita juga boleh meletakkan KPI untuk urusan akhirat kita. Contohnya, untuk tahun 2010 KPI kita adalah seperti berikut:

1. Melaksanakan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu;

2. Berzikir dengan zikir yang mudah seperti subhanallah wabihamdih dan subhanallahil azim sebanyak  33 kali dalam satu hari (pahalanya memenuhi antara langit dan bumi);

3. Melakukan puasa sunat sekali dalam sebulan ( Isnin & Khamis);

4. Pergi ke masjid untuk solat waktu berjemaah 3 kali dalam seminggu (tidak termasuk solat Jumaat);

5. Berselawat sebanyak 10 kali setiap hari Jumaat ( ketika menunggu waktu solat Jumaat di masjid);

6. Bersedekah sekurang-kurang RM2.00 seminggu sekali (lebih afdhal pada hari Jumaat);

7. Mula membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari; dan

8. Menghadiri kuliah agama atau majlis ilmu di masjid atau surau 2 minggu sekali (untuk menggilap iman).

Buat permulaan, sasaran 8 KPI dalam ibadah khusus ini rasanya tidak memberatkan. Atau kita mungkin boleh memilih untuk memulakan yang paling mudah di antara yang 8 ini dan seterusnya diikuti dengan yang lain.

Apakah ibadah permulaan seringan ini tidak mampu kita lakukan?

Saya sendiri tidak pernah memaksa diri. Malahan saya meletakkan KPI ibadah ini pada tahap yang paling minima. Contohnya solat dhuha, saya memahami bahawa kita semua sibuk. Justeru saya cuma meletakkan 3 hari dalam seminggu termasuk hari cuti, Sabtu & Ahad serta ditambah satu hari dalam hari bekerja.

KPI yang cukup mudah untuk dicapai. Permulaan yang ringan, sedikit namun mampu untuk menggerakkan diri untuk merasai kemanisan iman dengan peningkatan ibadah dari setahun ke setahun.

Selepas beberapa bulan cuba kita lihat pencapaiannya. Letakkan tempoh  3 bulan untuk melihat sama ada kita boleh istiqamah dengan KPI ibadah ini. Jika KPI ibadah umum kita boleh berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya mengapa tidak kita bersungguh-sungguh untuk mencapai KPI akhirat. Kita boleh membuat catatan di dalam buku kecil atau membuat jadual harian bagi menilai dan mengukur sejauh mana pencapaian KPI ibadah khusus atau KPI akhirat kita. Jika tercapai, maka cubalah pertingkatkan sedikit demi sedikit sehingga ibadah kita menjadi mantap dan sarat.

Barulah hidup akan lebih bermakna bila KPI ibadah khusus kita seiring dengan KPI ibadah umum. Dunia dikejar dan dalam masa yang sama akhirat juga diutamakan.

Insyallah, solat sunat Dhuha 3 kali seminggu akan bertukar menjadi 7 kali seminggu;

Insyallah, solat jemaah seminggu 3 kali akan bertambah menjadi 7 kali dalam seminggu;

Insyallah, puasa sunat sebulan sekali akan bertukar menjadi 8 kali  sebulan atau  3 kali sebulan (mengikut hadith sahih);

Insyallah, selawat setiap jumaat akan bertambah kepada selawat setiap hari dengan rangkaian selawat-selawat syifa’ dan selawat tafrijiyyah;

Insyallah, zikir ringkas kita setiap hari akan bertambah kepada zikir al-mathurat setiap pagi dan malam;

Insyallah, bacaan sehari selembar Al-Quran akan bertambah menjadikan kita khatam Al-Quran setiap 3 bulan;

Insyallah, sedekah jariah kita sebanyak RM2.00 seminggu akan bertambah menjadi RM100 setiap bulan; dan

Insyallah, kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu dan tafaqquh fiddin akan bertambah dari 2 minggu  sekali menjadi 2 kali seminggu.

Semua ini memerlukan kesungguhan untuk dilakukan. Biar pun sedikit, namun dengan doa yang dipinta, insyallah Allah akan membuka pintu rahmatNya untuk memberi kita kelazatan dalam beribadah.

Islam bermula dengan sesuatu yang mudah dan tidak menyusahkan. Kita bermula dengan langkah pertama yang mudah, insyallah kesungguhan kita akan dibantu oleh Allah untuk mempertingkatkan amal ibadah serta menambahkan iman kita.

Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Muhammad) untuk menyusahkan. (Toha:2)

Semoga kita berjaya.

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Photo: Ishafizan Ishak dari photo Naza.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: