Kualiti hidup yang dicari

Published April 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Beberapa minggu lepas kerajaan telah melancarkan Model Ekonomi Baru atau NEM. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai dasar baru ini walaupun saya sudah membaca dan menekuni serba sedikit mengenai Model Ekonomi Baru ini. 

Secara peribadinya, saya tidak mempunyai masalah dengan NEM. Apa sahaja dasar yang difikirkan baik dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya perlulah disokong tanpa mengira  siapa yang menggubalnya.

NEM dilancarkan  dengan hasrat untuk merobah kualiti hidup rakyat Malaysia ke tahap yang lebih berkualiti.

Petikan NEM :

Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada  pendapatan tahunan per kapita daripada USD7,000 kepada USD15,000 dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan dalam Laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC).

Peningkatan pendapatan per kapita rakyat Malaysia akan mengubah kualiti hidup rakyat Malaysia. Secara logiknya, apabila pendapatan meningkat maka kuasa beli juga meningkat dan apabila kuasa beli rakyat Malaysia bertambah bermakna kehidupan rakyat semakin bertambah baik. Namun betulkah begitu??

Ketika dalam perjalanan ke pejabat baru-baru ini, saya membuka siaran radio IKIM. Rancangan sembang pagi yang dikendalikan oleh Ustaz Zamri pada pagi tersebut membincangkan mengenai Model Ekonomi Baru. Rata-rata pemanggil yang membuat panggilan memberikan pandangan yang berbeza-beza. Masih terlalu awal untuk diberi penilaian. Apa pun, dalam banyak-banyak panggilan saya cukup tertarik dengan seorang pemanggiil dari Bandar Kinrara, Puchong. Peningkatan pendapatan per kapita rakyat sesebuah negara bukan faktor penentu bahawa kualiti hidup rakyat juga bertambah baik.

Beliau membawa contoh kehidupan di luar bandar dengan kehidupan di bandar. Katanya, walaupun pendapatan penduduk di kampung-kampung adalah kecil jika dibandingkan dengan penduduk bandar atau bandaraya, namun mereka sebenarnya menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Mereka tidak perlu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari. Mereka tidak berhadapan dengan waktu kerja yang panjang. Mereka tidak perlu ‘stay back’ sehingga lewat malam untuk menyiapkan kerja di pejabat. Mereka mempunyai masa yang banyak untuk dihabiskan bersama anak-anak dan isteri.  Paling penting mereka mempunyai lebih masa untuk Allah. Masa untuk beribadah dan menghadiri majlis ilmu di masjid dan surau. Mereka mungkin bekerja sebagai guru di sebuah bandar kecil seperti di Baling  tetapi dengan gaji yang sedikit kurang dari rakan mereka di Kuala Lumpur mereka sebenarnya menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Pendapatan meningkat tetapi masa bersama keluarga juga semakin singkat. Pendapatan meningkat tetapi masa bersama Allah juga menjadi singkat. Akibatnya anak-anak menjadi terbiar, tidak terbela dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi. Hubungan dengan Allah juga terjejas maka ini adalah titik tolak kepada masalah yang lebih besar lagi, ulas pemanggil tersebut lagi.

Saya tertarik dengan analogi yang dibuat oleh pemanggil ini. Malahan saya khuatir dengan lontaran pandangan beliau. Satu pandangan yang berani dan jujur.

Akhir sekali, beliau juga meminta supaya pelaksanaan dari sudut ukhrawi ini diberi perhatian oleh semua pihak. Setiap perancangan hidup yang ingin kita lakukan mestilah mempunyai sentuhan ukhrawi untuk menjadikannya lebih bermakna dan berkesan.

Walaupun tujuan NEM itu baik, namun lontaran idea pemanggil ini membuatkan saya terfikir dengan mendalam dan serious. Satu pandangan yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Kualiti hidup juga bermakna ada peruntukan masa untuk Allah dan Rasulnya dalam kehidupan kita. Jika tidak apalah maknanya jika pendapatan bertambah sedangkan masa untuk beribadah semakin kurang. Saya melihat pandangan beliau sebagai satu  pandangan dari seorang rakyat yang  mengambil kira nasibnya di dunia dan di akhirat.

Soalnya berapa ramai di antara kita yang memandang sejauh ini?

Berapa ramai di antara kita yang memikirkan soal masa yang diperuntukkan untuk Allah dan Rasulnya?

Apa pun perancangan hidup yang ingin dilaksanakan, aspek ukhrawi jangan sekali dilupakan. Dalam kehidupan ini yang penting bukan berapa lama kita hidup, tetapi bagaimanakah cara kita hidup.

Fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya iman….

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Catatan ini dibuat pada pukul 7.23 malam

Pic : Ishafizan Ishak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: