Orang dahulu lebih baik

Published March 25, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Suatu hari saya berada di  Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Ketika itu, saya sedang menunggu giliran untuk perbicaraaan kes guaman sivil yang saya kendalikan. Sementara menunggu giliran kes saya dipanggil, sempatlah saya mendengar kes-kes sebelum kes saya. Kebetulan majoriti kes yang didengar pada hari itu melibatkan kes-kes perceraian sivil, tuntutan nafkah dan tuntutan hak penjagaan akan (custody). Bagi kes-kes seumpama ini peguam dan kedua-dua pasangan suami isteri perlu hadir untuk menjawab sekiranya Hakim menanyakan soalan-soalan tambahan.

Saya memerhati dengan penuh minat. Ada satu kes tuntutan nafkah anak oleh pihak isteri.

Peguam : Yang Arif, ini merupakan satu bicara permohonan di Lampiran1. Permohonan ini adalah tuntutan pembayaran nafkah daripada Plaintif kepada Defendan (suami) untuk anak sebanyak RM1,000 sebulan. Permohonan ini disokong oleh Afidavit Pemohon .

Hakim : Defendan ada apa masalah dengan permohonan ini?

Defendan: Tuntutan terlalu tinggi Yang Arif, saya tak mampu.

Hakim: Tetapi di dalam afidavit sokongan telah dinyatakan jumlah pendapatan kamu. Bukankah ini benar?

Defendan : Saya sekarang sudah tidak mempunyai pendapatan sebanyak itu. Saya tidak bekerja di situ lagi.

Hakim : Apa awak ada buku akaun bank terkini ?

Defendan : Ada  Yang Arif

Hakim : Boleh awak kemukakan dalam mahkamah hari ini?

Defendan : Dalam keadaan serba salah. “errr boleh Yang Arif.

Hakim : Baik, saya tangguhkan bicara ini selama 30 minit untuk membolehkan Defendan mengemukakan buku akaun bank terkini.

Riak muka suami saya lihat tidak selesa, namun atas arahan Mahkamah beliau tiada pilihan melainkan perlu mengemukakan kepada Mahkamah. Mahkamah perlu meneliti kebenaran kata-katanya.

Hakim masuk semula ke dalam kamar. Kami semua menunggu. Ada peguam yang resah kerana terpaksa menunggu lama lagi.

Selepas setengah jam, kes tersebut dipanggil semula.

Mahkamah dikejutkan bila buku akaun bank menunjukkan beliau mempunyai simpanan sebanyak RM100 ribu lebih dan ada rekod kemasukan wang setiap bulan sebanyak RM10,000 secara konsistent. Mungkin ini gajinya setiap bulan fikir saya. Mustahil dengan pendapatan sebanyak itu beliau tidak mampu untuk membayar nafkah 2 orang anak sebanyak RM500 setiap seorang. Tambahan lagi, si isteri tidak bekerja. Dengan lain perkataan, beliau telah berbohong dengan Mahkamah sebelum ini. Patutlah mukanya serba tak kena.

Hakim : Menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang Defendan dengan pandangan yang tajam.

“Setelah mendengar permohonan Plaintif di Lamp 1 yang disokong oleh Affidavit di Lamp.2 dan setelah mengambil kira keterangan-keterangan yang diberi oleh Plaintif dan Defendan serta keterangan-keterangan lain, maka Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif seperti yang dituntut di Lamp.1.  (Order In Terms) Defendan dikehendakki membayar RM1,000 sebulan kepada Plaintif. Kos permohonan ini ditanggung oleh Plaintif.

Saya tidak tertarik dengan perintah yang diberikan oleh Hakim berkenaan kerana saya boleh menjangkakan keputusannya. Tetapi saya lebih tertarik dengan ‘remarks‘ atau kenyataan sampingan yang dibuat oleh Hakim sebelum membacakan keputusannya. Hakim ini seorang yang lemah lembut dan bukan jenis marah-marah seperti sesetengah Hakim lain. Cumanya, beliau terkenal dengan kata-katanya yang pedas dan tajam menikam jiwa. Namun saya cukup menyukainya kerana sifatnya yang tenang tetapi kesan tindakannya cukup mendalam kepada sesiapa sahaja.

Hakim tersebut memandang kepada Peguam yang mengendalikan kes tersebut dan juga kepada Defendan lalu berkata.

“Peguam, setuju tidak kalau saya katakan bahawa orang dahulu lebih jujur dari orang sekarang?”

Peguam tersebut tersentak, saya juga tersentak dengan pertanyaan Hakim tersebut. Saya cuba meneka-neka apa maksud kata-katanya.

“Setuju atau tidak, jika saya katakan generasi datuk nenek moyang kita dahulu lebih baik, lebih boleh dipercayai dan lebih lurus berbanding kita pada hari ini? ulang Hakim itu lagi.

Peguam tersebut mengangguk-angguk tanda setuju sambil menjawab, “Benar Yang Arif”.

Barulah saya faham maksudnya. Hakim tersebut mungkin kecewa dengan sikap Defendan yang tidak bercakap benar di dalam Mahkamah. Kalaulah di Mahkamah lain sudah tentu teruk Defendan dikerjakan, tetapi Hakim ini terkenal dengan ‘statement’ yang berbisa bagi siapa yang mendengarnya.

Sama ada Defendan insaf atau tidak dengan perbuatannya tidaklah saya pasti. Tetapi riak wajahnya yang merunduk ke bawah seolah-olah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Hakim seperti menandakan adanya kekesalan yang timbul dalam dirinya. Mudah-mudahan beliau insaf.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat saya berfikir panjang. Sungguh tajam kata-kata Hakim ini. Kata-katanya lebih tajam dari mata pedang. Walaupun kata-katanya ditujukan khusus kepada Defendan, namun bagi saya yang berada di galeri Mahkamah kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada semua yang ada di situ.

Benarlah kata beliau generasi terdahulu daripada kita lebih jujur dan tulus berbanding kita. Zaman sekarang adalah zaman penuh fitnah dan pembohongan. Amat jarang untuk kita berjumpa dengan manusia yang jujur di zaman ini walaupun jumlah yang ada tidak ramai. Jujur dan bercakap benar bermaksud individu tersebut takut dengan Allah. Hasil ketakwaan ini akan melahirkan manusia yang bersifat benar, bercakap benar,ikhlas, tulus,jujur dan sifat-sifat mahmudah yang lain. Inilah yang dimaksudkan oleh Hakim itu.

Kalau kita perhatikan dengan secara mendalam, datuk nenek kita dahulu hidup serba sederhana walaupun dihimpit kesusahan, walaupun tidak mempunyai teknologi wifi atau broadband yang canggih, tetapi kehidupan mereka adalah seadanya. Sifat saling bantu membantu dan mengambil berat antara satu sama lain yang bertunjangkan teras agama menjadikan peribadi mereka hebat. Zaman mereka budaya bergotong royong begitu dihidupkan dan sifat kiasu hampir tiada dalam diri mereka.

Begitu juga generasi-generasi sebelum  mereka sehinggalah generasi para sahabat. Semakin hampir generasi tersebut dengan generasi para Sahabat maka semakin baiklah generasi tersebut.

Sabda Rasulullah saw :

” Sebaik-baik generasi adalah generasiku, diikuti dengan generasi selepas mereka dan generasi berikutnya”.

Ibarat batang tebu yang ada pada pohon tebu, bahagian pangkal tebu yang paling hampir dengan tanah adalah bahagian yang paling manis berbanding dengan bahagian yang di atas.

Bandingkan zaman para sahabat dengan zaman kita. Terlalu jauh bezanya. Mereka jauh ketinggalan dari sudut teknologi namun kita jauh ketinggalan dari sudut iman dan amal kebajikan. Di zaman para tabi’en pula, hampir majoriti rakyatnya adalah para solehin dan siddiqin berbanding kita di zaman ini yang sukar untuk dicari. Zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz hampir keseluruhan rakyatnya  menghidupkan malam dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan bermunajat kepada Allah, manakala di zaman mutaakhir ini terlalu sedikit yang menghidupkan malam. Betapa jauhnya zaman kita dengan zaman mereka.

Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1999 atau 2000 namun kata-kata Hakim tersebut masih berbekas dalam diri saya. Tiba-tiba pada hari ini saya teringatkan kata-kata tersebut walaupun sudah sekian lama saya meninggalkan profession perundangan.

Apa pun yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil manfaatnya jika kita mahu merenung dan mengambil pengajarannya.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic: Ishafizan Ishak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: