Dan hujan pun turun

Published February 19, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Setelah bumi kegersangan sejak beberapa hari, 2 hari lepas hujan turun dengan lebatnya. Gembiranya saya melihat pokok pisang di belakang rumah dibasahi air hujan yang turun mencurah-curah. Begitu juga pokok inai yang telah layu daunnya akibat dipanahi terik cahaya matahari. Saya akui cuaca sejak kebelakangan ini cukup panas membahang. Malahan di sebelah malam juga panas sehingga badan berpeluh. Sesekali timbul rasa kurang selesa dengan cuaca panas yang sedikit sebanyak mengganggu fokus terhadap aktiviti harian dan kehidupan.

Dunia sudah mengalami apa yang dipanggil sebagai fenomena ‘global warming’ atau pemanasan global. Namun itu hanyalah dapatan saintifik pakar-pakar untuk menjelaskan situasi yang sedang berlaku di dunia sekarang ini. Cuaca sudah jadi tidak menentu dan sukar diramalkan. ‘Allignment dan balancing’ alam ini sudah lari jauh kata seorang rakan saya. Saya masih ingat ketika di zaman persekolahan sekitar tahun 1980-an dahulu, musim-musim hujan dan panas boleh diramalkan dengan begitu konsistent dan hampir tepat. Contohnya, bulan 12 musim tengkujuh dan banjir di sebelah Pantai Timur. Namun kini, tidak begitu lagi. Hujan turun  tidak mengira musim lagi. Terkadang panas berpanjangan sehingga bulan Disember menyebabkan empangan surut dan kolam air kering.

Saya membaca berita semalam dan hari ini. Cuaca panas yang ekstrim ini menyebabkan beberapa empangan utama di negeri-negeri surut dengan drastiknya. Di utara tanahair suhu panas dikatakan mencecah 36 darjah celcius dan jika fenomena ini berterusan akan menyebabkan gangguan kepada kehidupan manusia seharian.

Pagi ini saya bersarapan dengan seorang kawan lama. Beliau juga membangkitkan perkara ini. Cuaca di Malaysia khususnya sudah tidak boleh diramalkan lagi. Malahan pola banjir yang berlaku juga sudah tidak terjangka kerana boleh berlaku secara tiba-tiba dan bila-bila masa. Berbanding pada tahun-tahun 1970-an dan 80-an kejadian-kejadian seperti banjir dan kemarau panjang boleh diramalkan mengikut trend. Namun kini tidak lagi begitu. Alam seakan-akan sudah tidak mesra lagi dengan penghuninya. Mungkin ada silap di mana-mana.

Segalanya telah jauh berubah. Semua yang berlaku mesti ada sebab musababnya dan yang pasti salah satu musababnya adalah dari manusia itu sendiri.

Saya kepada kata-kata Sayyidina Ali k.w.j bahawa semua kejadian yang  yang berlaku di atas muka bumi ini seperti bencana alam adalah akibat dosa-dosa manusia. Mungkin kelihatannya seperti tiada kaitan jika dianalisa dari sudut pandangan zahir, kerana apa kaitan antara dosa, maksiat dengan alam. Terlalu ‘remote’ untuk dikaitkan. Namun pandangan dengan mata hati menzahirkan sebaliknya. Berlakunya semua fenomena dan perubahan pada alam ini adalah ekoran tingkah laku manusia itu sendiri. Mungkin disebabkan pembangunan atau aktiviti urbanisasi yang tidak terkawal sehingga merosakkan ekosistem alam. Mungkin juga disebabkan maksiat yang terlalu bermaharajalela. Mungkin juga akibat perilaku manusia yang melakukan jenayah tanpa perikemanusiaan. Mungkin kerana manusia terlalu memandang mudah dengan dosa-dosa yang dilakukan, seperti menghalau lalat yang hinggap di atas batang hidung.

Tingkah laku manusia kebelakangan ini ternyata mengecewakan. Manusia menjadi semakin jahiliah malahan lebih jahiliah dari zaman sebelum kedatangan Islam. Bayi bukan lagi dibuang malahan dibakar di tempat pambakaran sampah. Bayi tidak lagi ditanam hidup-hidup sebaliknya dijadikan santapan sang semut di tempat-tempat terbiar. Betapa manusia semakin hilang pertimbangan dan iman.

Saya tidak menghukum semua orang seperti itu tetapi kejadian kebelakangan ini teramat-amat mengguris hati saya. Kenapa ada segelintir manusia yang sanggup bertindak sekejam itu. Mungkinkah apa yang berlaku sekarang ini adalah tindakbalas Pencipta kepada kita???

Teringat saya pada petikan lirik lagu puisi  Ebiet G. Ade bertajuk ‘Berita Kepada Kawan’

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

Sesungguhnya Tuhan tidak pernah bosan dengan manusia cuma manusia sahaja yang tidak pernah bosan melakukan kesalahan demi kesalahan.

Justeru, marilah bermuhasabah diri. Mungkin apa yang berlaku kebelakangan ini berpunca dari tindak tanduk kita sendiri tanpa kita menyedarinya.

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: