Archives

All posts for the day February 12th, 2010

Bercuti di hospital

Published February 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya bercuti selama 3 hari kerana menemani anak yang menjalani pembedahan membuang tonsilitis di Hospital Putrajaya. Maafkan saya kerana tidak sempat mengemaskini blog ini buat sementara waktu. Baru hari ini, saya berpeluang untuk ‘update’ perkembangan terkini. Anakanda Wafi kini sedang dalam proses pemulihan di rumah. Walaupun sakit namun ayahanda tetap bersyukur Wafi mampu melalui ujian ini dengan sabar, tabah dan kuat.

Usai pembedahan

Insyallah, berkat doa ayahanda dan ibunda serta insan sekeliling yang menyayangi, anakanda Wafi akan cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tidak nafikan bahawa walaupun ‘minor operation’ sahaja, hati kecil saya tidak dapat mengusir perasaan resah, gelisah dan bimbang. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran saya apatah lagi setelah mendengar bermacam-macam pandangan dari orang di sekeliling saya. Isteri saya sempat mengucup wajahnya sebelum Wafi dibius dan tidak sedarkan diri. Kami menunggu di luar dengan membaca surah yassin dan berselawat sebanyak mungkin. Saya rasa pada ketika itu pergantungan kami betul-betul seratus peratus kepada Allah kerana tiada apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu  melainkan berdoa dan terus berdoa agar semua lancar dan selamat.

Pemukiman saya selama 3 hari di hospital telah menemui banyak ibrah dan natijah yang baik untuk difikirkan bersama. Saya menemui insan-insan yang menyimpan seribu satu macam kisah duka. Alhamdulillah, mereka sudi berkongsi dengan saya. Betapa dunia yang kita fikir indah selama ini, sebenarnya tidak seindah dan secantik yang kita gambarkan. Ramai lagi insan di luar sana yang tidak bernasib baik seperti kita. Pemukiman ini adalah sesuatu yang diatur oleh Allah untuk saya belajar dan menilai kembali diri yang sentiasa leka dengan dunia yang sementara.

Di saat-saat getir ini..

terasa diri begitu kerdil dan lemah.

Tiada upaya diri melainkan bergantung kepada Allah !!!

Abu Wafi