Redha siapa yang dicari

Published February 4, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan. (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)

Saya sungguh terkesan dengan Hikmah yang dipetik dari Kitab klasik Al-Hikam tulisan ulama sufi terkenal Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari. Hikmah ini mengingatkan saya kepada sebuah hadith yang dijadikan tajuk buku karangan ulama kontemporari terkemuka Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam salah sebuah bukunya bertajuk “Ihfazillah ha yahfazuka” terjemahannya “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu”.

Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudarat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah.”                                                    

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni mengupas hadith ini dengan terperinci dan cukup mengesankan jiwa sesiapa sahaja yang menekuninya. Kupasan hadith ini sungguh mendalam, sarat dengan nasihat ulama, kisah-kisah insan soleh, kisah-kisah manusia derhaka kepada Allah, wali-wali Allah, bentuk-bentuk pertolongan Allah dan macam-macam lagi.

Sesungguhnya terdapat persamaan antara mutiara kata Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari dan hadith ini. Hikmah Syeikh Atoillah menyentuh mengenai sikap sesetengah manusia di kalangan kita yang ghairah mencari redha manusia. Mereka melakukan sesuatu pekerjaan semata-mata untuk memuaskan hati orang lain. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah manusia yang berpengaruh dan berkuasa di kalangan mereka.  Justeru, jika orang itu redha kepada mereka maka mereka akan merasa gembira dan terjamin. Sebaliknya jika orang itu membenci mereka, maka mereka akan merasa sedih dan merasa kehidupan tidak terjamin. Akhirnya mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat redha manusia sekeliling sehingga melanggar batasan-batasan Allah. Jika mereka berjaya maka kejayaan mereka diukur dengan puji-pujian yang mereka terima dari masyarakat sekeliling sedangkan redha dan murka Allah mereka ketepikan.

Manakala orang yang menjalani kehidupan semata-mata untuk meraih redha Allah adalah orang yang paling beruntung sebenarnya. Mereka menjalani kehidupan dengan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah.  Bagi mereka redha Allah mengatasi segala-galanya kerana redha manusia itu tidak sampai ke mana cukup sebatas dunia ini sahaja. Puji-pujian manusia juga tidak akan kekal lama kerana akan lenyap ditelan masa. Bagi mereka, murka Allah lebih ditakuti daripada kemarahan dan kebencian manusia. Inilah sikap orang-orang yang beruntung.

Misalnya, ditakdirkan di tempat saya ada berlaku satu pesta minum arak oleh muda-mudi bagi meraikan kedatangan Hari Valentine. Sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab kepada agama, saya mengambil langkah mencegahnya dengan memberi nasihat kepada pelaku-pelaku maksiat tersebut. Rupa-rupanya tindakan pencegahan saya tidak disenangi oleh masyarakat sekeliling. Mereka sama sekali tidak dapat menerima tindakan amar ma’ruf nahi mungkar yang saya lakukan. Bagi mereka perlakuan yang saya anggap maksiat atau dosa besar itu telah diterima sebagai satu norma-norma kehidupan masyarakat setempat. Maka jadilah saya seperti seekor kera sumbang yang tidak mempunyai kawan kerana dipulau oleh masyarakat sekeliling.

Tetapi saya mempunyai keyakinan penuh bahawa tindakan saya ini mendapat keredhaan Allah kerana saya telah pun menjaga hak-hak Allah sebagai mana yang dianjurkan oleh hadith di atas biarpun orang di sekeliling membenci, mengumpat dan mencela dengan pandangan bahawa saya kolot dan konservatif. .

Dan jika mereka semua bersepakat dan bersatu hati untuk mendatangkan kemudaratan kepada saya melalui pelbagai tindak balas, maka ketahuilah bahawa mereka semua tidak akan mampu melakukan apa-apa jika tidak diizinkan Allah.

Itulah antara contoh yang dapat saya ketengahkan untuk menggambarkan bagaimana hikmah Syeikh Atoillah dan hadith tersebut dapat kita harmonikan dalam kehidupan yang serba mencabar ini. Sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan namun mempunyai ganjaran besar di sisi Allah.

Sebuah hadith lagi yang bermaksud:

Dari Anas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda “Akan datang kepada  umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana mengenggam bara api.”      Riwayat Tirmizi 

Begitu juga sebuah hadith lain yang dipetik dari Kitab 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman yang disusun oleh Syeikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi:

Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda : ” Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.

Huraian daripada kitab ini menukilkan seperti berikut:

Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat ada orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam akan dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan solat, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar kerana majlis masih berlangsung. Sedangkan orang yang tidak solat sambil bergurau senda ketika orang lain melakukan solat tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman yang akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri.

Jika kita benar-benar hidup menongkah arus, melawan kehendak orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dan menyokong tindakan kita yang berpandukan wahyu dan sunnah Nabi saw, maka jadilah kita seperti orang yang menggenggam bara api dan orang yang berdagang.

Orang berdagang akan dianggap asing dan pelik oleh masyarakat di sekeliling kerana tidak sehaluan dengan arus semasa.

Orang berdagang akan menggengam bara api biar pun tangannya cedera kerana menahan kepanasan bara api tetapi itu sebenarnya adalah lebih baik untuknya daripada menanggung siksaan neraka di akhirat.

Mereka menanggung azab dari manusia di dunia…

Mereka menerima umpat cela dari manusia di dunia..

Mereka ditekan, ditindas, dihina oleh manusia di dunia.

Hanya kerana mereka menjaga hak-hak Allah daripada dicerobohi.Hanya kerana mereka mencari redha Allah. 

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya  manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith]

Firman Allah di dalam Surah At-Taubah : 100

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Ukurlah kehidupan kita dengan redha Allah..

Jagalah hak-hak Allah, nescaya Dia akan menjaga kita…

Perhatian, pujian dan redha manusia tidak akan kekal lama kerana redha Allah lebih bermakna.

Abu Wafi

Photo: Ishafizan Ishak

6 comments on “Redha siapa yang dicari

  • Salam,

    Terima kasih atas kupasan ini – menambah pemahaman saya ttg sabda Rasulullah yg terpampang di work station saya:
    Islam began as something Strange
    It shall return to being something Strange
    So give glad tidings to the Strangers.

    Namun, boleh tak jelaskan lagi jika keadaan kita menjadi terasing atas sebab2 yang sdra nyatakan di atas, bagaimana pula dengan kata2 (maaf saya sempat semak sama ada ini hadis atau sebaliknya) “perbaiki hubungan mu dgn Allah, nescaya Allah akan baiki hubungan mu dgn semua makhluk. Jadi, bagaimana tu? Klu hubungan sudah baik maka tidak lah terasing, kan? Tolong jelaskan sikit..

    Shukran.

  • Ina,

    Terima kasih atas respon yang sungguh positif. Maksud terasing di sini ialah, ketika Islam mula2 datang dulu iaitu semasa awal dakwah Rasulullah saw, ianya dilihat asing oleh masyarakat arab jahiliyah. Islam tidak membeza-bezakan sesama manusia berdasarkan keturunan dan warna kulit. Islam datang membersihkan amalan2 jahiliah yang telah sedia sebati dgn masyarakat jahiliah ketika itu. sebab itu ajaran Islam dilihat asing kerana bertentangan dengan hawa nafsu manusia yang sentiasa cenderung ke arah kejahatan.

    Justeru, orang-orang yang berpegang teguh dengan Islam dengan sebenar-benarnya akan dilihat asing oleh masyarakat sekeliling seperti contoh yang saya berikan.

    Hadith ini adalah hadith mengenai peristiwa2 akhir zaman. Jadi beruntunglah kalau ina dan kita semua masih berpegang teguh dengan ajaran Islam di akhir zaman ini di sebalik pelbagai cabaran yang mendatang pada zaman mutaakhir ini.

    Berkenaan pertanyaan mengenai perbaiki hubungan dengan Allah itu, saya pernah mendengarnya tetapi tidak pasti samada itu hadith atau kata2 hukama. Saya perlu menyemaknya terlebih dahulu. Cuma yang dapat saya katakan bahawa kita disuruh memperbaiki hubungan dengan Allah (hablunminallah) sebelum memperbaiki hubungan dengan manusia. Sekiranya hubungan dgn Allah baik dan intim maka Allah akan turunkan barakah dan kebaikanNya kepada kita agar disukai oleh manusia di sekeliling.

  • salam. sebenarnye, saya tak faham, apa yang dimaksudkan dengan “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula.”

    saya faham bahagian di mana orang Islam yang berpegang teguh pada agamanya akan dianggap asing, tapi saya tak faham kenapa Islam dikatakan tersebar dlm keadaan asing, dan kembali dalam keadaan asing

    • Salam,

      Terima kasih kerana bertanya. Ringkasnya, sebelum Islam datang masyarakat Arab hidup dalam keadaan jahiliah seperti membunuh anak perempuan,minum arak,berzina,perhambaan, mengutamakan puak dan kabilah,amalan mengikat tali pada dahan pokok sebelum pergi musafir dan jika didapati taki tersebut terurai bermakna isteri yang ditinggalkan itu telah melakukan curang dan pelbagai lagi amalan khurafat dan syirik.Paling teruk ialah menyembah berhala dan bertawaf di sekeliling kaabah dalam keadaan bogel. Boleh rujuk Sirah Nabawiyyah, sejarah masyarakat Jahiliah. Ketika Islam mula didakwahkan oleh Rasulullah saw, baginda membawa ajaran/peraturan baru yang bertentangan dgn amalan masyarakat jahiliah ketika itu. Mengajak manusia kembali kepada tauhid. Jadi ketika Islam diperkenalkan ianya dianggap asing dan aneh oleh masyarakat Arab kerana ajarannya didapati bercanggah dengan kegemaran dan amalan jahiliah. Inilah makna dagang atau asing di sini. Menghapuskan perhambaan,mengharamkan arak, mengharamkan perzinaan dan pembunihan, mengajak kpd persaudaraan tanpa mengira status dan keturunan, menghapuskan assabiyyah dan ketaksuban pada kaum dan kabilah,melupakan persengketaan dan dendam kesumat dan membawa syariat agama Allah untuk mengajak manusia kembali ke jalan yang benar.

      Setelah Islam diterima ramai dan diamalkan sehingga sekian lama, maka akan sampai masanya masyarakat Islam kembali meninggalkan Islam seperti mana yang kita lihat sekarang. Terlalu banyak berlaku masalah sosial, perzinaan, bunuh bayi,buang bayi, minum arak, membunuh, meninggalkan solat, menganggap maksiat bukan lagi satu kesalahan sebaliknya satu hak dan kebebasan yang perlu dihormati, pergaulan bebas,tidak menutup aurat dan pelbagai lagi amalan yg hampir menyamai amalan masyarakat Jahiliah malahan mengikut Almarhum Sayyid Qutb jahiliah yg berlaku pd waktu sekarang lebih teruk dari masyarakat jahiliah dahulu.
      Justeru, saudari jika ada anggota masyarakat yg mahu mengamalkan ajaran Islam yg sebenarnya seperti mana yg diajar oleh Rasulullah saw pada masa kini dia akan dianggap asing. Ada hadith akhir zaman, Islam bermula dalam keadaan dagang dan akan berakhir dalam keadaan dagang. Ketika ahir zaman, Islam sudah tidak dianggap penting lagi, ramai yg tinggalkan solat dan amalan2 lain. Orang yg mengajak kpd Islam akan dianggap pelik apatah lagi utk mengamalkan sunnah2 Rasulullah saw.

      Semoga penerangan ringkas di atas dapat menjelaskan kefahaman saudari mengenai maksud hadith di atas. Untuk lebih detail lagi boleh baca Sirah Nabawiyyah karya Syeikh Mubarakfuri terbitan YADIM dan buku hadith2 akhir zaman.

  • Assalamualaikum, mintak izn dan halalkan utk ambik apa2 yg bermanfaat utk diri sedniri, keluraga dan sahabat2. Terima kasih.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: