Ku Mencintaimu

Published January 27, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ringkasan Syarah Kitab Hikam oleh Dr Zulkifli Al- Bakri, Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Ada 3 sebab mengapa manusia melakukan ibadah:-

Pertama, Manusia melaksanakan ibadah kerana takutkan siksaan Allah di hari akhirat. Beribadah kerana takutkan neraka yang panas. Ngeri dengan siksaan neraka yang dasyat, lantas memotivasikan manusia untuk terus menerus melakukan amal soleh kepada Allah secara istiqamah.

Kedua, beribadah kerana inginkan syurga Allah. Beribadah kerana ingin merebut laba di hari akhirat. Ibadah jenis ini adalah seumpama ibadah golongan korporat atau ahli perniagaan yang melaburkan sejumlah wangnya untuk mendapatkan keuntungan di kemudian hari. Bezanya, pelaburan yang dilakukan oleh golongan ini adalah dalam bentuk amal soleh di dunia dan hasilnya akan dituai di hari akhirat.

Awan yang cantik, syurga beribu-ribu kali cantik

Tiada salahnya dan tidak menjadi masalah untuk kita semua beribadah kerana didorong oleh kedua-dua faktor ini asalkan nawaitunya kerana Allah.  Ngeri dengan siksaan di neraka, takut dengan kemurkaan Allah menjadi pemangkin untuk membentuk jiwa kita menjadi mukmin yang sejati. Mendambakan syurga Allah juga tidak menjadi kesalahan kerana di situlah kampung halaman kita sebenarnya. Syurga adalah janji balasan Allah kepada hamba-hambanya yang mentaatinya. Mendambakan kehidupan indah di syurga akan memotivasikan kita untuk beramal soleh.

Tetapi, kategori yang ketiga ini adalah yang terlebih baik jika kita boleh mencapainya. Tahap yang paling sukar untuk dicapai oleh kebanyakan daripada kita kecuali golongan ‘muhibbin’ iaitu mereka yang dikasihi dan dipilih oleh Allah.

Beribadah kerana cintakan Allah. Contoh paling dekat ialah Rasulullah saw. Meskipun baginda telah dijamin syurga oleh Allah, namun ibadah baginda tidak pernah berkurangan malahan semakin meningkat dan konsistent dari sehari ke sehari. Malamnya dipenuhi dengan solat-solat sunat yang berpanjangan dengan bermunajat kepada Allah. Baginda begitu tekun sekali beribadat kerana Allah sehingga pernah ditegur oleh isteri baginda  A’isyah r.a:

“Bahawa Nabi s.a.w telah mendirikan sembahyang hingga pecah-pecah telapak kaki baginda. Maka baginda ditanya: Mengapa engkau menyusahkan diri dengan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampuni segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!

Begitulah jawapan baginda yang sungguh merendah hati dan penuh tawadhuk. Baginda melakukan bukan semata-mata kerana syurga Allah, tidak juga kerana takutkan balasan neraka bahkan Baginda melakukan kerana perasaan cinta dan rindu pada Allah yang sentiasa membuak-buak di dalam jiwa.

Rasulullah saw juga sentiasa menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan Allah. Walaupun dosa baginda telah pun terampun namun baginda masih terus melafazkan istighfar tidak kurang 70 kali sehari semalam.

Antara tanda-tanda orang yang telah mencapai tahap ketiga ini ialah apabila dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah di sepanjang waktu. Dia akan sentiasa tertunggu-tunggu waktu solat dari satu waktu ke satu waktu bagaikan seorang kekasih yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan buah hatinya. Selesai sahaja waktu Zohor dia akan ternanti-nanti pula untuk menunaikan solat Asar, Maghrib, Isyak’, Subuh dan seterusnya sehinggalah beliau pergi menemui Penciptanya buat selama-lamanya. Manusia dalam kategori ini akan sentiasa merasa gelisah dan keluh kesah menanti waktu solat kerana solat adalah saat yang paling indah untuk dia bercakap-cakap dengan Allah dengan penuh khusyuk dan tenang. Malahan dia akan bersiap sedia lebih awal menunggu waktu tibanya solat fardhu tanpa menunggu azan berkumandang. Alangkah indahnya jika kita dapat sampai ke tahap ini.

Menurut Dr.Zulkifli lagi insan-insan seperti ini sangat sukar untuk dicari di dalam zaman yang serba canggih ini. Mungkin mereka ini ada di kalangan kita atau mungkin juga mereka ini tiada lagi di kalangan kita. Beruntunglah jika kita dapat bertemu dengan insan-insan seperti ini.

Saya dapat membuat kesimpulan bahawa perasaan rindu dan cinta ini lahir kerana mereka merasa lazat dengan ibadah yang mereka jalani. Sebagai contohnya, mereka merindukan waktu solat kerana solat mereka sungguh khusyuk dan mendamaikan. Mereka rindu untuk berwuduk kerana wuduk mereka sungguh sempurna dan menggugurkan dosa-dosa mereka. Mungkin ini antara sebab utama mengapa perasaan cinta itu lahir dalam diri mereka sehingga gambaran keseronokan syurga dan kedasyatan neraka hilang dari pandangan mereka kerana asyik dan khusyuknya mereka.

Muhasabah dan ‘evaluate’ di mana kedudukan kita pula.

Teringat saya pada nama-nama besar dalam sejarah Islam

Teringat saya pada Rabiatun Adawiyyah..

Teringat saya pada Hassan Al-Basri

Teringat saya pada Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

Teringat saya kepada Imam Syafie

Insan-insan terpilih.

Marilah sama-sama kita berusaha ke arah itu. Kita beribadah kerana  mengharapkan syurga Allah, juga kerana kita  takutkan azab api neraka, tetapi dalam masa yang sama kita juga merasa terlalu rindu dan cintakan Allah. Berusahalah supaya perasaan itu datang singgah dalam diri kita biarpun sekejap cuma kerana perasaan itu tentunya indah.

Kata Ibn Ato’illah As-Sakandari:

“Cinta yang agung ialah apabila seseorang itu berjaya mengusir perasaan cintanya kepada makhluk dari hatinya dan menempatkan cinta kepada Allah sebagai kecintaan yang hakiki dalam hatinya”.

Moga bermanfaat

Abu Wafi

Photo: Ishafizan

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: