Siapalah kita

Published January 15, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya suka membanding-bandingkan diri saya dengan orang lain dan saya pasti orang lain juga begitu.

Saya suka membandingkan diri saya dengan orang kaya yang rumahnya besar, keretanya besar, tanahnya luas, kebunnya banyak, simpanan wangnya di bank banyak dan keluarganya bahagia.

Saya suka membandingkan diri saya dengan CEO yang bertaraf ‘billionaire’ dan kadangkala berangan-angan ingin menjadi seperti mereka dan mengikut jejak langkah mereka kerana bagi saya mereka telah menemui puncak kebahagiaan yang hakiki di dunia ini.

Saya juga suka membaca kisah-kisah kejayaan hidup mereka dan cabaran yang mereka hadapi dalam mencapai cita-cita besar mereka.

Saya juga pernah bercita-cita untuk mengumpul RM1 juta sebaik sahaja mencecah umur 30 tahun kerana saya yakin bahawa duit yang banyak itu adalah permulaan untuk kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Saya juga pernah mengeluh dan merasa sedih bila gagal mengikuti jejak langkah mereka. Pernah juga saya bertanya kepada diri kenapa saya tidak boleh jadi seperti mereka atau kenapa saya tidak dilahirkan di dalam keluarga yang kaya raya kerana itulah kebahagiaan yang saya impi-impikan.

Bila melawat rumah-rumah orang kaya di sekitar KL saya selalu merasa kagum dan berkata kepada diri saya;

“Bilalah aku dapat duduk di rumah sebesar ini? “

Timbul perasaan sedih mengenang nasib diri yang tidak dapat menandingi mereka sehingga ada kalanya timbul rasa tidak puas hati.

Saya juga suka membandingkan diri saya dengan artis popular seperti Mawi atau beberapa nama besar lain dalam industri hiburan. Alangkah indahnya kalau saya dapat jadi se’glamour’ dan sepopular mereka. Pergi ke sana sini disambut peminat dan menjadi kegilaan ramai. Saya terus berangan-angan untuk menjadi seperti mereka walaupun saya tahu saya tidak akan sampai ke sana.

Saya yakin dan saya pasti bahawa bukan saya seorang sahaja yang pernah berperasaan seperti itu kerana lumrah manusia suka melihat kejayaan manusia berasaskan faktor kekayaan dan  harta benda yang dimiliki.

Memang tabiat manusia yang suka membandingkan diri dengan orang lain di sekeliling kita. Hatta ibu bapa sendiri pun suka membandingkan pencapaian anak dengan anak yang lain. 

Tetapi pernahkah kita membandingkan diri kita dengan orang-orang soleh yang telah mendahului kita.

Pernahkah kita membandingkan diri kita dengan kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat yang serba kekurangan tetapi dalam masa yang sama berjaya mencipta sejarah yang hebat ?

Pernahkah kita membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan Umar Abdul Aziz, Hassan Al- Basri, Uwais al-Qarni atau Rabiatun Adawiyah serta generasi salafusoleh di sepanjang zaman?

Pernahkah kita cuba mencontohi mereka?

Pernahkah kita berusaha untuk menjejaki hidup mereka?

Pernahkah kita menjadikan mereka sebagai idola hidup kita?

Pernahkah kita meletakkan sasaran hidup kita mahu berjaya seperti mereka?

Merebut dunia yang sedikit dengan seadanya dan meraih ganjaran akhirat yang lebih bermakna.

Pernahkah kita merasa terkilan atau kecewa kerana tidak dapat menjejaki dan mencontohi mereka?

Pernahkah semua ini terlintas di fikiran kita?

Mungkin ada yang akan berkata, mana mungkin untuk membandingkan diri kita dengan insan-insan soleh yang telah mendahului kita kerana contoh ketara kehidupan mereka tiada di hadapan mata.

Kita tidak pernah melihat bagaimana rumah Rasulullah saw di Madinah yang serba kurang dan seadanya.

Kita tidak pernah merasai dan memahami perasaan lapar baginda yang tidak pernah rasa kenyang 3 hari berturut-turut sepanjang kehidupannya.

Kita juga tidak pernah memahami perjuangan para sahabat yang menemui syahid di medan Uhud.

Kita juga tidak pernah merasai bagaimana sengsaranya Bilal bin Rabbah bila batu besar diletakkan di belakang badannya dan dijemur di tengah panas.

Kita juga tidak pernah melihat besar manakah istana Sayyidina Umar Al-Khattab kerana tiada kesan-kesan sejarah yang boleh dibangga-banggakan.

Jadi mana mungkin kita boleh membandingkan diri kita dengan mereka tanpa menelusuri sejarah kehidupan dan perjuangan mereka. Hanya dengan membaca sejarah dan sirah kita akan dapat menghayati dan memahami mereka.

Bacalah sejarah Rasulullah saw, bacalah kisah-kisah kehidupan para sahabat dan kisah-kisah para salafussoleh yang telah mendahului kita. Jika berkemampuan, apa salahnya kita melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah seperti medan Uhud, Madinah dan Makkah untuk melihat sendiri dan mengambil ibrah daripada peristiwa yang berlaku.

Ketika mengikuti rombongan umrah tahun lepas, saya dibawa ke medan Uhud. Persinggahan sebentar di sini sahaja sudah membuatkan saya rasa sebak bila melihat makam syuhada’ Uhud. Saya melihat di sekeliling Uhud dan berdiri di atas bukit yang menempatkan tentera pemanah sambil membayangkan suasana peperangan ketika itu. Tambah mengharukan ialah apabila melihat ada jemaah umrah yang menangis teresak-esak ketika menadah tangan berdoa kerana mengenangkan pengorbanan Rasulullah saw dan para sahabat untuk menegakkan Islam. Kita dituntut untuk belajar daripada orang-orang yang telah mendahului kita.

Ketika  rumah baginda Rasulullah saw hendak dirobohkan bagi tujuan pembesaran dan perluasan Masjid Nabawi, seorang tabi’en terkenal bernama Hassan Al- Basri menulis;

“Ketika aku masuk ke rumah baginda aku mengangkat tangan aku dan aku dapati  tanganku mencecah ke bahagian bumbung rumah. Alangkah bagusnya kalau rumah ini dapat dikekalkan supaya generasi akan datang dapat mengambil pengajaran dan mencontohi kehidupan baginda. Pada hari itu, aku melihat dan mendengar tangisan penduduk Madinah yang begitu kuat sekali sehingga hampir kedengaran di seluruh Madinah ekoran sedih dan sayangnya mereka kepada Rasulullah saw”.

Begitu juga kisah yang menceritakan mengenai zuhudnya Rasulullah saw apabila ditawarkan oleh Allah swt untuk menjadikan Batha`atau Makkah sebagai kawasan emas yang akan memudahkan dakwah baginda. Sebaliknya baginda memilih hidup bersederhana dan bersabda:

Ya Allah aku memilih kenyang sehari dan lapar sehari.Apabila aku lapar, aku akan memohon kepadaMu dengan rendah hati dan apabila aku kekenyangan, aku bersyukur dan memujiMu. ( Riwayat Ahmad no 22244, al-Tirmizi no 2347, al-Tabarani no 7835, al-Baihaqi no 1467 , Ibnul Mubarak no 196 )

Bandingkan kehidupan baginda dengan kehidupan kita.

Bandingkan kekurangan Baginda dengan kelebihan yang ada pada kita.

Kekurangan inilah yang menjadikan mereka hebat di sisi Allah dan di mata manusia.

Hebat kerana mereka memilih untuk hidup dengan sifat qanaah, tidak melampau-lampau, zuhud, bersederhana, tidak mengejar pangkat dan harta malah menolaknya kerana tidak mahu harta itu menduduki hati mereka.

Hebatnya mereka berbanding kita !

CONTOH SEMASA

Saya pernah membaca kisah hidup As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin yang mati dibedil peluru berpandu tentera Israel ketika di atas kerusi roda. Beliau hidup serba kekurangan dengan hanya tinggal di sebuah flat kecil yang sering mengalami kerosakan alat pemanas. Walaupun pernah ditawarkan untuk tinggal di sebuah rumah yang selesa atas kapasitinya sebagai pemimpin HAMAS beliau menolak dan berkata;

“Aku ingin menduduki rumah yang lebih besar di syurga kelak.”

Begitu juga kisah Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin. Membaca kisah hidupnya boleh saja menumpahkan air mata. Beliau menghabiskan sebahagian besar masa kecilnya di kem-kem pelarian yang tentunya jauh bezanya dengan kehidupan kita semasa kecil. Jika ditanya, saya pasti hampir  tiada seorang pun di antara kita yang mempunyai pengalaman tinggal di kem-kem pelarian. Justeru, saya hanya boleh membayangkan kesengsaraan yang ditanggung oleh beliau sejak kecil yang hidup dengan di kelilingi dawai berduri. 

Tetapi Syeikh Ahmad Yassin dan Ismail Haniyeh muncul sebagai seorang tokoh yang dikagumi dan disegani ramai khususnya dunia Islam. Mereka hebat kerana menjadikan akhirat sebagai sasaran terakhir hidup mereka.

 Mereka hebat kerana mereka melihat dunia ini kecil dan akhirat itu besar.

Justeru, mari bandingkan hidup kita dengan mereka semua.

Siapalah kita berbanding mereka.

Berusahalah untuk sedih kerana tidak mampu menjadi seperti mereka.

Berusahalah untuk  sedih kerana iman kita lemah berbanding mereka.

Berusahalah  untuk sedih kerana jauhnya kita dari mereka.

Bandingkan kesusahan mereka dengan kesenangan kita.

Bandingkan amalan kita dengan amalan mereka.

Bandingkan kualiti solat kita dengan solat mereka.

Berapa kali pula kita bangun bertahajud di tengah malam yang sunyi berbanding mereka.

Bandingkan dan bersedihlah jika kita tidak dapat mengatasi mereka dalam hal-hal ukhrawi yang kekal abadi.

Mudah-mudahan dengan perasaan sedih dan rendah diri itu akan membantu kita memperbetulkan dunia kita yang semakin hari semakin tersasar.

Kecilkan pandangan kamu kepada dunia, besarkan pandangan kamu kepada akhirat. Nescaya kamu sedang menghampiri mereka.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic Ishafizan Ishak

2 comments on “Siapalah kita

  • sdraku, konsep QANAAH semakin disalah ertikan. sederhananya Nabi dlm solat hingga bengkak kakinya .
    membanding dengan yg diatas memang tak akan cukup tapi membanding dgn mereka yg tidak cukup akan menginsafkan.

    • Walaupun tidak dapat mencontohi Nabi saw 100 % , sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencontohi baginda dalam beberapa perkara. Sentiasa membandingkan diri dengan orang2 di bawah kita nescaya hati kita akan merasa syukur dengan apa yang ada. Insyallah, dari situ titik permulaan untuk mendapatkan sifat qanaah yang baik.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: