Sehasta dari Neraka

Published January 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’ud r.a. beliau berkata: Rasulullah saw bersabda … Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab (takdir) lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab (takdir) lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.             
 
Hadith Bukhari dan Muslim

Ahad lepas TV 9 menampilkan Rancangan Halaqah bertajuk Bila Cinta Ku Lafazkan. Panel jemputan pada malam itu ialah Dr. Zulkifli Al-Bakri dan Ustaz Farid Ravi Abdullah. Topik pada malam tersebut berkisar mengenai nikmat hidayah yang dianugerahkan kepada mereka yang memeluk Islam. Dalam masa yang sama, mereka mengajak para penonton supaya menghargai nikmat Islam yang telah dianugerahkan oleh Allah sejak kelahiran kita di dunia ini.

Cuma kurang sehasta

Saya mendengar kisah Ustaz Farid Ravi Abdullah mengenai pengalaman dia ketika mula-mula memeluk Islam. Beliau berhadapan dengan ujian dan dugaan dari keluarga sehingga abangnya sendiri telah memukul beliau. Namun, kerana hidayah yang telah membuka pintu hatinya untuk Islam, beliau teguh, tabah, sabar dan istiqamah dengan ujian yang diterima. Di akhir rancangan beliau membaca dan mengupas hadith di atas.

“Pada mulanya saya sendiri tidak memahami maksud hadith sehasta dari neraka” kata beliau.

“Tetapi peristiwa abang saya yang menyusul saya memeluk Islam telah memberikan kefahaman yang jelas kepada saya mengenai hadith tersebut.”

“Pada suatu hari abang yang pernah memukul saya menghubungi saya dan meminta supaya saya agar menunjukkan dia jalan yang lurus. Setelah berjumpa dengan beliau fahamlah saya bahawa beliau ingin memeluk Islam dan akhirnya saya menunjukkan jalan yang lurus tersebut. 2 minggu selepas melafazkan syahadahnya, beliau meninggal dunia sebagai seorang Muslim.”

Kisah Ustaz Farid Ravi Abdullah mengenai keislaman abangnya benar-benar menyentuh hati saya. 2 minggu sebelum itu, jaraknya dengan neraka tidak lebih dari sehasta sahaja tetapi setelah beliau memeluk Islam jarak beliau dengan  syurga menjadi begitu dekat.  Takdir Allah menjemputnya dalam keadaan dosa beliau bertahun-tahun melakukan amalan ahli neraka terhapus begitu sahaja.”

Daripada seorang yang bertahun-tahun syirik dan kufur dengan Allah tiba-tiba di saat-saat akhir hidupnya beliau menerima hidayah dan beriman dengan Allah. Paling manis sekali ialah bila beliau pergi menghadap Allah dalam keadaan kepercayaan dan aqidah yang teguh dengan Islam. Walaupun cuma 2 minggu dan tidak sempat belajar banyak mengenai bagaimana menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, namun kita yakin rahmat dan kasih sayang Allah itu besar untuk menganugerahkan syurga kepada arwah.

Kisah Ustaz Farid Ravi mengingatkan saya kepada kisah tukang sihir Firaun yang hanya sempat beriman beberapa minit sahaja sebelum dihukum mati oleh Firaun.

Kesimpulannya, amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat.

Boleh jadi sepanjang kehidupannya dia banyak melakukan kebaikan tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Inilah yang kita takutkan.

Mungkin ada yang akan bertanya, kalau begitu, apa perlunya kita melakukan amalan soleh jika nasib kita di akhirat telah pun ditentukan Allah?

Sebenarnya tidak !

Penentuan nasib kita di akhirat kelak adalah atas rahmat Allah dan rahmat Allah kepada kita bergantung kepada amalan yang kita lakukan ketika hidup di dunia.

Kita perlu melakukan amal soleh semaksima mungkin kerana itu adalah jalan-jalan orang yang bahagia di sisi Allah. Rasulullah saw bersabda :

“Tidak ada seorang dari kamu melainkan tempat duduknya dari neraka dan tempat duduk dari syurga. Lalu mereka bertanya: Ya Rasulullah! Kalau begitu maka apakah kami berserah sahaja kepada tulisan kami (takdir) dan kami tinggalkan amal? Rasulullah bersabda: Beramalah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Ada pun orang dari golongan bahagia maka ia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang yang dari golongan celaka maka ia akan beramal dengan amal golongan celaka.

Manakala di dalam Surah Al-Lail (5-10) pula Allah berfirman:

 Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya); serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

Ya, Allah akan memudahkan jalan-jalan kita ke syurga sekiranya segala amalan yang kita lakukan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, penuh tawadhuk dan mengharapkan keredhaanNya.

Dalam masa yang sama, janganlah terlalu yakin bahawa amal kebajikan kita sudah banyak dan sudah melayakkan kita meraih syurga kerana kita tidak tahu apakah Allah telah menerima semua amalan tersebut. Buangkan jauh-jauh perasaan riak, ujub (kagum dengan diri sendiri) dan ghurur kerana perasaan-perasaan sebegini boleh merosakkan amalan sekaligus menghijab atau menghalang kita daripada mendapat rahmat Allah.

Rasulullah saw mengajar umatnya supaya berdoa :

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati manusia! Tetapkanlah hatiku atas agamaMu.”

Berdoa agar kita ditetapkan di atas ketaatan kepadaNya. Berdoa agar hati kita tidak berubah dan terjerumus ke dalam lembah maksiat lagi hina di saat-saat akhir kehidupan kita. Berdoa agar khatimah atau kesudahan hidup kita berakhir dengan penyudah yang baik. 
“Wahai Tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati-hati kami, setelah engkau berikan petunjukMu kepada kami, Berikanlah kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi.”
 Ada 2 perkara penting:
 
Minta tetap iman
Minta rahmat !!!
 
Tiba-tiba hati saya terdetik !!!!
 
Di manakah kedudukan saya di sisi Allah pada ketika ini?
 
Sehasta dari neraka atau sehasta dari syurga ????
 
Mari merenung dan muhasabah diri!!!!!
  
 Abu Wafi, Putrajaya
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: