Tarikh luput

Published January 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

4 hari lepas pokok betik di halaman rumah saya tumbang. Sejak kami sekeluarga pindah ke sini 3 tahun yang  lepas, pokok betik itu telah pun tertegak di situ.Tidak pernah sekali pun berbuah. Tingginya menggapai ke bumbung. Saya pernah bercadang untuk menebangnya kerana daunnya yang seringkali gugur dan menimpa rumah jiran sebelah tetapi beberapa kali ditangguhkan kerana risikonya agak tinggi jika pokok betik besar ini ditebang tanpa pengawasan yang betul. Apatah lagi, faktor pokoknya yang besar serta halaman rumah saya yang  kecil boleh saja membahayakan dan menyebabkan kerosakan kepada harta benda.

Dan pada hari itu, pokok betik yang besar tersebut condong ke kiri setelah hujan lebat turun dan angin kencang menolak pokok betik tersebut sehingga tersandar ke dinding rumah. Bimbang dengan musibah besar yang mungkin berlaku, saya mengalihkan kenderaan dari ruang porch ke luar.

Esoknya saya memegang batang pokok betik sambil menggoyang-goyangnya. Batangnya keras namun akarnya saya lihat telah pun reput. Hanya menunggu masa sahaja untuk  rebah ke bumi.  Saya memberanikan diri sambil memohon pertolongan Allah agar memudahkan kerja saya. Dengan bantuan pembantu rumah kami mengikat tali ke pagar dan mula menebang menggunakan parang. Sedikit demi sedikit dan akhirnya pokok betik tersebut tumbang secara menegak lantas kami membaringkan ke bawah dengan berhati-hati. Memang berat pokok tua ini. Batang pokok itu dipotong-potong kepada beberapa kerat sebelum dilonggokkan di hadapan rumah. Berakhirlah hayat pokok betik tua tersebut.

Saya melihat sisa-sisa pokok betik tua ini yang terdampar di hadapan rumah menunggu masa untuk reput. Sambil memerhatikan batang-batang pokok tersebut  saya membandingkan diri saya dengan pokok betik tua yang baru tumbang itu.

Tarikh luput manusia

Setiap makhluk yang hidup dan melata di muka bumi ini mempunyai tarikh luput. Kalau kita perhatikan, barang-barang keperluan seperti kicap, sos, susu dan lain-lain mempunyai tarikh luput yang telah siap ditulis pada labelnya. Bezanya manusia sebagai hamba Allah tidak mengetahui bilakah tarikh luput kita kerana pada tubuh badan manusia tidak mempunyai label yang mencatitkan tarikh luput manusia.

Tarikh luput kita adalah hari kita meninggal dunia.

Tarikh luput kita adalah hari perpindahan kita dari dunia ke alam barzakh.

Tarikh luput kita adalah hari terakhir kita hidup di dunia ini.

Tarikh luput manusia tidak boleh dilanjutkan atau renewed seperti tarikh luput pada lesen memandu. Sebaik sahaja tamat tarikh luput manusia, bermakna tiada lagi peluang untuk kita kembali ke dunia ini.

Soalnya bilakah tarikh luput kita itu?

Tarikh luput hidup manusia adalah dalam pengetahuan Allah. Cuma yang pasti setiap seorang dari kita telah pun mempunyai tarikh luput itu.  Allah sengaja merahsiakan. Mungkin jika manusia sudah mengetahui tarikh luput masing-masing sudah tentu  ada yang akan merancang bila hendak melakukan kebaikan, bila hendak melakukan maksiat dan bila pula masa yang sesuai untuk bertaubat dan beramal soleh.

Firman Allah:

“Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati; dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu akan dikembalikan.” (Al-Anbiya’: 35)

“Kami tidak membuat sesuatu makhluk sebelum kamu (Muhammad) untuk hidup selama-lamanya.” (Al-Anbiya’ :34)

Benarlah, bahawa tiada makhluk di atas muka bumi ini akan hidup untuk selama-lamanya. Manusia, tumbuh-tumbuhan yang melata dan haiwan yang berkeliaran akan mati juga. Jika diperhatikan alam dunia tempat kita tinggal, mencari rezeki dan bersuka ria ini pun suatu hari nanti akan musnah juga. Sistem alam dan sistem cakerawala  juga mempunyai tarikh luput yang tidak kita ketahui melainkan melalui tanda-tanda akhir zaman yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadith. Setelah berlakunya tanda-tanda tersebut, maka insaflah bahawa dunia yang kita diami ini sedang menuju saat-saat kemusnahannya.

Dunia yang indah akan ditinggalkan

Allah tidak memberitahu bilakah tarikh luput manusia. Allah juga tidak memberitahu bilakah tarikh luput alam dunia ini. Semuanya dirahsiakan bagi menguji keimanan dan ketaqwaan manusia kepada Allah. Tetapi Allah yang Maha Penyayang Lagi Mengasihani memberikan tanda-tanda akan berakhirnya kehidupan kita.

Sedarlah… bila segala kekuatan yang ada pada kita telah lemah, kudrat tidak sekuat dulu, mata sudah semakin kabur, telinga semakin kurang pendengaran, ingatan semakin mudah lupa, rambut mula beruban, badan mula sakit di sana sini, makan sudah mula berpantang adalah antara tanda-tanda bahawa kita sedang menuju kepada tarikh luput kita.

Insaflah… bila alam mula berubah, iklim dan cuaca sudah tidak mengikut musim lagi, berlakunya gempa bumi, tanah runtuh,banjir besar, ribut taufan adalah tanda-tanda bahawa bumi yang kita diami ini juga sedang menuju kepada tarikh luputnya.

Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa bersiap sedia untuk menunggu tarikh luputnya. Dia tidak akan menunggu sehingga waktu sudah benar-benar terlewat. Dia akan menggunakan masa lapangnya untuk beribadat sebelum masa sibuknya datang. Dia akan menggunakan masa sihatnya untuk kerja-kerja kebajikan sebelum dia jatuh sakit. Dia akan mengerahkan seluruh waktu mudanya untuk Allah sebelum dia dipanjat usia tua. Dia akan melaburkan harta bendanya di jalan Allah sebelum dia dihimpit kesempitan hidup.

Dia akan lakukan semua yang terdaya selagi kesempatan yang terbaik masih ada untuk amal soleh. Dia bijak, kerana dia tahu dan sedar bahawa tarikh luputnya akan datang bila-bila sahaja. Mungkin sahaja esok atau lusa kerana itu dia tidak pernah berlengah-lengah dan bertangguh-tangguh dalam mengerjakan kebajikan dan mencari keredhaan Allah.

Saya merenung pokok betik yang tumbang itu lalu mengambil beberapa tangkai daunnya yang masih muda untuk dibuat ulam.

Sesungguhnya ada ‘ibrah di sebalik peristiwa ini. Alhamdulillah, ada sesuatu yang boleh saya pelajari dari pokok betik tua ini.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic  No.2 :Ishafizan Ishak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: