Umat ini sedang sakit

Published January 7, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya merenung peristiwa pembunuhan kejam 4 sekeluarga yang berlaku di Gemencheh, Negeri Sembilan. Pembunuhan yang sungguh ngeri sehingga kaki, tangan dan kepala terpisah dari jasad. Pembunuhan kejam ini mengingatkan saya kepada filem-filem kejam seperti “The Lamb” yang tidak berperikemanusiaan. Paling menyedihkan dan mengejutkan adalah suspek utama kes ini adalah darah daging kepada si mati sendiri.

Saya berfikir panjang semalaman sambil merenung kejadian yang berlaku. Apa sudah jadi kepada umat ini? Di mana letaknya kewarasan si pelaku yang melakukan pekerjaan terkutuk ini?

Apakah yang telah merasuk si pelaku untuk bertindak di luar batas-batas kemanusiaan? Mungkinkah suspek utama pembunuhan ini mengalami masalah mental sehingga mampu bertindak di luar kewarasan?

Saya membaca berita. Ada pelbagai komen teori dan analisis mengenai motif pembunuhan kes ini yang saya dapati melalui pembacaan secara sepintas lalu. Semuanya berkaitan dengan tekanan perasaan, gangguan emosi dan tekanan hidup yang berpanjangan. Saya berfikir lagi dan lagi….

Semalam semasa dalam perjalanan ke rumah dari pejabat, saya mendengar rancangan Usrah Rasa Hati. Saya tertarik dengan ulasan Tuan Tabib seorang yang tajam analisanya mengenai hati manusia. Katanya, kita sekarang telah meletakkan sasaran yang salah dalam mengatur kehidupan kita. Kita mempunyai hospital pakar di seluruh negara. Kita mempunyai pakar mata, pakar jantung, pakar kanak-kanak, pakar buah pinggang, pakar sakit puan dan bermacam-macam lagi pakar untuk merawat penyakit-penyakit fizikal manusia. Malangnya kita tidak mempunyai pakar yang mampu merawat hati yang sakit. Hati yang dimaksudkan di sini adalah ‘Qalb’ yang seringkali kita sebut di dalam doa-doa kita selepas solat.

” Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati (Qalb) manusia, tetapkan hatiku atas agamamu”

Hati di sini, bukanlah hati secara fizikal yang kita fahami dari sudut perubatan sebagai satu alat untuk memproses dan mencerna bahan makanan. Tetapi hati yang dimaksudkan di sini adalah hati dari sudut ‘maknawi’ yang tidak kelihatan dek mata kasar tetapi sebenarnya wujud dalam diri setiap manusia.

Lihatlah pada peristiwa di mana Nabi Muhammad saw telah dibelah hatinya oleh Jibril as lalu mengambil hati Baginda untuk disucikan daripada segala kekotoran dan penyakit-penyakit hati. Justeru, hati ini perlulah dirawat dan diubati kerana hati yang sakit dengan penyakit-penyakit mazmumah ini tiada ubat atau pil khusus untuknya  melainkan melalui  jalan-jalan iman dan taqwa. Jika tindakan segera untuk merawat dan mengubatinya tidak diambil segera maka mudahlah jiwa manusia tersebut dikuasai oleh nafsu yang cenderung kepada kejahatan dan syaitan yang sedang menunggu di luar.

Saya tertarik dengan idea Tuan Tabib itu. Beliau mencadangkan supaya sebuah institusi khas ditubuhkan untuk merawat mereka yang mengalami penyakit hati. Walaupun cadangan ini kelihatannya lucu atau mungkin dipandang aneh oleh sesetengah pihak namun saya melihatnya sebagai satu lontaran idea “thinking out of the box” yang berupaya untuk mengatasi kebejatan sosial dan penyakit umat Islam yang semakin kronik.

Cuba kita lihat dan analisa satu persatu. Penyakit-penyakit hati yang wujud ialah seperti sombong, bongkak, takabbur, tinggi diri, dengki, khianat, cemburu, buruk sangka,  riak, ghurur, ujub dan lain-lain lagi. Semuanya adalah sifat ‘mazmumah’ yang boleh menukar imej seorang manusia dari baik kepada buruk. Malahan mampu merendahkan darjat manusia  jika ia bertindak melampaui batasan yang sepatutnya. 

Rasa dengki dan khianat boleh membawa kepada berlakunya pembunuhan dan kerosakan harta benda orang lain.

Rasa cemburu boleh menyebabkan berlakunya fitnah dan ‘character assassination’ ke atas individu lain.

Rasa ujub atau kagum pada diri sendiri boleh menyebabkan seorang alim merasa suci hati sehingga memandang rendah dan kotor kepada manusia lain yang tidak mampu beribadat seperti beliau.

Perbuatan buruk sangka atau husnu zan kepada orang lain boleh menyebabkan tersebarnya fitnah yang meluas di dalam masyarakat sehingga mengucar kacirkan keadaan yang aman.

Perasaan tamak haloba boleh menyebabkan berlakunya jenayah rasuah dan penindasan kepada kaum yang lemah. 

Perasaan ghurur  boleh saja merosakkan amal soleh  dan rasa ikhlas dalam hati.

Begitulah seterusnya dan seterusnya … Hanya hati yang sakit dan berpenyakit sahaja akan melakukan perkara-perkara sedemikian. hati yang bercahaya lagi sihat sejahtera tidak mungkin tergamak melakukan kejahatan.

Kes pembunuhan di atas bukanlah satu kes yang terpencil. Banyak lagi kes-kes yang saban hari dilaporkan di media massa yang boleh saja meruntun perasaan kita. Pembuangan bayi di sungai, longkang dan tempat pembuangan sampah makin menjadi-jadi. Kes ragut yang menyebabkan kematian juga tidak kurang statistiknya. Kes rogol dan zina sudah tidak terbilang lagi. Belum lagi dihitung masalah sosial dan keruntuhan akhlak muda mudi yang tidak lagi mengenal malu dan sempadan.  Sadisnya watak-watak utama yang terlibat adalah Muslim.

Saya merenung lagi. Benarlah bahawa umat ini sedang sakit dan sakitnya adalah berpunca dari hati yang rosak. Lantas mengingatkan saya kepada satu hadith:

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.                         

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hati ibarat raja yang mengawal diri. Hati yang baik akan mengendali manusia ke jalan yang diredhai Allah. Hati yang baik adalah hati yang penuh dengan cahaya dan sifat ‘mahmudah’. Mahmudahnya hati kerana penuh dengan sifat tawadhuk, redha, sabar, berlapang dada, qana’ah (seadanya), ikhlas, tulus, amanah, jujur, sentiasa bersangka baik dan sentiasa cenderung ke arah kebaikan.

Bagaimana memperolehinya ???

Saya bersetuju dengan pandangan Tuan Tabib bahawa kita sebenarnya telah meletakkan sasaran yang salah. Kita terlalu mengejar kemajuan fizikal sehingga kita mengabaikan aspek maknawiyah atau kerohanian. Umat ini masih kurang sentuhan rohani yang boleh merawat hati yang rosak agar berubah menjadi hati yang  baik.

Sudah sampai masanya sesuatu dilakukan untuk memperbaiki kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Cadangan Tuan Tabib ada benarnya. Jika tidak dapat ditubuhkan institusi khusus bagi merawat hati yang sakit sekurang-kurangnya gerakkan program-program dakwah yang membawa masyarakat kepada mengenali hakikat kehidupan dan tujuan penciptaan hidup.

Letakkan satu tujuan dan matlamat bahawa  kita semua  berazam untuk pergi menemui Pencipta kita dalam keadaan hati yang sejahtera setelah transit kita di dunia yang sementara ini menemui penyudahnya.  

Punca segala masalah dan kerosakan yang berlaku kepada umat ini adalah kerana hati yang rosak menyebabkan akal menjadi tidak waras, hilang pertimbangan sehingga membawa kepada tindakan di luar waras kemanusiaan.

“Ya Allah Bantulah Aku. Tetapkan Aku Di Atas Ketaatanmu.Kurniakanlah Aku Hati Yang Sihat Dan Sejahtera Dengan Siraman Sifat-Sifat Mahmudah. Buangkan Sifat Mazmumah Dari Hatiku. Letakkanlah Cahaya Dalam Hatiku. Agar hati yang bercahaya dengan nur Mu akan mengendali diriku ke jalan yang engkau redhai. Agar cahaya yang engkau letakkan akan membawa aku ke syurgaMu”.

Abu Wafi, Putrajaya

Monolog:  Masih tidak dapat melupakan kisah seorang ibu di Pulau Pinang yang sanggup membunuh 3 orang anaknya dengan menekap muka mereka dengan bantal ketika tidur tahun lepas. Motifnya cemburu pada suami yang dikatakan mempunyai perempuan lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: