Bersama Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Published January 5, 2010 by Menikmati Takdir Langit

 

Bertuah sekali bumi Malaysia. Seorang demi seorang ulama  dunia mengunjungi kita. Bermula dengan Al-Allamah Dr.Yusuf Al-Qaradhawi, diikuti dengan Dr. Wahbah Al-Zuhaili sebelum itu Prof. Tariq Ramadhan, awal tahun 2010 pula kita menerima kehadiran seorang ulama tersohor nusantara iaitu Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari. Beliau juga terkenal sebagai Al-Azhar At-Thani di Mesir atau Al-Azhar kedua kerana ramai pelajar Malaysia, Indonesia dan Thailand di universiti Al-Azhar menimba ilmu daripada beliau. Beliau singgah di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi pada 2 Januari 2010  untuk menyampaikan tausiyah kepada para jemaah. Majlis yang dinamakan sebagai ” Majlis Tafaqquh Fiddin” diadakan seusai solat Maghrib. Saya mendapat berita mengenai kedatangan ulama dari Banjarmasin, Indonesia ini setelah dimaklumkan oleh salah seorang rakan yang mengikuti pengajian di Masjid Al-Falah USJ. Maklumat lanjut mengenai tokoh ulama boleh dilayari di www.al-fanshuri.blogspot.com.

Saya sampai di surau An-Nur sekitar jam 8.10 malam. Hujan masih renyai-renyai dan sesekali sedikit lebat, namun ini sama sekali tidak menghalang para peminat, pengkagum dan pencinta ilmu datang berduyun-duyun untuk menadah ilmu dan mengambil barakah dari tokoh ulama terkemuka ini. Kenderaan kelihatan berjejal-jejal dan diletakkan di sepanjang surau an-nur. Suasana di dalam surau cukup padat dengan jemaah lelaki dan wanita. Alhamdulillah, saya dapat menyusup di celah-celah ratusan manusia dan mendapat tempat di tengah-tengah surau.

Lebih kurang pukul 8.30 malam, majlis dimulakan dengan lantunan qasidah yang dipimpin oleh Ustaz Khusairi salah seorang anggota rombongan Pak Kiai yang turut serta. Qasidah selama 5 minit mengandungi puji-pujian kepada Nabi saw sambil diiringi dengan bantuan alat-alat perkusi. Bergema  surau dengan lantunan dan alunan suara beliau yang disambut oleh para jemaah yang hadir. Sungguh syahdu sekali. Inilah kali pertama dalam hidup saya mendengar qasidah yang sungguh indah yang dilantunkan di dalam surau. Kata Syeikh Nuruddin, tujuan diadakan qasidah ini ialah untuk menghidupkan rasa ‘kebersamaan’ para jemaah dengan majlis tersebut selain dapat mengingatkan kepada perjuangan baginda Rasulullah saw. Sungguh menarik sekali pendekatan dakwah yang dibawa oleh Syeikh Nuruddin ini. Hatta kanak-kanak kecil sendiri tertarik dengan qasidah dan bunyi lantunan percussion yang mengusik jiwa.

MENCARI NUR

Usai qasidah Syeikh Nuruddin memulakan tausiyahnya bertajuk mencari nur atau cahaya. Katanya hidup kita tidak akan bermakna jika tiada cahaya. Nur yang dicari bukanlah nur kasih manusia sebaliknya nur kasih dari Allah swt yang melimpahkan rahmatnya kepada kita semua melalui nur atau cahayaNYA.Kita memerlukan cahaya untuk memandu kehidupan ke arah jalan yang benar dan semestinya cahaya itu datangnya dari Allah melalui Al-Quran dan hadith. Beliau membuat analogi bahawa jika di dunia saja kita memerlukan cahaya di akhirat kita lebih memerlukan cahaya. Bayangkan jika di malam yang gelap gelita kita berjalan sendirian tanpa dibantu oleh cahaya lampu sudah tentu kita akan sesat dan tidak akan menemui jalan pulang. Begitulah di akhirat, tanpa nur atau cahaya dari Allah maka kita tentu lagi lebih sesat. Paling menginsafkan saya, ialah apabila beliau membawa semua untuk merenung kehidupan di alam barzakh yang gelap gelita. Kita sendirian di bawah sana dengan balutan kain putih yang diikat di bahagian tengah dan di hujung kepala. Ketika itu, tiada siapa yang dapat membantu kita. Hanya rahmat Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita pada ketika itu. Kita memerlukan cahaya untuk menerangi kehidupan kita di barzakh dan cahaya itu bergantung kepada amalan kita ketika di dunia. Syeikh Nuruddin berkata bila di barzakh peluang kita untuk kembali ke alam dunia sudah tidak ada lagi kerana pintu rezeki untuk kita telah pun ditutup dan barzakh itu adalah pemisahnya. Syeikh Nuruddin membacakan satu doa daripada Rasulullah saw yang sempat saya catitkan di sini yang saya kira cukup indah dan bermanfaat untuk diamalkan oleh kita semua.

” Wahai Tuhanku, letakkan nur di dalam hatiku, letakkan nur di lidahku, letakkan nur dalam penglihatanku, letakkan nur dalam pendengaranku, letakkan nur di kananku, letakkan nur di kiriku, letakkan nur di atasku, letakkan nur di bawahku, letakkan nur di dalam jiwaku. Jadikanlah diriku bercahaya”

Syeikh Nuruddin menghuraikan tingkatan-tingkatan nur dalam diri seseorang manusia. Bermula dengan nur ilm diikuti oleh nurul hidayah dan nur-nur seterusnya. Nur ilm adalah berkaitan ilmu yang dipelajari manakala nur hidayah adalah amalan yang dilakukan setelah memperolehi nur ilmu. Contohnya, seseorang yang memahami kepentingan solat berjemaah akan dianggap memperolehi nur hidayah setelah beliau benar-benar komited dengan amalan solat berjemaah. Jika beliau sekadar menasihatkan orang lain supaya jangan tinggalkan solat berjemaah sedangkan beliau sendiri tidak menunaikan apa yang dinasihatkan maka itu tandanya beliau belum memperolehi nur hidayah, sekadar pengetahuan mengenai kepentingan solat berjemaah sahaja.

Majlis Tafaqquh Fiddin ini saya kira cukup unik dan lain dari yang lain. Terasa penuh keberkatan. Terasa dinaungi para malaikat. Syeikh Nuruddin cukup menekankan adab-adab dalam majlis ilmu. Sebelum majlis bermula beliau mengingatkan para jemaah supaya mematikan handphone malahan beliau dengan tegas menegur bunyi handphone salah seorang jemaah yang berbunyi. Beliau juga meminta supaya para jemaah duduk dengan sopan dan tidak melunjurkan kaki  kerana katanya para malaikat turut bersama dengan penuntut ilmu. Subhanallah… saya rasa sungguh terkesan dengan peringatan dan pesanan-pesanan Syeikh Nuruddin yang selama ini kurang dititik beratkan oleh sebahagian besar dari kita. Keberkatan dan keberhasilan dalam menuntut ilmu adalah perkara yang cukup dititik beratkan oleh Syeikh Nuruddin.

Syeikh Nuruddin melanjutkan tausiyahnya selama 45 minit kemudian majlis dihentikan 5 minit untuk lantunan Qasidah. Majlis disambung selama 30 minit lagi untuk Q & A. Banyaklah soalan-soalan yang ditujukan kepada Syeikh Nuruddin antaranya kepentingan belajar ilmu tasauf, penggunaan kalimah Allah, isu wahabi yang telah dikupas dan dijawab oleh Syeikh Nuruddin secara spontan dan padat dengan dalil. Terus-terang saya katakan bahawa jawapan beliau penuh dengan analogi kehidupan yang sungguh menarik hati.

Syeikh Nuruddin juga menekankan bahawa agama  bukan semestinya berasaskan dengan rasional akal sahaja. Jika agama mesti berpaksi kepada rasional akal semata-mata maka masyarakat boleh jadi kacau bilau kerana kita hanya menerima apa yang rasional sahaja. Contohnya, ada yang mempertikaikan bagaimana ulama-ulama silam seperti Imam Bukhari dan Imam Syafie boleh khatam Al-Quran dalam masa semalam sahaja. Jawab Syeikh Nuruddin, amalan ini tentulah dilihat sebagai tidak masuk akal  atau tidak rasional jika dinisbahkan/dibandingkan dengan manusia yang hidup di zaman kini yang kebanyakan kurang amalan  sedangkan hakikatnya manusia yang hidup di zaman ulama-ulama silam seperti Imam Bukhari, Imam Syafie, Imam Hanafi dan seangkatan dengan mereka mempunyai personaliti yang sungguh luar biasa berbanding kita di zaman sekarang. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka mampu untuk khatam Al-Quran dalam masa satu malam sahaja. Perkara ini adalah  biasa bagi mereka dan orang-orang di zaman mereka tetapi luar biasa  atau dilihat sebagai tidak rasional oleh orang-orang pada masa kini. Oleh itu, jangan sesekali kita menisbahkan atau membandingkan diri kita yang serba lemah dan faqir iman ini dengan manusia-manusia yang mempunyai ketakwaan yang luar biasa di zaman silam.

Selain itu, antara pesanan-pesanan Syeikh Nuruddin yang sempat saya catitkan ialah:-

(1) Perbanyakkan membaca subhanallah, alhamdulillah dan allahuakbar setiap kali selepas solat 5 waktu ;

(2) Perbanyakkan menyebut kalimah lailahaillalah kerana kalimah ini cukup berat dan memenuhi antara langit dan bumi;

(3) Solat sunat dhuha ; dan

(4) Melakukan solat sunat subuh kerana pahalanya lebih besar daripada bumi dan segala isi yang ada di dalamnya.

Majlis selesai pada jam 10.15 malam dengan solat Isya.  Majlis ilmu selama sejam lebih hampir tidak terasa. Penyampaian Syeikh Nuruddin yang bersahaja, sesekali lucu cukup menghiburkan. Nasihat-nasihatnya cukup berbekas di hati dan terasa menusuk ke dalam jiwa saya. Mudah-mudahan siraman rohani dari Syeikh Nuruddin kepada para jemaah termasuk diri saya yang lemah ini akan memberikan suntikan motivasi untuk meningkatkan amal ibadah di masa-masa akan datang. Saya berdoa semoga Syeikh Nuruddin terus diberi kekuatan oleh Allah untuk berdakwah kepada masyarakat nusantara yang sentiasa dahagakan siraman rohani yang berpanjangan.

Abu Wafi, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: