Kita sebenarnya lebih tua

Published December 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Berakhirlah sudah tahun 1430 hijrah dengan seribu satu pengalaman pahit manis yang mewarnai kehidupan. Walaupun tahun masihi 2009 masih lagi berbaki 2 minggu lagi, umur kita sebenarnya telah bergerak selangkah ke hadapan. Tidak dinafikan bahawa ramai termasuk diri saya mengira umur mengikut kalender gregorian atau masihi tetapi jika dikira mengikut kalender Islam kita sebenarnya lebih tua.  Itulah perhitungan yang sebenarnya. February atau Mac bukan perkiraannya kerana kiraannya yang sebenar adalah berdasarkan Muharram dan seterusnya.

Sekadar satu peringatan untuk kita semua !! 

BERHIJRAH UNTUK KEBAIKAN

Pagi ini seperti biasa saya masuk ke pejabat. Beberapa minit kemudian pintu bilik saya diketuk orang. Seorang staff saya menguak pintu dan mengucapkan terima kasih kerana menghadiri majlis kenduri kahwinnya di Gombak 2 minggu yang lalu.

Cuma saya terkejut, terdiam seketika bila melihat keadaan dirinya. Tidak seperti sebelumnya.

Saya terkejut kerana dirinya telah jauh berubah. Jika dahulu beliau satu-satunya staff saya yang tidak bertudung, tetapi hari ini dengan semangat tahun hijrah 1431, ditambah dengan baru 2 minggu bergelar isteri orang beliau memilih untuk berubah.

Saya bersyukur atas penghijrahan diri beliau ini dan berdoa mudah-mudahan beliau akan terus istiqamah dengan pakaian yang menutup aurat.

Peristiwa pagi ini mengingatkan kepada kata-kata Saidina Ali karamallahuwajhah:

 “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam.”

Jika staff saya berubah dari tidak bertudung kepada bertudung litup maka apa pula perubahan yang patut saya lakukan. Saya berfikir panjang…….

Jika solat masih lagi membaca Surah Al-Ikhlas apa kata kita cuba pula menghafal surah-surah yang panjang seperti As-Sajadah atau An-Naba’.

Jika tidak pernah solat sunat dhuha kerana kesibukan kerja, apa kata kita ubah tradisi dengan menetapkan pukul 10.00 pagi sebagai ketetapan untuk tunaikan solat dhuha biar pun 5 minit sahaja.

Jika berpuasa hanya di bulan Ramadhan apa kata kita ubah tradisi dengan berpuasa sunat 3 hari dalam sebulan atau berpuasa setiap Isnin dan Khamis.

Jika suka membaca, apa kata cuba-cubalah pula membaca  Tafsir Al-Quran karya Ibnu Katsir sehari selembar muka surat. Atau boleh saja mengambil Kitab Riyadhus Salihin karya Imam Nawawi bagi mengutip nasihat-nasihat agama berguna untuk hidup ini. Atau boleh saja menyelak buku Sirah Nabawiyyah karangan Syeikh Al-Mubarakfuri untuk mengambil semangat jihad Rasulullah saw dan para sahabat.

Jika ke masjid cuma sekali dalam seminggu untuk solat jumaat apa kata kita cuba tetapkan keazaman untuk sekurang-kurangnya solat Maghrib atau Isya’ berjemaah di masjid atau surau berdekatan.

Kita mungkin tidak mampu untuk mencontohi para sahabat, tabi’en, muqarrabin yang tidak pernah meninggalkan solat waktu berjemaah seumur hidup, tetapi kita mampu untuk mensasarkan sekurang-kurangnya dalam sehari kita peruntukan satu waktu untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Boleh jadi Maghrib atau Isya’ kerana waktu-waktu ini boleh dikatakan yang paling lapang bagi semua manusia.

Semua yang kita azamkan dan lakukan ini adalah untuk manfaat diri ini. Biar pun cuma satu waktu untuk solat berjemaah di masjid, biar pun cuma sehelai atau sepotong ayat Al-Quran yang dihafal namun pahalanya cukup besar di sisi Allah kerana inilah manifestasi kepada kesungguhan dan keazaman kita untuk berubah ke arah kebaikan.

Biar pun sedikit, tetapi yang sedikit itulah langkah-langkah awal kita untuk menjadi insan yang terbaik  lagi bertaqwa di sisi Allah.

Dengan waktu yang semakin bergerak pantas ke hadapan, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa lagi di dunia ini. Usahlah dipersia-siakan waktu-waktu yang masih berbaki untuk kita kerana kita tidak tahu apakah waktu yang masih berbaki untuk kita di dunia ini masih banyak atau mungkin berakhir esok atau lusa……

Abu Wafi, Putrajaya

Pic: Source

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: