Pertemuan bersama Dr.Yusuf Al-Qaradhawi

Published December 21, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Pada 19 Disember 2009, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berlangsung majlis Muhadharah bersama Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi. Sehari sebelum itu, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431 oleh Kerajaan Malaysia. Saya dimaklumkan akan kehadiran beliau melalui sms oleh sahabat saya Riduan. Malam sebelum itu, saya menghubungi adik saya di Kota Damansara untuk mengajak beliau turut serta dalam majlis tersebut. Kalau ada adik saya akan memudahkan pemahaman saya kerana beliau fasih berbahasa Arab serta boleh menjadi penterjemah kepada saya yang kurang mahir.

Pagi itu, lebih kurang pukul 8.50 pagi kami bertolak dari rumah saya menuju PICC. Seingat saya, kali terakhir saya bertemu Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi ialah pada tahun 1995 semasa kunjungan beliau ke UIA, Petaling Jaya. Saya masih ingat selesai saja solat jumaat yang diimamkan oleh beliau saya dan rakan meluru ke hadapan untuk bersalam-salaman dengan beliau. Bukan senang nak dapat peluang untuk bersalaman dengan ulama terkenal dunia. Saya seorang peminat beliau dan antara bukunya yang paling saya sukai ialah Halal dan Haram Dalam Islam, Fatwa Masa Kini dan Fiqh Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan. Tulisan-tulisan beliau tersebar di serata dunia dan telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Sesi muhadharah

Sebahagian tetamu dan peminat yang hadir

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mashitah Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM, para mufti dan VIP yang lain. Dalam sesi muhadharah perdana tersebut, Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi membicarakan buku terbaru beliau berjudul ‘Fiqhul Jihad’. Saya kira ini adalah satu topik yang cukup menarik kerana jarang-jarang ulama kontemporari mengupas Fiqhul Jihad secara terperinci apatah lagi dengan mengaitkan dengan perkembangan semasa. Antara mutiara kata yang dapat saya petik ialah Islam bukan agama keganasan dan tidak ditegakkan di atas mata pedang. Umat Islam dilarang untuk mencari musuh, menggunakan kekerasan sebaliknya Islam adalah agama yang mementingkan perdamaian dan peperangan adalah langkah terakhir untuk memelihara kesucian Islam dan membela umat Islam yang ditindas. Beliau memetik banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith bagi menyokong pandangan beliau. Majlis berlangsung selama 1 jam dan di akhir majlis ramai yang berebut-rebut untuk bersalam-salaman dengan beliau. Saya dan adik tidak ketinggalan namun agak hampa kerana kawalan yang sungguh ketat.Kupasan ringkasan muhadharah tersebut, boleh dilayari di blog www.pemudaiman.blogspot. tulisan adinda saya Ustaz Syauki Al-Kulimi.

Selesai majlis kami bergerak ke majlis kudapan yang disediakan oleh pihak urusetia. Rupa-rupanya majlis tersebut seperti satu pertemuan reunion kerana saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama semasa menuntut di universiti dahulu.

BERTEMU PROF. DR. YUSUF AL-QARADHAWI

Selesai minum kami turun ke tingkat 2. Saya tergerak hati untuk singgah di tingkat 2 yang menempatkan bilik makan VIP. Saya lihat tidak ramai orang. Cuma beberapa kelibat urusetia yang kelihatan. Saya dan adik bertanya adakah kami boleh masuk bertemu dengan beliau. Memandangkan tidak ramai orang maka kami dibenarkan menunggu di luar bilik makan VIP dengan syarat membuat barisan secara teratur. Kami menunggu tidak lama lebih kurang dalam masa 5 minit. Akhirnya, pintu bilik VIP dibuka dan muncullah tokoh ulama besar dunia ini ditolak dengan kerusi roda. Saya dan adik mengucapkan salam kepada beliau dan kami bersalaman dan sempat  mengucup tangan beliau. Kami rasa benar-benar dipermudahkan Allah kerana ketika itu tidak ramai yang menunggu di situ sehingga dapat bertemu dengan beliau secara ‘live’. Nikmat Allah yang sungguh besar untuk kami berdua. Kami hanya ingin mengambil ‘barakah’ atau tabarruk daripada ulama besar dunia ini.

Beliau kelihatan agak uzur, bertongkat dan perlu menggunakan wheel chair. Usia beliau sudah mencecah 83 tahun namun intonasi suara beliau ketika majlis muhadharah tersebut seperti pemuda berusia 23 tahun. Lantang, bertenaga dan bersemangat sekali.

Ternyata semangat Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41) sentiasa membara di dalam diri beliau. Walaupun sudah dimamah usia namun ini sama sekali tidak pernah menghalang beliau untuk terus aktif berdakwah melalui penulisan dan ceramah-ceramah kepada umat. Beliau bukan sahaja seorang ulama, malahan seorang pemikir, reformis dan intelek kontemporari. Tidak hairanlah jika pihak barat cukup bimbangkan pengaruh beliau kepada umat Islam.

Semangat yang ditunjukkan oleh Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi mengingatkan saya kepada seorang sahabat Nabi saw iaitu Abu Ayyub al-Anshari yang berjuang bersama tentera Islam untuk membebaskan Kota Konstantinople ketika usianya sudah melebihi 80 tahun.  Usia bukan penghalang kepada Abu Ayyub untuk berjihad menegakkan Islam di bumi Konstantinople. Ketika perang sedang meletus antara tentera Islam dan Byzantine beliau jatuh sakit. Bila ditanya beliau menjawab : 

“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid atau meninggal dunia  maka kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!” [ Dipetik dari blog Muhtar Suhaili]

Pertemuan dengan Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi pada tanggal 19 Disember 2009 bersamaan dengan 3 Muharam 1431 tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk memulakan tahun baru hijrah dengan pengalaman yang sungguh manis, tidak akan dilupakan dan tidak disangka-sangka.

Saya berdoa semoga Allah  memanjangkan umur beliau  agar dapat umat Islam pada hari ini mengambil manfaat daripada nasihat dan pandangan-pandangan beliau. Khidmat beliau kepada umat ini sangat diperlukan di saat umat Islam sedang ditindas di kiri dan kanan oleh musuh-musuh Islam.  Moga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah untuk terus menabur bakti kepada dunia Islam. Moga semangat Infiru khifafan wa tsiqalan akan terus menyala dalam diri beliau.

Moga bermanfaat !!!

Abu Wafi, Putrajaya

3 comments on “Pertemuan bersama Dr.Yusuf Al-Qaradhawi

  • Salam sahabat,

    Tiada kata lain yg terlintas di fikiran kecuali DENGKI & IRI HATI dgn pertemuan awak dgn tokoh ulama dunia ini…

    Awak fahamkan, dengki ini dengki yang digalakkan dalam Islam. Saya turut tumpang gembira & bangga dpt bersahabat dgn insan spt awak. Tambah dengki bila mengetahui ada ahli keluarga terdekat awak yang sama2 memahami erti perjuangan dlm Islam, bahkan fasih berbahasa Arab pula tu. Memang sgt bertuah diri sahabat..

    Buat saya berazam utk membentuk kedua permata hidup saya berteraskan panji-panji Islam yg jitu..

    Sekian, wassalam.

    Ina

    • Ina nye,

      Saya doakan mudah-mudahan suatu hari nanti Ina berpeluang bertemu dengan ulama-ulama dunia. Moga Allah izinkan jika niat sudah terbetik di hati kerana kita bukanlah mengagung-agungkan mereka sebaliknya kita disarankan supaya mencontohi kehidupan mereka. Melihat mereka sahaja sudah menyejukkan mata dan insyallah mendatangkan pahala.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: