Pasangan ilmu

Published December 16, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Saya sungguh tertarik dengan huraian mengenai pasangan ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Amin dalam program Tanyalah Ustaz di TV 9 jam 7.30 pagi baru baru ini. Program selama 3 hari berturut-turut cukup menarik perhatian saya dan isteri menontonnya. Rupa-rupanya banyak lagi perkara yang tidak kami ketahui. Topik baru yang saya pasti belum pernah dikupas oleh mana-mana penceramah sebelum ini. Ustaz Amin menghuraikan topik ini dengan jelas siap dengan contoh-contohnya. Barulah saya faham bahawa dalam hidup ini banyak perkara yang perlu diteliti.  Berikut adalah ringkasan pasangan ilmu yang disampaikan oleh ustaz Amin.

Ada 15 pasangan ilmu yang terpenting sekali iaitu:-

1.  Pengajian mengenai ilmu tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai amalan;

2.  Pengajian mengenai amalan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai ikhlas;

3.  Pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak;

4.  Pengajian mengenai hak tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai ihsan;

5. Pengajian mengenai ihsan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai  kemanusiaan;

6. Pengajian mengenai kemanusiaan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai Amar Maaruf Nahi Mungkar;

7. Pengajian mengenai amar maaruf nahi mungkar tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hikmah di dalam menegur;

8. Pengajian mengenai hikmah dalam menegur tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai sangka baik;

9. Pengajian mengenai sangka baik tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami tipu daya manusia;

10. Pengajian mengenai memahami tipu daya manusia tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai doa dan tawakkal;

11. Pengajian mengenai doa dan tawakkal tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai usaha;

12. Pengajian mengenai usaha tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai sunnatullah;

13. Pengajian mengenai sunnatullah tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami dunia;

14. Pengajian mengenai memahami dunia tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami akhirat; dan

15. Pengajian mengenai akhirat tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai keimanan.

Subhanallah!! Sungguh cantik dan indah sekali pasangan-pasangan ilmu ini. Sebagai contohnya, pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak. Misalnya, seorang ayah mati meninggalkan harta kepada 2 orang anak. Anak ke-2 adalah anak yang menjaga kebajikan ayahnya ketika sakit selama 5 tahun. Manakala si abang langsung tidak mengambil peduli perihal ayahnya. Si abang lalu membolot kesemua harta peninggalan ayah mereka dan menghalau si adik dari rumah pusaka ayah mereka. Dalam hal ini, si adik boleh menuntut haknya seperti kos-kos perubatan,tambang ulang alik ke hospital dan segala perbelanjaan untuk menjaga ayah mereka selama 5 tahun kepada abangnya. Apakah dengan tuntutan si adik ini bermakna beliau tidak ikhlas?? Jawapannya tidak sama sekali kerana pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak. Ikhlas tetap ikhlas tetapi hak mesti dituntut jika kita dianiaya.

Begitu juga pengajian mengenai amar maaruf nahi mungkar tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hikmah di dalam menegur. Misalnya, jika ada berlaku kemungkaran di kawasan kita, maka kita bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran tersebut dengan kekuatan yang ada pada kita. Jika kita memilih untuk mencegah kemungkaran melalui lisan atau nasihat kepada si pelaku, maka jangan lupa untuk menegur dengan lembut dan menggunakan bahasa yang lunak tetapi berkesan di hati. Ini bertepatan dengan perintah Allah swt kepada Nabi Musa a.s supaya berdakwah kepada Firaun dengan lemah lembut, mudah-mudahan nasihat yang lunak ini mampu untuk mencairkan hati Firaun yang keras seterusnya beriman kepada agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.

Kita boleh bersangka baik dengan manusia tetapi dalam masa yang sama kita mesti berhati-hati dengan tipu daya manusia.  Kita boleh menegur tetapi dalam masa yang sama mesti berhikmah. Itulah antara contoh-contoh yang boleh saya ketengahkan.

Kenapa kita perlukan pasangan-pasangan ilmu ini? Jawapannya, supaya kehidupan kita lebih teratur dan tidak kucar kacir. Pasangan-pasangan ilmu ini jika diamalkan oleh semua anggota masyarakat sudah pasti akan melahirkan suasana yang sihat dan harmoni di dalam masyarakat. Ilmu mesti diamalkan; amalan pula mestilah ikhlas; ikhlas pula mesti berpasangan dengan hak diri; hak pula mesti berpasangan dengan ihsan; ihsan pula bergandingan dengan kemanusian; kemanusiaan pula berkaitan dengan amar maaruf nahi mungkar dan berkait dengan yang lain-lain. Begitulah seterusnya…..

Terima kasih Ustaz Amin atas penerangan yang menyentuh jiwa. Sesungguhnya banyak pelajaran dan pengajaran yang saya pelajari hari ini.

Abu Wafi, Putrajaya

(Pic source : Ishafizan Ishak)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: