Khabar Haji 2009

Published December 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Saya ingin mengucapkan syukur dan ucapan tahniah kepada saudari Norasyikin bersama suami dan anak mereka Ehsan kerana berjaya menyempurnakan Rukun Islam ke-5. Syukur kerana selamat menunaikan ibadah haji. Syukur kerana selamat sampai ke rumah mereka di sebelah timur Arab Saudi. Syukur kerana nikmat hidayah yang dianugerahkan kepada mereka sekeluarga sehingga dapat mengerjakan ibadah haji dalam usia yang masih muda. Saudari Syikin adalah mantan rakan sekerja saya di kementerian. Beliau mengambil cuti panjang untuk mengikuti suaminya yang bertugas di Arab Saudi selama 3 tahun. Peluang ini diambil oleh beliau dan suaminya untuk menunaikan ibadah haji menggunakan kuota penduduk tempatan.

Perjalanan beliau sekeluarga ke Makkah sungguh menginsafkan saya. Beliau terpaksa menaiki bas selama 20 jam dari kediaman mereka di Al-Jubail. Pengalaman yang sungguh perit dan mengujikan. Kakinya bengkak-bengkak kerana perjalanan yang sungguh jauh dan memenatkan. Lantas ini mengingatkan saya kepada firman Allah di dalam Surah Al-Hajj :27 yang bermaksud :

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Jika dahulu umat Islam datang dengan berjalan kaki dan menunggang unta namun kini keadaan sudah jauh berubah. Perjalanan dari seantero dunia menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti kapal terbang  yang lebih selesa dan cepat. Perjalanan Syikin bersama keluarganya yang  terpaksa menempuhi perjalanan darat yang jauh dan panjang menepati maksud ayat di atas. Mudah-mudahan kesusahan dan kepayahan yang tempuhi sepanjang perjalanan mereka tidak akan dipersia-siakan dan akan diberikan pahala berganda oleh Allah.

Saya teringat satu kisah yang saya pernah baca mengenai Sultan Mahmud Al-Zinki dari Mesir. Beliau adalah seorang Sultan yang warak dan telah menyelamatkan jenazah Rasulullah saw dari dicuri melalui mimpi yang diilhamkan kepada baginda. Walaupun baginda mampu untuk pergi menunaikan haji dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan yang selesa pada zaman itu mengikut kelayakan baginda sebagai seorang pemerintah, namun baginda memilih untuk berjalan kaki pergi ke Makkah seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Hajj: 27.

Begitu juga kisah Uwais Al-Qarni seorang tabi’en yang sangat makbul doanya. Beliau pergi ke Makkah menunaikan haji dengan berjalan kaki dari Yaman. Beliau berjalan kaki sambil menanggung ibunya di atas bahunya bersama bekalan makanan dan minuman. Tidak dapat saya bayangkan betapa gagahnya dan teguhnya ketaqwaan beliau kepada Allah sehingga sanggupberjalan kaki ke Makkah dari Yaman yang jaraknya beratus-ratus kilometer.

Tentu sekali ibadah haji Sultan Mahmud Zinki dan Uwais Al-Qarni yang diraih dengan jerih perih dan susah payah lebih dirasakan nikmatnya. Terasa kepuasan dan kenikmatan beribadah yang tidak terhingga di dalam hati bila haji yang mabrur diperolehi. Kenikmatan yang tidak tergambar oleh kata-kata kerana kenikmatan ini adalah anugerah Allah untuk hamba-hambanya yang bersungguh-sungguh untuk agama.

Ramainya umat manusia – Gambaran mahsyar di dunia

Syikin menceritakan kepada saya saat-saat yang mencemaskan bila khemah mereka bocor ekoran hujan lebat di Mina. Sungguh insaf bila melihat gelagat manusia yang berbondong-bondong menuju ke Mina, melakukan tawaf dan saie. Ada yang kelihatan gagah tubuhnya tetapi terpaksa ditolak dengan kerusi roda. Ada pula yang kelihatan lemah dan tua namun mampu melakukan tawaf dan saie dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa. Suasana di Arafah lebih menginsafkan. Katanya, saya rasa Arafah adalah gambaran Mahsyar di dunia bila melihat ramainya manusia. Tiba-tiba saya rasa diri saya sungguh kerdil dan malunya jika saya benar-benar berada di Padang Mahsyar ketika ini. Malunya bila dosa-dosa saya disingkap satu persatu untuk dibicarakan. Saya bermohon supaya keaiban saya ditutup oleh Allah kerana rasa malu yang amat sangat.

Itulah tujuan ibadah haji difardhukan supaya manusia menyedari bahawa suatu hari nanti mereka akan kembali kepada Allah untuk diadili. Setiap amal kebaikan dan kejahatan akan diadili walau sebesar zarah. Tidak ada yang akan terlepas dan Padang Mahsyar adalah tempat di mana seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam as akan dihimpunkan untuk dihisab. Mengikut pandangan sesetengah ulama Mahsyar adalah sebuah dataran yang rata, lapang dan putih seperti permukaan roti. Manusia akan dibangkitkan mengikut amalan hidup masing-masing. Ada yang berkenderaan, berjalan kaki dan ada yang berjalan dengan mukanya. Semuanya menunggu untuk dihisab. Segolongan umat berdiri di sebelah kanan, segolongan lagi berdiri di sebelah kiri dan segolongan lagi berdiri di hadapan arasy. Beruntunglah mereka yang berdiri di sebelah kanan atau al-yamin kerana mereka bakal menerima buku catatan amal yang membawa mereka ke syurga. Beruntunglah golongan yang berdiri di hadapan arasy kerana mereka adalah terdiri dari para rasul, anbiya’ dan syuhada yang sudah pastinya syurga dijamin kepada mereka. Malanglah bagi golongan kiri atau as-syimal yang menerima buku catatan amalan dari tangan kiri kerana neraka adalah tempat selayak-layaknya bagi mereka.

Ibadah haji ini benar-benar memberi pengajaran dan pelajaran yang berguna bahawa kita sebenarnya kerdil dan lemah di sisi Allah. Haji, nikmat Allah yang sungguh besar untuk hamba-hambanya.

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Al-Hajj: 28)

Abu Wafi, Putrajaya

5 comments on “Khabar Haji 2009

  • sdra, pengalaman sdri syikin dan keluarganya merupalan sbhg kisah2 yg kita berpeluang utk dengar ketika ini; kerana sampai waktunya nanti, tiada yg sukar utk mengerjakan Haji.
    Saya teringat kuliah masjid semasa bercuti Raya haji baru2 ni, pengorbanan Nabi Ibrahim dan sejarah perjalanan hidupnya yg tidak ramai tahu. Bagaimana baginda diuji dgn sebesar ujian utk mengorbankan anaknya yg berbelas tahun terpisah.
    ia akan menjadi iktibar bagi mereka yg berfikir..

  • Salam,

    Saudara Shahnaz,

    Pengalaman menunaikan ibadat haji drpd Arab Saudi merupakan satu pengalaman yg saya takkan lupakan sepanjang hidup saya. Sesungguhnya saya amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan peluang bg saya dan keluarga untuk menunaikan haji pada tahun ini.

    Apa yang saya lalui hanyalah sebesar kuman drpd kesusahan yang orang lain lalui untuk memenuhi undangan Pencipta kita ke rumahnya. Sesungguhnya banyak peristiwa yang menginsafkan saya di sana. Menginsafkan supaya saya berhenti meminta2 yang bukan2 kerana sesungguhnya rahmat dan rezeki drpd Allah telah terlalu banyak untuk saya dan keluarga. Supaya saya berhenti meminta2 kerana sesungguhnya amalan saya rasanya tidak setimpal dengan kehendak dan permintaan saya setiap hari. Malu sungguh rasanya dengan Allah apabila melihat kesusahan orang lain di tanah suci sedangkan saya bersenang lenang dengan bas yang berhawa dingin dan khemah yang mewah… Apa lagi yang saya mahu.. “setakat perjalanan yang jauh pun nak komlen ke shikin?” Itu kata hati saya apabila melihat kesusahan orang lain di tanah suci.

    Jika diberikan peluang (dr Saudi haji hanya dibenarkan 5 tahun sekali) saya ingin ke sana lagi, kalau boleh sekerap yang mungkin. Bukan untuk untuk menunjuk2 berapa kali saya telah ke sana, tapi sebagai peringatan dan pengajaran untuk diri saya sendiri betapa sesusah susah saya dlm menghadapi cabaran kehidupan, ada hamba yang lain yang lebih susah dan mereka masih mampu senyum dan berlapang dada dengan ujian Allah. Jika tuan atau sahabat yang lain berpeluang ke Mekah atau Madinah, ambil kesempatan untuk beribadat dan melihat sekeliling. Sesungguhnya, banyak iktibar dan pengajaran yang dapat dipelajari di sana.

    Semoga Allah memberkati kita semua dan menjadikan anak2 kita anak2 yang soleh dan solehah.

    Salam rindu untuk semua di Malaysia.

    • Terima kasih syikin atas komen yang sungguh bermanfaat buat diri saya dan pembaca sekalian. Kita seringkali ‘mengeluh’ mengenai kesusahan, kepayahan dan ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada kita. Kita seringkali terlupa bahawa semua ujian hidup yang diberikan bukan diberikan secara sia-sia oleh Allah sebaliknya mempunyai hikmah yang besar. Jika kita duduk dan berfikir dengan mendalam, insyallah kita akan memahami hikmah yang tersembunyi di sebalik kesusahan dan kepayahan yang kita tanggung. Amalkan sikap sentiasa memandang orang di bawah kita jangan asyik memandang orang di atas sahaja. Kalau kita rasa kita susah sebenarnya ada lagi yang lebih susah dari kita. Melalui cara ini barulah hati akan menjadi tenang dan redha.

  • Ada satu pesanan di Buku Panduan Haji yg saya perolehi dari Dakwah Centre Al-Jubail. Buku ini dalam Bahasa Indonesia yg mudah difahami.

    Ianya berbunyi:

    “Dan ketika kamu kembali ke negerimu dan ada sesuatu yang mengajakmu untuk maksiat kepada Allah SWT;
    Ingatlah, hari ketika kamu towaf sekitar kaabah dan ketika kamu sai’e antara Safa dan Marwah.
    Ingatlah ketika kamu wukuf di Arafah mengangkat kedua tanganmu mengharapkan rahmat Allah, ampunanNya. Maka sesungguhnya yang demikian itu akan menolongmu dari terjerumus ke dosa-dosa besar dan maksiat.”

    Semoga kata-kata tersebut akan menjadi peringatan buat diri saya.

    • Ketika saya mengikuti pengajian Kitab Sairus Salikin yang disampaikan oleh Syeikh Fahmi Zam Zam An -Nadwi pada 27 Disember 2009 yang lepas, al-fadhil syeikh menyatakan perbezaan antara ibadah haji di Makkah dan ziarah ke Madinah. Di Makkah al-Mukarrah, kita datang dalam keadaan “menghinakan diri”, kusut masai dan berdebu untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semua yang datang tanpa mengira pangkat dan kebesaran mesti datang dalam keadaan hina dina di sisi Allah dan tinggalkan semua pangkat dan kebesaran. Semuanya sama di sisi Allah kerana yang membezakan adalah taqwa. Selesai semua ibadah haji, barulah kita bertahalul dan selepas pakaian ihram ditanggalkan maka gugurlah semua larangan yang selama ini dikenakan kepada jemaah haji. Sesungguhnya, nikmat Allah yang sungguh besar kepada mereka yang berjaya menunaikan ibadah haji dalam keadaan susah payah,kusut masai, berdebu dan datang dalam keadaan menghinakan diri. Syiar bagi jemaah haji ketika itu adalah sentiasa bertalbiah. Cuba perhatikan betul-betul pengertian talbiah itu sendiri.

      Sebaliknya di Madinah, kita datang untuk menziarahi kekasih Allah. Al-Fadhil Syeikh menyatakan adab menziarahi Madinah terutamanya menziarahi maqam Rasulullah saw samalah seperti kita menziarahi baginda semasa baginda masih hidup. Sabda Rasulullah saw:

      ” Barangsiapa yang menziarahi aku selepas kewafatanku samalah seperti dia menziarahiku ketika aku masih hidup”.

      Justeru, seelok-eloknya semasa sampai ke Madinah usahlah bergegas untuk solat di Masjid Nabawi sebaliknya kita disarankan supaya check in ke hotel dahulu, mandi,mengemas diri, memakai bau-bauan kerana kita akan menziarahi Rasulullah saw. Tentu sekali baginda mahu bertemu kita dalam keadaan kita bersih dan kemas kerana ini adalah adab untuk kita bertemu dengan kekasih Allah.

      Sedikit perkongsian.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: