Archives

All posts for the day December 8th, 2009

Khabar Haji 2009

Published December 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Saya ingin mengucapkan syukur dan ucapan tahniah kepada saudari Norasyikin bersama suami dan anak mereka Ehsan kerana berjaya menyempurnakan Rukun Islam ke-5. Syukur kerana selamat menunaikan ibadah haji. Syukur kerana selamat sampai ke rumah mereka di sebelah timur Arab Saudi. Syukur kerana nikmat hidayah yang dianugerahkan kepada mereka sekeluarga sehingga dapat mengerjakan ibadah haji dalam usia yang masih muda. Saudari Syikin adalah mantan rakan sekerja saya di kementerian. Beliau mengambil cuti panjang untuk mengikuti suaminya yang bertugas di Arab Saudi selama 3 tahun. Peluang ini diambil oleh beliau dan suaminya untuk menunaikan ibadah haji menggunakan kuota penduduk tempatan.

Perjalanan beliau sekeluarga ke Makkah sungguh menginsafkan saya. Beliau terpaksa menaiki bas selama 20 jam dari kediaman mereka di Al-Jubail. Pengalaman yang sungguh perit dan mengujikan. Kakinya bengkak-bengkak kerana perjalanan yang sungguh jauh dan memenatkan. Lantas ini mengingatkan saya kepada firman Allah di dalam Surah Al-Hajj :27 yang bermaksud :

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Jika dahulu umat Islam datang dengan berjalan kaki dan menunggang unta namun kini keadaan sudah jauh berubah. Perjalanan dari seantero dunia menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti kapal terbang  yang lebih selesa dan cepat. Perjalanan Syikin bersama keluarganya yang  terpaksa menempuhi perjalanan darat yang jauh dan panjang menepati maksud ayat di atas. Mudah-mudahan kesusahan dan kepayahan yang tempuhi sepanjang perjalanan mereka tidak akan dipersia-siakan dan akan diberikan pahala berganda oleh Allah.

Saya teringat satu kisah yang saya pernah baca mengenai Sultan Mahmud Al-Zinki dari Mesir. Beliau adalah seorang Sultan yang warak dan telah menyelamatkan jenazah Rasulullah saw dari dicuri melalui mimpi yang diilhamkan kepada baginda. Walaupun baginda mampu untuk pergi menunaikan haji dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan yang selesa pada zaman itu mengikut kelayakan baginda sebagai seorang pemerintah, namun baginda memilih untuk berjalan kaki pergi ke Makkah seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Hajj: 27.

Begitu juga kisah Uwais Al-Qarni seorang tabi’en yang sangat makbul doanya. Beliau pergi ke Makkah menunaikan haji dengan berjalan kaki dari Yaman. Beliau berjalan kaki sambil menanggung ibunya di atas bahunya bersama bekalan makanan dan minuman. Tidak dapat saya bayangkan betapa gagahnya dan teguhnya ketaqwaan beliau kepada Allah sehingga sanggupberjalan kaki ke Makkah dari Yaman yang jaraknya beratus-ratus kilometer.

Tentu sekali ibadah haji Sultan Mahmud Zinki dan Uwais Al-Qarni yang diraih dengan jerih perih dan susah payah lebih dirasakan nikmatnya. Terasa kepuasan dan kenikmatan beribadah yang tidak terhingga di dalam hati bila haji yang mabrur diperolehi. Kenikmatan yang tidak tergambar oleh kata-kata kerana kenikmatan ini adalah anugerah Allah untuk hamba-hambanya yang bersungguh-sungguh untuk agama.

Ramainya umat manusia – Gambaran mahsyar di dunia

Syikin menceritakan kepada saya saat-saat yang mencemaskan bila khemah mereka bocor ekoran hujan lebat di Mina. Sungguh insaf bila melihat gelagat manusia yang berbondong-bondong menuju ke Mina, melakukan tawaf dan saie. Ada yang kelihatan gagah tubuhnya tetapi terpaksa ditolak dengan kerusi roda. Ada pula yang kelihatan lemah dan tua namun mampu melakukan tawaf dan saie dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa. Suasana di Arafah lebih menginsafkan. Katanya, saya rasa Arafah adalah gambaran Mahsyar di dunia bila melihat ramainya manusia. Tiba-tiba saya rasa diri saya sungguh kerdil dan malunya jika saya benar-benar berada di Padang Mahsyar ketika ini. Malunya bila dosa-dosa saya disingkap satu persatu untuk dibicarakan. Saya bermohon supaya keaiban saya ditutup oleh Allah kerana rasa malu yang amat sangat.

Itulah tujuan ibadah haji difardhukan supaya manusia menyedari bahawa suatu hari nanti mereka akan kembali kepada Allah untuk diadili. Setiap amal kebaikan dan kejahatan akan diadili walau sebesar zarah. Tidak ada yang akan terlepas dan Padang Mahsyar adalah tempat di mana seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam as akan dihimpunkan untuk dihisab. Mengikut pandangan sesetengah ulama Mahsyar adalah sebuah dataran yang rata, lapang dan putih seperti permukaan roti. Manusia akan dibangkitkan mengikut amalan hidup masing-masing. Ada yang berkenderaan, berjalan kaki dan ada yang berjalan dengan mukanya. Semuanya menunggu untuk dihisab. Segolongan umat berdiri di sebelah kanan, segolongan lagi berdiri di sebelah kiri dan segolongan lagi berdiri di hadapan arasy. Beruntunglah mereka yang berdiri di sebelah kanan atau al-yamin kerana mereka bakal menerima buku catatan amal yang membawa mereka ke syurga. Beruntunglah golongan yang berdiri di hadapan arasy kerana mereka adalah terdiri dari para rasul, anbiya’ dan syuhada yang sudah pastinya syurga dijamin kepada mereka. Malanglah bagi golongan kiri atau as-syimal yang menerima buku catatan amalan dari tangan kiri kerana neraka adalah tempat selayak-layaknya bagi mereka.

Ibadah haji ini benar-benar memberi pengajaran dan pelajaran yang berguna bahawa kita sebenarnya kerdil dan lemah di sisi Allah. Haji, nikmat Allah yang sungguh besar untuk hamba-hambanya.

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Al-Hajj: 28)

Abu Wafi, Putrajaya