Semalam bersama Syeikh Jibril

Published November 30, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Semalam saya berada di Masjid Al-Falah USJ9 kerana seorang Qari terkenal seantero dunia as-Syeikh MUHAMMAD JIBREL (QARI TERKENAL DARI MESIR) datang ke masjid berkenaan untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak. Pengalaman bersama beliau buat pertama kalinya dalam hidup tidak dapat saya lupakan. Sebelum ini pun saya cukup meminati suara beliau. Bacaan Al-Quran oleh beliau melalui VCD telah saya dengar dan hayati dengan khusyuk. Justeru, bila ada peluang seumpama ini saya berusaha untuk tidak melepaskan peluang bersama dengan beliau walaupun kepenatan kerana memandu selama 5 jam dari kampung sejauh 300km,  namun semua itu saya lupakan demi minat kepada kemerduan dan kelunakan suara beliau yang tiada tandingnya.

Saya tiba di masjid ketika solat maghrib sedang diimamkan oleh Syeikh Jibril. Saya bergegas ke dalam. Seusai solat maghrib, ada sesi kuliah bersama Syeikh Jibril dalam bahasa Arab tetapi diterjemahkan oleh Imam Masjid. Para jemaah saya lihat terpaku dan masing-masing tidak berganjak dari tempat masing-masing. Semua bagaikan terpukau oleh sesuatu. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-atau suci Al-Quran oleh Syeikh Jibril. Memandangkan masih dalam suasana Hari Raya Aidil Adha, maka beliau memilih untuk membaca surah al-Hajj:32 dan seterusnya menghuraikan mengenai syiar-syiar Islam. Katanya, Syiar Islam bukan terhad kepada amalan-amalan khusus seperti solat, puasa atau haji semata-mata sebaliknya lebih luas dari itu. Berbuat baik kepada ibu bapa, menunaikan janji dan amanah juga merupakan syiar-syiar Islam. Justeru, kita mestilah menunaikan semua syiar-syiar yang telah diperintahkan oleh Allah.

Selain itu, beliau turut menekankan aspek khusyuk dalam solat kerana rata-rata umat Islam pada hari ini tidak khusyuk dalam solat mereka. Beliau memetik kisah dari hadith apabila Rasulullah saw menegur seorang sahabat yang bersolat di masjid supaya mengulanginya sebanyak 3 kali kerana 2 kali solat sahabat tersebut sebelum ini tidak mencapai tahap khusyuk sebagaimana yang dikehendakki oleh Islam. Syeikh juga menekankan bahawa faktor utama yang membantu khusyuk solat ialah dengan berusaha untuk memahami setiap patah perkataan yang dilafazkan. Justeru, tidak dapat tidak kita perlu berusaha untuk mempelajari bahasa arab supaya kefahaman terhadap ayat-ayat yang dibaca akan dapat meresap ke dalam jiwa. 

Tazkirah dari Syeikh Jibril

Sedang menterjemahkan tazkirah Syeikh Jibril

 

Terpegun dengan kelunakan suara Syeikh Jibril melaungkan azan

Tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Syeikh Jibril

Pesanan-pesanan beliau sungguh menyentuh jiwa. Beliau bukan sahaja mahir dalam ilmu pembacaan Al-Quran atau Qiraat malah mahir dalam aspek hukum fiqh apabila ditanyakan oleh seorang jemaah. Paling mengetuk pintu hati saya ialah apabila beliau membicarakan masalah umat Islam akhir-akhir ini. Katanya, sekiranya semua negara umat Islam yang mengeluarkan minyak memperuntukkan 1/5 hasil minyak untuk zakat, maka dunia ini akan makmur dan tidak akan ada golongan fakir miskin sama ada dari kalangan umat Islam mahupun bukan Islam.  Syeikh Jibril juga menerangkan mengenai konsep ihsan yang mesti ditanam pada setiap jiwa mukmin iaitu:

“Anta’budallah ka annaka taraah, fa’illam takun taraah, fa’innahu yaraak.”

Bermaksud : “Kamu mengabdi kepada Allah seperti kamu melihat-Nya.”

Banyak lagi Pesanan-pesanan beliau yang saya tidak sempat saya coretkan di sini. Akhirnya beliau berpesan supaya sentiasa redha dengan yang sedikit. Kalau kita rasa diri kita malang atau miskin maka sentiasalah melihat kepada orang di bawah kita kerana ada orang yang lebih susah, malang dan lebih miskin daripada kita. Melalui cara begini hati kita akan sentiasa tenang dan inilah yang dikatakan sebagai redha dengan yang sedikit.      

Pertemuan diakhiri dengan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleg beliau. Bacaannya sungguh menyentuh jiwa. Ayat-ayat yang dibacanya menusuk dan mengalir ke dalam saluran darah dan urat saraf saya. Sungguh bertenaga dan menyegarkan. Alangkah indahnya jika saya memahami dengan terperinci makna dan latar belakang penurunan ayat-ayat yang dibaca. Tentunya solat akan menjadi lebih khusyuk dan fokus.

Majlis selesai pada pukul 9.00 malam dengan bertakbir dan diikuti dengan sesi bersalam-salaman dengan Syeikh Jibril.

Abu Wafi, Putrajaya

One comment on “Semalam bersama Syeikh Jibril

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: