Archives

All posts for the day November 13th, 2009

Marathon tanpa henti…patutkah?

Published November 13, 2009 by Menikmati Takdir Langit

TERFIKIRKAH anda untuk menyanyi, bermain alat muzik tradisional serta menari selama 15 jam di dalam kereta api yang sedang bergerak? Mendengarnya sahaja sudah memenatkan. namun bagi Kumpulan Kebudayaan Sri Rahmat yang berasal dari Kampung Seterpa, Kelantan, mereka membuktikan pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ bukan sekadar ayat pemanis mulut. Tepat jam 10 pagi, 20 Oktober lalu, misi untuk mencipta rekod dikir barat terpanjang di dalam kereta api dari Singapura ke Tumpat, Kelantan menjadi kenyataan setelah 15 jam 10 minit kumpulan yang dianggotai 25 pendikir itu bersengkang mata menjayakannya. “Sesungguhnya semangat dan disiplin tinggi yang membawa kejayaan kepada kumpulan ini,” tegas Setiausaha Pemasaran Homestay Seterpa, Azmahnorani Mat Jusoh yang sering bertindak selaku jurucakap kumpulan tersebut. Kata-kata beliau ada benarnya. Disiplin kumpulan itu nyata tinggi apabila tidak seorang pun di antara ahli kumpulan menolak apabila giliran mereka tiba untuk meneruskan ‘perjuangan’ yang memenatkan itu meskipun dikejut dari lena seawal jam 3 pagi. Dan semangat kental pula terlihat apabila ada di antara pemain-pemain kompang dan alat muzik lain mula mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat terlalu lama memukul dan memangku alat itu. Luka-luka kecil itu kemudiannya ditampal bukan dengan ‘plaster’ sebaliknya hanya menggunakan ‘masking tape’ setebal mungkin bagi membolehkan segala kudrat yang masih ada terus diguna untuk menjayakan misi itu. “Apa pun, kami telah bertekad untuk tetap menjalankan misi ini. Kini segalanya selesai dan saya bersyukur atas kejayaan ini,” katanya ketika ditemui sebaik turun dari tren no 14 Ekspress Timuran.                                         [PETIKAN DARI AKHBAR ]

ULASAN

1. Hairan dengan sikap manusia hari ini yang sanggup berhempas pulas untuk menjayakan ‘misi keduniaan’ sehingga sanggup mencederakan diri sendiri semata-mata untuk mempertahankan seni budaya;

2. Sedih kerana tidak ramai yang mahu berhempas pulas melakukan ibadah kerana Allah seperti yang ditunjukkan oleh Rasululah saw yang beribadah sepanjang malam sehingga ditegur oleh isterinya Aisyah, lantas jawab baginda ” Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

3. Sedih kerana manusia hari ini membuat sesuatu perkara hanya untuk mencari kepuasan hidup yang tidak kekal sedangkan keredhaan Allah malas untuk dicari;

4. Sedih kerana manusia hari ini terlalu bercita-cita untuk mengejar kemasyhuran semata-mata kerana ingin mendapat nama dan memecahkan rekod sedangkan perkara ini tidak kekal lama;

5. Alangkah indahnya sekiranya manusia sanggup berlumba-lumba dan bersaing untuk mengerjakan kebajikan dan amal soleh sebagaimana Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar berlumba-lumba mendermakan harta kekayaan mereka untuk kerja-kerja menegakkan Islam;

6. Alangkah baiknya jika kecederaan kaki dan tangan yang kita alami adalah ekoran terlalu lamanya berdiri semasa solat sebagaimana yang dialami oleh Rasulullah saw dan para sahabat yang bengkak kaki kerana lama bersolat dengan penuh khusyuk;

7. Ramai yang sanggup bersusah payah kerana mengejar nama, kepuasan diri sendiri namun berama ramai yang sanggup bersusah payah mencari keredhaan Allah;

8. Kemegahan dan kemasyhuran tidak akan kekal lama sebaliknya akan dilupakan manusia dengan peredaran zaman;

9. Bersyukur dengan pencapaian yang diperolehi memang dituntut. Namun kesyukuran tersebut perlu dizahirkan dengan mempastikan supaya semuanya dilakukan mengikut landasan syariat dan paling utama mendapat keredhaan Allah; dan

10. Apa sahaja amalan yang ingin kita lakukan mestilah dilakukan dengan tidak mengabaikan kewajipan fardhu seperti solat.

11. Dunia yang kita pijak, kemasyhuran dan kemegahan yang kita kejar akan hilang sebaik sahaja kita mati. Sebaliknya apa yang dinilai dan dihitung di sisi Allah ialah keikhlasan dan kesungguhan kita melakukan ketaatan kepada Allah. Inilah yang akan menemani kita di alam barzakh dan menjadi saksi penolong kita di hadapan Allah kelak.

Abu Wafi, Putrajaya