Mimpi yang aneh

Published October 13, 2009 by Menikmati Takdir Langit

29063083

Seorang sahabat lama menghubungi saya baru-baru ini. Permintaan beliau pelik sekali. Seumur hidup saya belum pernah saya dihubungi untuk satu pertolongan yang pelik lagi aneh.  Saya diminta mentakwil mimpi. Begini ceritanya.

Semalam saya mengalami mimpi yang aneh. Saya bermimpi berada di tanah suci Makkah. Saya bermimpi berada di kalangan jemaah yang sedang melakukan tawaf. Kami dibawa mutawif ke satu kawasan yang sungguh indah. Kami duduk di atas tanah.

” Di sinilah tempat Rasulullah saw menyampaikan seruannya kepada para sahabat. Di sinilah baginda selalu berkumpul bersama sahabat” , ujar mutawif kepada kami.

Saya memerhati di sekeliling, saya meraba-raba tanah dan menggenggam beberapa butiran tanah. Hati kecil saya berdetik; “Bertuahnya tanah di sini, penuh dengan kesan tapak kaki Rasulullah saw dan para sahabat. Alangkah indahnya kalau saya dapat berada di sini ketika Rasulullah saw dan para sahabat sedang berbincang”

Ketika saya meraba-raba tanah di situ saya ternampak tompokan-tompokan rumput. Anehnya rumput di sini lain dari tempat lain. Sepanjang hidup saya belum pernah saya melihat rumput seperti ini.  Lantas saya memegangnya. Warnanya hijau. Bentuknya bulat-bulat macam kacang peas hijau. Di dalamnya ada banyak lagi bola-bola hijau. Saya memegangnya, sungguh lembut dan cantik.

Saya pernah sampai ke Makkah dan Madinah namun saya tidak pernah sampai ke tempat ini. Mutawaif saya tidak pernah membawa saya ke tempat ini. Sebuah dataran lapang yang dipenuhi dengan tompokan rumput-rumput hijau. Mungkin tempat ini di Madinah, namun setahu saya keseluruhan bandar Madinah telah disimen dengan marmar dan dipagarkan menjadi sebahagian kawasan masjid Nabawi. Saya tertanya-tanya di dalam hati.

Tiba-tiba saya berada di tempat lain. Di dalam sebuah bilik kecil yang dipenuhi dengan jemaah dari Malaysia. Ada tangisan seorang perempuan. Saya mendekatinya. Rupa-rupanya ada jemaah yang meninggal dunia. Ada jenazah yang telah siap dikapankan. Cuma bahagian mukanya terbuka sehingga menampakkan iras wajahnya. Saya merenung wajahnya, seorang yang saya kenali walaupun tidak secara peribadi.

Jenazah tersebut adalah Arwah Ustaz Asri, vokalis Kumpulan Rabbani yang meninggal dunia seminggu sebelum Ramadhan. Peliknya.

“Bagaimana pula jenazahnya ada di sini. Bukankah dia meninggal di Malaysia” bisik hati saya.

Di sisinya ada isterinya dan anak-anaknya. Ada juga jemaah-jemaah lain yang tidak saya kenali wajah-wajah mereka.

Tiba-tiba semua orang keluar dari bilik meninggalkan saya keseorangan bersama arwah. Pintu dikunci. Mungkin mereka semua pergi menunaikan solat di Masjidil Haram.

Saya melihat ke arah jenazah. Arwah kelihatan seperti sedang nyenyak tidur. Saya berdoa di dalam hati mudah-mudahan Allah akan merahmatinya dan menempatkan beliau di kalangan para anbiya’,solihin,syuhada dan siddiqin. Moga-moga beliau dianugerahkan syurga di atas usaha-usaha dakwah beliau ketika di dunia.

Saya terjaga dari mimpi. Lantas cepat-cepat bangun untuk menunaikan solat subuh.

Seusai solat, saya terfikir “Aneh sekali mimpi aku kali ini.. apa maknanya ya”

Sudah banyak kali saya mengalami mimpi yang pelik-pelik. Namun mimpi yang satu ini cukup mengesankan hati saya dan saya cukup gembira dengan mimpi ini.

Saya bukan seorang yang pandai mentakwil mimpi. Setahu saya hanya Nabi Yusuf a.s yang pandai mentakwil mimpi. Kalaulah Nabi Yusuf as berada di sisi saya ketika ini sudah tentu akan saya minta supaya baginda mentakwilkan mimpi aneh ini.

Mungkin boleh ditanyakan kepada mereka yang alim dalam hal ini atau mungkin boleh dirujuk kepada kitab-kitab karangan ulama-ulama silam tentang takwil mimpi yang banyak kedapatan di pasaran.

Mungkin mimpi ini satu “booster” kepada sahabat saya supaya beliau melipatgandakan amal ibadah..

Mungkin mimpi ini petanda bahawa beliau akan mengerjakan ibadah haji tidak berapa lama lagi..

Mungkin juga satu anugerah dari Allah untuk mereka yang terpilih…

Mungkin juga permainan tidur… Serba mungkin.

Namun, dalam hati saya tersenyum. Mimpi sahabat saya ini istimewa sekali. Patutlah dia  gembira sekali. Mudah-mudahan ada petanda baik untuk diri beliau.

ABU WAFI, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: