Archives

All posts for the day October 6th, 2009

Kaitkan semua dengan agama

Published October 6, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Pagi ini saya agak lapang setelah seharian terlibat dalam mesyuarat yang panjang semalam. Namun ada tugasan yang perlu saya selesaikan. Ada amanah yang perlu saya lepaskan kepada orang lain. Kejadian gempa bumi yang berlaku di Padang masih mendapat tempat di hati kecil saya. Berita masih memaparkan nasib mangsa gempa dan jumlah korban gempa yang semakin meningkat.

Paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila membaca cerita 400 orang tetamu dalam satu majlis kenduri kahwin di desa Pariaman, Padang yang lenyap tanpa kesan. Bahkan keseluruhan desa tersebut lenyap yang tinggal cuma bumbung menyembah bumi. Kesemua mereka disedut 30 meter ke dalam bumi ketika kejadian tersebut. Rasa macam kisah Si Tanggang atau kisah anak derhaka yang ditelan bumi pula. Segalanya ‘real’ dan berlaku sekelip mata. Saya mengurut dada bila membaca kisah-kisah mangsa gempa dan menatap pilu gambar mangsa-mangsa gempa yang terselamat dan mayat-mayat yang disusun bergelimpangan.

Saya teringat pesanan guru saya. Setiap yang berlaku mesti ada puncanya dan tidak akan saja-saja berlaku. Semuanya mesti dikaitkan dengan agama, yakni Islam.

Pertama, dunia sedang berada di penghujung usia. Jika dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi saw diperlihatkan dengan seorang tua yang berbongkok sebagai simbolik umur dunia yang semakin uzur, maka apatah lagi dengan keadaan dunia sekarang. Tentunya lebih tua dan uzur lagi. Mungkin telah bongkok 100 ditambah dengan penyakit di sana sini. Dunia semakin tua dan semakin menghampiri penghujungnya. Kiamat semakin hampir dan manusia akan dibangkitkan untuk diadili.

Kedua, ibrah daripada musibah yang berlaku di sekeliling kita ialah supaya kita segera mengambil pelajaran dan pengajaran dari apa yang sedang dan telah berlaku. Jika hati kita tidak merasa sesuatu atau terkesan dengan apa yang berlaku di Padang, maka ketahuilah sesungguhnya hati kita telah mati dan semakin hilang sensitiviti terhadap rasa beragama dan rasa bertuhan. Renung, fikir dengan mendalam. Bacalah surah-surah mengenai hari Kiamat seperti surah Al-Haqqah dan Al-Zalzalah. Sesungguhnya kiamat mempunyai nama yang banyak. Baca dan renungkan tafsir di sebalik pengkisahan mengenai hari kiamat.

earthequake

Ketiga, perancangan dan ketetapan dari Allah maka kejadian gempa bumi ini berlaku.

Saya mendoakan semoga penduduk Padang yang ditimpa musibah supaya tabah dan menerimanya sebagai satu perancangan dan ketetapan dari Allah yang tidak dapat ditolak. Semoga mereka kuat dan istiqamah dalam memulakan hidup baru di atas puing-puing kemusnahan.

Saya terbaca satu artikel dalam suratkhabar. Pandangan dari seorang pakar geologi… Malaysia bukan negara kalis gempa !!!!

Saya tersentak… ya… janji Allah benar. Semuanya serba mungkin jika Allah yang merancang dan menentukannya.

Kaitkan semua yang berlaku dengan agama. Barulah hati merasa tenang dan tenteram. Sesungguhnya Allah maha berkuasa.

ABU WAFI, Putrajaya