100 meter terakhir

Published September 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

PC220990

Ramadhan semakin melewati kita….

Ramadhan semakin meninggalkan kita sehari demi sehari…

Jemaah terawih makin susut dan berkurang….

Kemeriahan menyambut Ramadhan makin pudar….

Iklan di TV dan media perdana mula memaparkan iklan dan promosi Syawal…

Hatiku makin sedih dan pilu mengenangkan Ramadhan 1430 akan mula meninggalkan kita…

Jika Ramadhan ini seperti sebuah bangunan maka ianya sedang memasuki fasa terakhir pembinaan insan.

Jika Ramadhan ini seperti permainan bola sepak, maka ianya sedang memasuki separuh masa kedua…

Ya, Ramadhan untuk tahun ini akan pergi. Belum tahu sama ada kita akan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan akan datang.

Saya teringat semasa di zaman persekolahan 17 tahun yang lalu. Pengetua saya semasa perhimpunan mingguan selalu mengingatkan kami tentang pentingnya pelajaran dalam kehidupan masa depan. Paling saya tidak dapat lupakan adalah beliau selalu menekankan perkara 100 meter terakhir.

KENAPA 100 METER TERAKHIR ???

Kami di ambang peperiksaan SPM/STPM lewat tahun 1992. Pengetua berpesan;

“Kamu semua sedang berada di dalam 100 meter terakhir. Justeru, kamu semua mesti memecut dengan pantas dalam 100 meter terakhir ini supaya kejayaan yang manis akan mengiringi kamu semua”.

Apa maksud yang tersirat di sebalik kata-kata beliau ini?

Beliau mahukan kami melipatgandakan usaha di saat-saat akhir ketika peperiksaan hampir menjelang. Jangan bertangguh dan jangan buang masa lagi. Jangan leka dan jangan berbulan madu lagi. Usaha lebih kuat lagi.

Beliau menekankan bahawa usaha berterusan perlu dilakukan sejak dari awal tahun lagi. Namun usaha yang lebih gigih dan keras perlu dilipat gandakan lagi di saat-saat akhir.

Pelari jarak jauh 5000 meter yang bijak tidak akan memecut di awal lariannya kerana tindakannya itu  boleh menyebabkan beliau kehilangan tenaga dan stamina. Strategi beliau adalah berlari seminima mungkin namun tidak membiarkan dirinya ditinggalkan jauh oleh pelumba lain. Lariannya akan dilajukan sedikit demi sedikit. Sekiranya ada persaingan atau ketinggalan dengan pelumba lain beliau perlu bersikap tenang dan tidak tergesa-gesa. Akhirnya beliau akan memerah tenaganya yang tersimpan dengan memecut pada 100 meter terakhir menuju garisan penamat. 

Tenaga yang tersimpan akan dikeluarkan pada 100 meter terakhir…

P1061258

Begitu juga dengan pelajaran. Pengetua kami mahu kami consistent dalam pelajaran dan peperiksaan semester sejak dari awal tahun. Peningkatan pelajaran tidak perlu terlalu drastik  sehingga menimbulkan perasaan over confident dalam diri pelajar. Sikap terlalu over confident  boleh membunuh prestasi pelajar dalam peperiksaan yang sebenar. Buktinya, ramai kawan-kawan saya cemerlang dalam peperiksaan percubaan namun kecundang dalam peperiksaan sebenar kerana sikap over confident yang berlebihan.

Begitu juga dengan Ramadhan…

Ramai yang rajin ke  ke surau dan masjid seawal Ramadhan sehingga melimpah ruah ke luar masjid…

Ramai yang rajin beribadat di awal Ramadhan dengan solat sunat, bacaan Al-Quran, bersedekah dan beramal jariah….

Begitu bersungguh-sungguh dan beriltizam dengan amal ibadah di awal Ramadhan.

Namun, tidak ramai yang mampu mengekalkan konsistensinya. Buktinya, surau dan masjid makin kurang sebaliknya Shopping complex mula penuh sesak seusai Maghrib. Syawal semakin didambakan kedatangannya manakala Ramadhan mula dilupakan…

Keluhan ini biasa saya dengar dari imam dan pegawai-pegawai masjid. Majlis-majlis iftar dan qiamullail kurang mendapat sambutan. Ramai yang teruja di awal namun hilang stamina di 100 meter terakhir Ramadhan. Ramai yang bersemangat di garisan awal namun tumbang di garisan penamat.

100 meter terakhir mempunyai ganjaran yang sungguh lumayan lagi besar. Jika kita merasakan jualan murah hari raya di pasaraya lebih menarik, tawaran merebut pahala Ramadhan yang masih berbaki ini lebih menarik lagi.

Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda untuk mereka yang beribadat dengan khusyuk dan ikhlas di sepanjang 100 meter terakhir Ramadhan.

Pada 100 meter terakhir ini Allah menganugerahkan kita dengan Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Beribadat di malam ini akan mendapat pahala ibadah yang tidak dikurniakan kepada umat-umat lain. 70,000 malaikat akan turun ke muka bumi ini untuk bersama-sama dengan mereka yang menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat . Malahan mereka akan turut bersama memohon keampunan Allah untuk dosa-dosa yang telah kita lakukan. Rugilah jika tawaran istimewa setahun sekali ini tidak direbut. Rugilah mereka yang mengisi malam dengan tidur yang nyenyak. Rugilah jika keampunan dari Allah tidak dipinta.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya [mengurangi tidur] kerana [sembahyang malam] seraya berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut [terhadap seksaNya] dan mengharapkan [rahmatNya]      As-Sajadah : 16

Sepertiga akhir Ramadhan adalah merupakan kemuncak kepada bulan Ramadhan. Rasulullah saw, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah, apabila masuk 10 terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan ikatan pinggangnya [1] dan menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah sepanjang malam dan membangunkan ahli keluarga Baginda  untuk menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah. Ada riwayat pula menceritakan bahwa Baginda melipatgandakan atau lebih tekun beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan. (Source: Al-Fansuri)

Marilah kita sama-sama merebut peluang di saat-saat akhir Ramadhan ini. Tingkatkan kelajuan dengan mempertingkatkan ibadah. Rebutlah peluang di saat-saat Ramadhan masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Ramadhan bukan sekadar puasa di siang hari sebaliknya Ramadhan adalah sebuah imtihan atau peperiksaan untuk menguji keimanan kita. Mudah-mudahan Allah meredhai kita.

Moga bermanfaat.

ABU WAFI, 62250 Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: