Masjid Besi: Antara binaan dan pengisian

Published August 25, 2009 by Menikmati Takdir Langit

beis 3

Source: niznoprob

Seusai terawih

Sudah 3 malam saya berterawih di sini. Sesungguhnya saya amat terpesona melihat keindahan dan kecantikannya. Ruang dalam solatnya sungguh luas. Rekabentuk dalamannya  ringkas tetapi diliputi dengan marmar putih licin. Tulisan Al-Qurannya juga cantik terpampang di hadapan ruang solat. Di kiri dan kanan masjid terdapat kolam air yang berombak kecil. Berdiri di tepian masjid seolah-olah seperti berdiri di tepian pantai. Riak-riak air sesekali berombak kecil menjadikan keadaan tenang dan mendamaikan. Udara segar sesekali bertiup sederhana menampar badan. Saya teringat kisah Ratu Balkis yang menyinsing kain sebaik sahaja melangkah ke istana Nabi Sulaiman a.s kerana menyangka marmar putih yang dipijak adalah air. Satu lagi daya tarikan dan mercu tanda Putrajaya terbina.

Dalam hati saya berdetik bahawa masjid ini bakal mengalahkan Masjid Putra yang berwarna pink. Dari luar simbahan cahaya mengenai marmar putih dan kubah besi memantulkan cahaya serata seolah-olah pantulan marmar putih dari masjid Nabawi di Madinah. Cukup mempesonakan. Saya berasa seperti berada di masjid terapung di Maghribi kerana di kelilingi tasik. Lihat gambar-gambar di bawah ini.

P8225061

Kubah besi

P8225063

Ruang solat utama

P8225065

Pandangan sisi ruang solat

P8225064

Tiang-tiang utama

P8225051

Ayat-ayat Al-Quran

P8225072

konsep ruang terbuka

P8225070

Kolam-kolam di sekeliling masjid

P8225081

Munzir dari belakang ruang solat

P8225080

Kos pembinaan masjid ini mencecah RM180 juta. Seluas 60,156 – meter persegi dan boleh memuatkan 20,000 jemaah dalam satu-satu masa.Saya berharap semoga warga Putrajaya dapat memanfaatkan masjid ini untuk kerja-kerja Islam. Saya juga berharap pihak pengurusan masjid ini dapat memaksimumkan penggunaan masjid ini untuk mengadakan kelas-kelas pengajian seperti kelas pengajian tajwid, Al-Quran, Bahasa Arab kepada orang ramai. Contohilah Masjid Negara yang saya kira cukup istiqamah dan terkenal dengan kelas pengajian Tajwidnya sehingga berjaya melahirkan ramai guru-guru tajwid. Contohilah Masjid Al-Falah USJ yang tidak pernah sunyi dari kuliah-kuliah pengajian bermula dari waktu subuh,dhuha sehingga melewati waktu maghrib. Sungguh hidup masjid berkenaan. Mudah-mudahan pengisian di dalam masjid ini kelak akan setanding dengan kos pembinaannya.

PENTINGKAH BINAAN DAN REKABENTUK?

Namun, Islam bukanlah terletak pada  keindahan rekabentuk dan binaan. Islam terletak pada kualiti pengisian yang diketengahkan.

Jika masjidnya indah namun pengisiannya mengecewakan, maka tiada maknanya. Jika kehadiran para jemaah hanya satu saf setiap kali waktu solat maka apalah maknanya. Kecantikan dan keindahan binaan dan rekabentuknya hanya tinggal nama. Keindahan hanya boleh digah-gahkan sahaja tetapi pengisiannya adalah kosong dan tidak akan dinilai oleh Allah.

Saya teringat kepada kisah-kisah hidup para sahabat. Mereka hidup serba sederhana dan kekurangan. Rumah mereka sekadar cukup untuk berehat dan melelapkan mata. Tumpuan hidup difokuskan kepada pengisian jiwa dengan ruh Islam.  Malam mereka adalah hamba yang sujud dengan linangan air mata mengharap redha dan keampunan dari Allah. Siang mereka adalah singa yang mengaum di medan perjuangan melaksanakan Islam dalam aspek kehidupan.

Masjid mereka serba ringkas. Tiangnya adalah batang-batang kurma. Bumbungnya hanyalah pelepah kurma kering. Sungguh jauh berbeza dengan masjid di zaman kita. Tiada ukiran cantik di dinding. Tiada tangga beralas mamar. Tiada kolam air di sekitar. Tiada landskap menarik….Namun mereka adalah generasi terbaik yang pernah dilahirkan. Mereka ‘excel’ dalam kehidupan dunia dan akhirat.

CERITA KOPI DAN CAWAN

Sahabat saya Hilal Asyraf pernah membawa kisah kopi dan cawan dalam blognya beberapa bulan lepas. Kiasan yang sungguh menarik hati.

Suatu hari seorang guru memanggil murid-muridnya meminta mereka memilih beberapa cawan di atas meja. Cawan pelbagai bentuk. Ada yang cantik,comel dan ada yang biasa-biasa sahaja. Semua cawan mempunyai kopi. Semuanya berebut-rebut untuk mendapatkan cawan yang paling cantik bentuknya hingga meninggalkan cawan yang biasa-biasa.

Guru berkata : kamu sibuk memilih bentuk cawan sehingga kamu semua lupa untuk menikmati kopi yang ada dalam cawan.  Tiada siapa pun yang memberitahu apa rasa kopi, pahit ke, manis ke, atau tawar.

Begitulah kehidupan bila kita semua terlalu sibuk memikirkan soal kosmetik sehingga melupakan soal substance atau pengisian. Kita sibuk dengan bentuk cawan hingga lupa bagaimana rasa kopi. Kita sibuk dengan perkakasan dunia yang serba hebat,mahal dan  grand sehingga kita lupa pengisian hidup yang lebih utama. Lupa kepada tujuan penciptaan kita di dunia. Lupa semuanya.

Sabda Nabi saw :  “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras kamu, harta benda kamu akan tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”

Pandangan di sini adalah penilaian Allah terhadap kita. Penilaian Allah berbeza dengan penilaian manusia. Allah menilai manusia berdasarkan taqwa. Taqwa bukan terletak pada baju mahal, rumah besar, kereta besar, rupa paras cantik tetapi taqwa terletak pada sejauh manakah kepatuhan kita kepada suruhan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Menurut Ubai bin Kaab ketika ditanya Sayyidina Umar Al-Khattab menyatakan taqwa adalah rasa berhati-hati dan berjaga-jaga dalam kehidupan seumpama seorang lelaki yang berjalan di atas jalan yang penuh dengan duri. Sudah tentu dia akan melangkah dengan berhati-hati agar kaki tidak luka tertusuk duri. Begitulah gambaran taqwa.

Jangan kita ingat penilaian Allah sama dengan penilaian manusia. Penilaian manusia boleh dikelirukan, boleh dikaburkan dengan presentation kosmetik yang menarik. Sedangkan penilaian Allah adalah berbeza sama sekali.

Saya teringat semasa zaman belajar dahulu. Ada sahabat saya yang cukup terkenal dengan make up assignmentnya dengan cantik. Kulit luar assignmentnya penuh bunga-bunga. Presentation dari luar cukup hebat tetapi isi kandungannya masih copy paste dari orang lain. Tiada originality. Beliau ditegur oleh pensyarah kami supaya mengutamakan ‘originality’ dan bukan menciplak dari orang lain. Bahkan beliau juga ditegur kerana pensyarah kami tidak suka dengan kulit assignment yang berbunga-bunga. Pensyarah kami adalah seorang yang tidak boleh bertolak ansur dengan soal kualiti ,bijak menilai dan tahu membezakan antara substance dengan presentation.

Itulah penilaian yang sebaik-baiknya.

Sebagai penutup, saya ambil petikan sahabat saya mengenai kualiti hidup. Moga bermanfaat.

Memang, kalau kita perasan, hidup kita begitu. Material oriented, hingga kita ni terlupa akan kualiti hidup tu yang sebenar. Sebenarnya, kualiti hidup kita tidak bergantung pun dengan kereta kita berapa mahal, rumah kita berapa besar, duit kita berapa banyak. Kualiti hidup kita sebenarnya, bergantung kepada berapa banyak kita gunakan hidup kita agar Allah kira.

Kita kadang-kadang telah meletakkan dunia itu terlalu tinggi, hingga kehidupan kita di dalam dunia ini menjadi sempit. Sedangkan, yang penting pada kita adalah kehidupan kita, bukannya dunia. Dunia adalah alat, untuk kita pergunakan agar kehidupan kita ini diterima oleh Allah. Tetapi, apabila dunia itu pula telah mempergunakan kehidupan kita untuknya, maka apa untung yang ada pada kita?  [Hilal Asyraf]

Abu Wafi, 62250 Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: