Tolong nasihatkan saya

Published August 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Abu Wafi,

Saya adalah salah seorang pembaca blog abuwafi. Saya tertarik dengan pengisian yang diberikan dan berharap semoga usaha-usaha abuwafi mengajak manusia menuju jalan-jalan kebaikan akan diteruskan. Sesungguhnya, beruntunglah orang-orang yang sentiasa berdakwah dan mengajak orang lain ke jalan yang diredhai Allah.

Saya mempunyai masalah yang sangat berat dan saya amat-amat mengharapkan nasihat dari abuwafi bagi menyelesaikan masalah rumit yang sedang saya alami kini.

Saya cuba menyelesaikannya dengan sebaik mungkin dan saya hanya mampu berdoa kepada Allah setelah segala ikhtiar diambil bagi mengatasi masalah yang membungkam jiwa.

Pada saya ini merupakan antara ujian yang paling besar dalam hidup saya. Mungkin orang lain nampak mudah dan remeh, namun bagi saya masalah ini boleh menjadi lebih besar lagi jika dibiarkan. Saya berusaha, namun segala usaha saya mempunyai batasannya dan saya tidak mampu untuk bertindak lebih jauh dari itu.

Kerana masalah ini saya terjelepuk seketika. Saya cuba mendekati Pencipta bagi memohon pertolongan sambil mengadu meminta ditunjukkan jalan keluar. Waktu dhuha semalam saya rasakan bahawa solat tersebut adalah yang paling khusyuk pernah saya lakukan. Usai solat saya seperti biasa panjatkan doa namun entah mengapa kali ini saya merasa cukup sebak dan sedih.Tiba-tiba air mata turun dengan laju tanpa dipaksa-paksa. Saya menangis teresak-esak dalam doa saya. Menangis bagaikan Umar dan Abu Bakr bila membaca ayat-ayat Allah.  Saya menangis kerana ujian yang ditimpakan kepada saya.

Mungkin inilah tabiat manusia. Bila terdesak, bila tersepit dan bila terasa tiada lagi harapan atau jalan keluar maka ketika itulah Allah diingati sebagai sebaik-baik penolong. Saya akui kelemahan diri. Namun ini adalah ujian. Ujian yang besar. Bila ditimpa ujian dan musibah kembalilah kita kepada Allah. Memang inilah hakikat dan hikmah ujian dikenakan ke atas kita supaya kita lebih mengenali Allah dan supaya kita kenal diri kita yang sebenarnya.

P6234525

Beberapa hari ini saya tiada mood. Segalanya tawar dan hambar. Saya menjadi resah dan gelisah. Setiap saat saya memikirkan masalah ini dan otak saya berputar-putar mencari alternatif ke-2 dan ke-3. Saya benar-benar buntu. Saya tersepit.

Sesungguhnya saya sedang mengalami masalah. Saya sedang berusaha menanganinya. Masalah yang cukup berat, berat dan sangat berat bagi saya. Saya sedang memikirkan jalan keluar dan berdoa semoga Allah menunjukkan saya jalan keluar yang terbaik.

Saya umpamakan diri seperti ikan yang terperangkap di dalam akuarium. Berpusing-pusing di dalam akuarium mencari jalan keluar untuk berenang ke lautan yang luas. Lautan yang memberikan kelapangan dan kebebasan untuk saya.

P6134405

Namun saya yakin, dalam kehidupan ini di saat-saat kita merasakan bahawa tiada penyelesaian kepada kemelut yang kita alami sebenarnya di situlah akan ada jalan-jalan keluar yang akan dipermudahkan oleh Allah. Saya masih menunggu dan menunggu sambil berdoa semoga saya menemui jalan keluar tersebut.

Apakah yang patut saya lakukan? Apa lagi ikhtiar yang dapat saya lakukan setelah semua usaha telah saya ambil? Tolonglah saya.

Nik xxxxx , Gombak

JAWAPAN ABU WAFI

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi membaca catatan-catatan di blog saya yang tidak seberapa ini. Sesungguhnya saya sangat-sangat terharu bila membaca luahan hati saudara dan meminta nasihat saya untuk mengatasi masalah yang sedang saudara alami. Terus terang saya katakan, bahawa saya bukanlah orang yang paling layak dan pakar untuk memberikan nasihat kehidupan namun insyallah saya akan cuba memberikan apa yang terbaik bagi melegakan kerisauan di hati saudara.

Saya sebenarnya kurang jelas mengenai masalah besar yang dihadapi oleh saudara kerana saudara tidak menceritakan secara terperinci butiran masalah yang dialami oleh saudara. Walaupun saya tidak mengenali saudara secara peribadi namun insyallah saya akan menjawab secara umum mengikut keupayaan saya.

Daripada tulisan saudara, saya dapat mengagak bahawa masalah yang saudara alami amat-amat berat. Namun saya bersyukur kerana saudara masih lagi berpegang teguh dengan tali Allah, masih merayu dan meminta pertolonganNya serta tidak memilih jalan-jalan lain yang salah.

Pertama, saudara perlu BERSABAR dengan masalah ini. Ini merupakan ujian dari Allah sama ada berupa penyakit, kemiskinan, gundah gulana, hutang piutang, kehilangan nyawa dan harta benda. Semuanya ini adalah ketetapan dari Allah untuk menguji hamba-hambanya. Bagi mereka yang sabar dan redha maka besarlah ganjaran yang akan menantinya di syurga kelak.

Kedua, BERIKHTIAR semaksima mungkin bagi mengatasi masalah ini. Namun perlu diingatkan bahawa ikhtiar saudara mestilah berlandaskan syariat dan tidak bertentangan dengannya.

Ketiga, MINTA PERTOLONGAN daripada individu yang boleh dipercayai dan berdekatan dengan diri kita. Mohon nasihat, pandangan dan tunjuk ajar bagi mengatasi masalah ini.

Keempat, CARI ALTERNATIF lain. Sebenarnya perkataan tiada jalan keluar sebenarnya tidak wujud dalam hidup orang-orang yang beriman selagi kita masih hidup. Jalan-jalan keluar masih ada, cuma kita mestilah mencarinya dengan panduan daripada Allah. Saya percaya masalah saudara ini mempunyai alternatif lain untuk diselesaikan. Percayalah bahawa saudara masih mempunyai jalan keluar selagi saudara masih memilih untuk mendekatkan diri dengan Allah. Cuma saudara perlu bersabar menunggu kerana ini adalah satu lagi bentuk ujian kepada saudara.

Akhirnya, setelah semua ikhtiar dan usaha diambil, maka berdoalah kepada Allah sebagaimana yang telah dan sedang saudara lakukan. Pertingkatkan amal ibadah dengan solat hajat, membaca Al-Quran dan bermunajat kepadaNya.

Tiada apa lagi yang dapat saya katakan. Tiada apa lagi yang dapat saya nasihatkan. Sesungguhnya setiap musibah, masalah yang sedang saudara alami merupakan satu bentuk kasih sayang Allah kepada saudara. Ini juga adalah satu bentuk komunikasi antara Allah dengan saudara.

Saudara memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui solat dhuha dan saya pasti saudara juga banyak melakukan amal ibadah di saat-saat getir ini. Semua ujian ini adalah untuk meningkatkan kedudukan saudara di sisiNya dan dalam masa yang sama akan menggugurkan dosa-dosa yang lepas. Tahniah kerana saudara berada di atas landasan yang betul.

 Kalau ingin berbicara dengan Allah, maka lakukan solat. Adukanlah segala permasalahan dunia kepadaNya dan mohonlah jalan keluar.

Kalau ingin mendengar Allah berbicara dengan kita, maka bacalah Al-Quran. Renungkanlah ayat-ayat yang telah diturunkan. Tadabbur maksud yang tersirat dan sebab-sebab penurunan ayat-ayat tersebut supaya kita memahami percakapan Allah kepada kita.

Saya yakin bahawa saudara telah melakukan semua ini. Insyallah, jalan keluar yang saudara tunggu-tunggu itu akan ditunjukkan oleh Allah dalam masa yang terdekat. Bersabar dan terus bermohon wahai saudaraku.

Insyallah, mudah-mudahan semuanya akan selesai dan kembali seperti sediakala. Saya akan mendoakan semoga Allah memberikan petunjukNya kepada saudara. Yakinlah bahawa semua permintaan dan doa akan dimakbulkan. Jika tidak di dunia yang fana ini maka akhiratlah tempat diperkenankan.

Sekian, Mudah-mudahan Allah redha.

Abu Wafi, 62250 Putrajaya

One comment on “Tolong nasihatkan saya

  • salam abu wafi,sy nk bertanya ttg mslh sy ni. 1.) mcm mana sy nk selesai kan hutan sy yg bnyk ni? lbih kurg RM90,000 2.) sy nk kawin tp mslh dgn duit. mcm mna?

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: