Bila saya marah

Published July 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P7084691

 Saya benar-benar teruji semalam. Teruji dengan sikap panas baran seorang manusia yang pangkatnya lebih tinggi dari saya. Walaupun saya bukan berada di bawahnya secara langsung namun saya terpaksa bekerjasama dengannya secara “teamwork” bagi menjayakan sesuatu tugasan yang telah ditetapkan. Entah mengapa sifatnya sejak kebelakangan ini berlainan sekali malah makin menjadi-jadi. Silap sikit marah. Silap sikit terus melenting dan naik darah. Suara tinggi usah dikira lagi. Bukan saya menjadi mangsa pertama bahkan beberapa pegawai bawahan menerima nasib yang sama. Saya tidak tahu di mana silapnya. Masing-masing suka bercerita mengenai sikapnya yang merimaskan semua pihak. Masing-masing tidak tahan dengan sikapnya.

Dalam sehari bila saya hitung tidak kurang 15 kali beliau akan menelefon saya. SMS sudah tidak terkira banyaknya. Arahan demi arahan diberikan walaupun semua perkara tersebut telah saya buat dengan tekunnya.

Dia suka memberi’ reminder’ untuk melakukan tindakan susulan atau pun ‘follow up’. Walaupun peringatan itu baik namun jika diulang-ulang 10 kali dalam sehari kita akan naik muak dan rimas. Follow up juga baik namun terlalu banyak follow up akan menjadikan pihak yang satu lagi menjadi menyampah dengan saya yang asyik-asyik membuat follow up. Seoalah-olah saya tidak percaya pada mereka. Agaknya itulah yang terpendam dalam hati mereka.

Namun semalam telah sampai ke kemuncaknya. Kemarahannya begitu menggila sekali. Beliau memaki hamun saya melalui handphone. Hampir 5 minit saya mendengarnya. Silapnya kecil. Saya tidak follow up katanya.

Darah saya naik. Saya hampir hilang pertimbangan. Emosi saya terus terganggu dengan panggilan tersebut. Saya cuma mendengar dan tidak membalas. Saya memberi akujanji akan menyemak dengan pihak yang berkenaan di mana silapnya. Saya akan “repair the damage” seawal pagi keesokan harinya. Saya bergegas berjumpa seorang kawan yang sejawatan dengan saya bagi memohon bantuan. Kebetulan masalah yang berlaku berkaitan dengan kawan saya ini. Beliau tersenyum.

“Tolonglah aku, teruk kena marah” ujar saya.

” Yang bos kau tu teruk sangat buat apa. Bukan besar pun, lagi pun aku akan ambil tanggungjawab sebab sebelum ini kami dah setuju untuk selesaikan benda ni” ujar beliau.

Saya menarik nafas lega. Saya sudah buat yang sepatutnya. Memang sebelum ini pun saya dah lakukan apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya sudah menulis surat kepada pihak yang berkenaan dan mereka juga sudah maklum akan hal ini. Perkara ini juga akan diambilalih oleh kawan saya tersebut.

Saya pulang jam 6.20 petang. Hujan renyai-renyai. Ketika melalui highway Kuala Lumpur-Putrajaya Expressway (MEX) saya menekan-nekan keypad handphone.Pada siapa harus saya mengadu. Sebentar tadi pegawai kanan berkenaan dengan nada marah telah menelefon “immediate bos” saya di pejabat. Mengadu akan hal saya, akan kedegilan saya yang tidak mahu mendengar cakapnya. Saya sudah terangkan kedudukan sebenar dan berjanji jika ini silap saya saya minta maaf dan akan betulkan. Dia menerima dengan tenang. Memang “immediate bos” saya yang ini sangat memahami. Saya berjanji akan menyiasat esok pagi mencari di mana silapnya. Adakah surat yang saya hantar tidak sampai atau adakah berlaku ‘communication breakdown” di mana-mana. Saya perlu siasat. Apa pun pegawai kanan tersebut telah menelefon beberapa pihak mengadu akan hal saya termasuk mereka yang dekat dengan Bos paling besar di pejabat.

Malam sesudah solat Maghrib saya berteleku memerhati pemandangan di luar rumah. Saya mengambil Al-Quran dan membaca Surah Thaha dengan harapan hati saya akan tenang. Namun, setiap kali saya baca setiap kali itulah peristiwa siang tadi terngiang-ngiang di telinga. Dada saya tiba-tiba berombak. Saya menjadi marah. Sukarnya saya untuk mengawal kemarahan walaupun sayalah orang yang selalu menyuruh orang bersabar.

Malam itu saya tidur lena setelah membilang biji-biji tasbih sambil membaca Istighfar berbanyak kali. Saya tidak sedar bila saya terlelap. Isteri saya menasihatkan saya bersabar dan banyak-banyak beristighfar, mudah-mudahan kemarahan saya akan hilang.

Pagi ini saya bangun. Entah macam manalah agaknya pagi ini Ya Allah… rintih saya di dalam hati.

Usai solat subuh saya membaca Surah Yassin. Nasihat emak saya, surah ini elok dibaca ketika menghadapi masalah. Selain itu Surah Al-Insyirah juga elok dibaca berkali-kali. Moga Allah memudahkan tugas saya hari ini. Saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya hanya pasrah dan berserah jika saya yang harus menerima akibatnya.

Dalam kereta saya tenang. Hati saya lapang walaupun sesekali berkocak dan berombak kencang. Mungkin syaitan ketika itu sedang membisikkan sesuatu yang membuatkan saya marah. Saya teringatkan pesanan Pak Cik Khairul Anwar sahabat saya di Nilai. Beliau menyuruh saya supaya banyak mengamalkan membaca Selawat Tafrijiyyah sebanyak mungkin. Lalu saya membacanya berulang-ulang kali sambil memegang steering kereta. Mulut saya terkumat kamit Ya Allah, kau rungkaikan segala masalah yang sedang membelenggu aku ketika ini”.  Saya baca dan terus membaca sehingga kereta saya sampai di tempat kerja.

Saya tidak terus naik berjumpa pegawai kanan tersebut. Sebaliknya saya terus menuju ke aras 6 membawa salinan surat yang ada pada saya. Saya berjumpa pegawai yang berkenaan dan beliau terus menyemak. Semakan mendapati semuanya “in order”. Surat saya sampai malahan tindakan juga telah diambil sebagaimana yang dipohon di dalam surat tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat kesalahan cetak yang tidak disengajakan. Beliau ambil maklum. Beliau memohon maaf kepada saya dan berjanji akan menyelesaikan perkara tersebut. Saya terkejut. Memang bukan salah saya. The mistake is not mine. Rasa kelegaan terus mendada di dalam jiwa. Perasaan saya bertukar kembali tenang. Dalam hati saya berbisik ” Allah is Great”.

Saya turun ke bawah. Hasrat di hati untuk berjumpa pegawai berkenaan dimatikan dahulu. Saya membuat keputusan untuk sms dia sahaja. Pada saya tiada gunanya saya bertekak dengan dia untuk menegakkan benang yang tidak basah Saya sms dia. Kali ini sms saya lebih panjang dari biasa.

” Dear doc, I hope you will get your fact clear before you scolded  me.I have check with them and they admit its their mistake. They apologized to me and giving undertaking that it wouldnt happen again”

Dia tidak membalas. Mungkin dia terkejut dengan tindakan saya yang berani menempelak dia.

” I hope my explanation is crystal clear and satisfied yourgoodself. I have spoken to my counterparts and they willing to take this task. No problem they will rectify. Should there be any queries please contact them to ratify my explanation. Case is closed. Thank You.

Saya menamatkan sms menunggu reaksi balas darinya. Akhirnya dia menjawab:

“Thank you for taking a timely action”

Itu saja. Biarkan. Kadang-kadang kita juga perlu meluahkan kemarahan dalam bentuk tulisan dan saya memilih untuk menulis. Saya berjumpa dengan dia di bilik. Tapi nadanya telah menurun, suaranya perlahan. Saya tidak bercakap banyak dan terus membuat kerja saya. Dia tidak banyak mengganggu saya. Cuma ada beberapa perkara yang dia tanya namun itu semua tidak berkaitan dengan isu yang berlaku semalam. Saya menarik nafas lega. ‘Case is settled’ bisik hati saya dan saya juga tidak mahu memanjangkan perkara ini ke atas. Biar selesai di sini sahaja walaupun saya tahu perkara ini akan berulang dan berulang lagi.

Kepada ‘immediate boss” di pejabat saya maklumkan kedudukan yang sebenar. Alhamdulillah dia memahami dan menyokong. Saya telah lakukan yang terbaik tetapi sekiranya masih lagi berlaku masalah itu semua di luar kuasa saya… an act of God.

Semua manusia buat silap. Semua manusia buat salah. Malahan tidak ada seorang pun yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan apatah lagi melakukan dosa dengan Allah. Sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa beristighfar sehari semalam bagi memohon keampunanNya. Namun dalam kes ini adalah salah di pihak lain bukan salah saya. Saya juga tidak memarahi pihak yang melakukan kesalahan tersebut kerana dia telah pun memohon maaf kepada saya. Memang dia terlepas pandang. Pada saya yang penting adalah bagaimana untuk menyelesaikan masalah.

Damage has been done and how about to repair the damage adalah perkara utama yang sepatutnya difikirkan.

Apa pun perkara ini menjadi pengajaran yang cukup berguna kepada saya. Saya teringatkan pesanan sahabat saya suatu ketika dahulu iaitu;

Kadang-kadang kita perlu juga tunjukkan perasaan kita. Biar tindakan nampak lembut tetapi berbisa dan memberi kesan.

Saya rasa dia telah menerima kesannya. Ada perubahan pada sikapnya hari ini terhadap saya selepas menerima sms tersebut. Saya harap mesej sampai kepadanya kerana saya tidak suka memilih untuk ‘confront’ secara berdepan dengan dia. Bagi saya ini akan memburukkan lagi keadaan. Saya memilih untuk berada jauh dari dia dengan harapan kemarahan saya yang terpendam akan segera reda. Saya memilih untuk keluar jauh dari medan yang boleh mencetuskan kemarahan saya. Itulah yang sebaik-baiknya.

Niat saya meluahkan perasaan melalui sms tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menyedarkannya. Saya cuba memperbetulkan keadaan dengan nasihat supaya perkara begini tidak akan berulang lagi. Supaya dia menyiasat habis-habis sebelum meletakkan kesalahan di bahu orang lain.  Namun jika benar saya silap saya rela dan akur untuk dimarahi. Namun marah perlu dikawal. Marah ada batasannya. Ini kerana sifat marah berpunca daripada nafsu yang ditunjangi syaitan. Ia datang daripada diri sendiri melalui nafsu. Sebab itu saya cukup takut jika saya tidak dapat mengawal diri saya bila perasaan marah menguasai diri.

Saya sedar, bahawa bukan mudah untuk menahan kemarahan namun jika tidak diluahkan maka akan membinasakan diri. Luahkanlah dalam bentuk yang sederhana, lembut tetapi memberi impak kepada pihak yang satu lagi. Settle the problem in a suttle way. Anda boleh menulis, melukis, bercerita kepada orang lain, berjumpa kaunselor, menangis, mengadu kepada Allah, membaca Al-Quran atau apa sahaja asalkan luahan anda tidak memudaratkan orang lain apatah lagi bercanggah dengan Islam. Allah redha, manusia pun redha.

Dalam masa yang sama saya berdoa semoga Allah melembutkan hatinya dan memberikan petunjuk kepada beliau supaya bersikap tenang dalam semua keadaan.

Saya berdoa dan memohon ampun semoga api kemarahan yang membuak-buak dalam diri ini akan segera reda, akan segera padam.

Sabda Nabi saw : ” Orang yang paling kuat di kalangan kamu ialah yang dapat menahan kemarahannya”.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan”.                             [Ali-Imran :200]

Saya akur, bila saya marah lagi kembalilah kepada akal dan hati… Jangan biarkan nafsu menguasai diri. Akal dan hati biar beraja di dalam diri baru nafsu mengikuti.

ABU WAFI, Kuala Lumpur

2 comments on “Bila saya marah

  • salam abu wafi,

    bangga saya mempunyai teman yang mampu menahan marah seperti abu wafi. benarlah pesan orang tua, ‘yang benar tetap benar, yang batil akan tewas’.

    kadang-kadang pelik apabila memikirkan ada manusia yang sesuka hati dan merasa berhak untuk memarahi orang lain hanya kerana dia memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada kita.

    moga Allah dorongkan hati-hati kita semua ke jalan kesabaran dan menyedari kembali akan hakikat keHAMBAan yang sebenar.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: