Takwa itu benteng kehidupan

Published June 26, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

P6234530

Kita bercakap mengenai kebejatan sosial dan masalah jenayah yang menghimpit masyarakat hari ini. Kita melihat dan membaca kes-kes di dada-dada akhbar yang tidak sanggup untuk dibincangkan dengan panjang lebar. Kita menyesali kenapa di zaman mutaakhir ini, isu keruntuhan moral,masalah remaja, keruntuhan rumahtangga, jenayah rogol,haruan makan anak [incest],pembunuhan dan penipuan makin menjadi-jadi. Di mana pula kekuatan dan ketahanan diri umat Islam hari ini dalam menahan diri daripada terjebak dalam perkara-perkara tersebut. Lebih menyayat hati bila semua masalah di atas majoritinya melibatkan umat Islam yang mengucap 2 kalimah shahadah.

Saya memikirkan dengan penuh serious pokok pangkal kepada persoalan tadi. Saya cuba mencari jawapan walaupun jawapan sebenarnya telah ada. Saya cuba mencari jalan penyelesaian walaupun telah banyak cadangan telah diberikan oleh pengkaji sosial,ahli politik dan alim ulama. Penyelesaian yang ringkas tetapi tuntas bagi seorang anggota masyarakat yang tidak mengkaji dengan mendalamnya.

BENTENG….. ya ini jawapannya.

Analogi mudah cubalah kita lihat kehidupan seharian kita. Kita mempunyai rumah dan kita mahu supaya rumah kita berpagar bagi mengelakkan kejadian pecah masuk rumah dan rompakan. Malah ada yang sanggup membelanjakan puluhan ribuan ringgit untuk meletakkan grill yang bermutu tinggi serta sistem keselamatan yang canggih.Pagar dan tembok akan menjadi benteng kawalan bagi melindungi harta benda kita termasuk nyawa penghuninya daripada dicerobohi. Cuba bayangkan, antara rumah yang tidak berpagar dengan yang berpagar, mana yang lebih selamat??

Sudah tentu rumah yang berpagar. Apatah lagi jika pagarnya tinggi dan mempunyai ‘pondok guard’ untuk menjaga keselamatan penghuni seperti yang kita lihat di kawasan perumahan mewah di Kuala Lumpur. Makin kuat pagarnya dan makin ketat kawalan keselamatannya maka makin susah dan sukar untuk penjenayah menceroboh. Mungkin mereka yang berniat jahat akan berfikir 2 atau 10 kali sebelum meneruskan niat jahat mereka.

Inilah benteng yang saya maksudkan..

Namun sebahagian besar kita gagal untuk menterjemahkan kisah pagar rumah kepada pagar kehidupan yang penuh ujian dan dugaan. Sebahagian besar anggota masyarakat hari ini gagal untuk memahami bagaimana untuk meletakkan benteng yang kuat dan kukuh kepada diri. Mereka tidak suka untuk merujuk kepada penyelesaian yang diberikan oleh Al-Quran dan Sunnah sebaliknya mereka lebih ghairah untuk mencuba teori-teori baru ciptaan Barat bagi membentengi kehidupan. Ternyata penyelesaian ciptaan manusia bersifat sementara kerana ilmu manusia terbatas berbanding ilmu Allah yang maha luas.

Diri kita memerlukan benteng sebagaimana rumah memerlukan pagar. Benteng diri adalah ketakwaan kepada Allah yang mesti sebati di dalam diri. Adanya benteng ini akan menghindarkan diri kita daripada gejala-gejala sosial dan perkara-perkara mungkar. Tanpa benteng maka diri hilang kawalan. Bila tiada kawalan maka diri kita akan mudah dirasuk,dicucuk dan dipengaruhi oleh syaitan di luar sana yang selama ini menunggu bagaikan serigala lapar ingin menerkam kambing yang dikawal rapi di dalam pagar berduri.

Umat silam bila teringat dosa mereka menangis. Bila timbul keinginan untuk membuat dosa maka cepat-cepat memutuskannya. Malah ada yang mengambil bara api dan diletakkan di atas tangan ketika timbul keinginan untuk melakukan dosa. Bara yang panas melecurkan tapak tangan. Kesakitan di tangan lantas mengingatkan bahawa api neraka lebih panas dari api dunia lalu mematikan terus keinginan jahat tersebut. Subhanallah !!!

Kita perlukan takwa untuk menjadi benteng kehidupan kita. Di luar benteng kehidupan kita boleh lihat bagaimana manusia tanpa kawalan berubah menjadi rakus dan buas menyerang,membaham habuan dunia dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira halal dan haram. Mereka akan mudah dihinggapi dengan penyakit-penyakit hati seperti dendam kesumat, dengki,busuk hati,pemarah dan bermacam sifat mazmumah menguasai diri.

Marilah kita melihat kembali ke dalam diri. Apakah telah cukup benteng kehidupan diri yang telah dibina?

P6204469

Takwa hanya boleh dibentuk melalui perasaan yang takut kepada Allah. Takwa hanya boleh dicapai apabila kita benar-benar memahami tujuan kita diciptakan di muka bumi ini. Bila kita faham, maka kita akan semakin mendekati jalan-jalan menuju kebaikan seperti membaca Al-Quran, berzikir, memuhasabah diri dan lain-lain jalan menuju kebaikan. Bila semua amalan ini dilakukan dengan istiqamah,ikhlas,berterusan dan bersungguh-sungguh maka hati akan menjadi baik.Bila hati baik maka takutlah kita untuk melakukan dosa. Dengan itu, benteng diri telah pun terbina dengan kukuhnya.

ABU WAFI, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: