Hamba itu berhajat

Published June 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Bulan ini saya belum menulis satu entry pun kecuali saya baru selesai menyiapkan catatan saya di ruangan pages mengenai kembara iman saya yang lepas.

Kebelakangan ini cuaca di Malaysia dan di Lembah Klang khususnya agak panas terutama di sebelah malam. Berpeluh-peluh kita dibuatnya. Berita melaporkan cuaca panas dan kering ini akan berlanjutan ekoran fenomena El-Nino yang melanda dunia. Adalah dijangkakan bahawa keadaan ini akan berterusan untuk 3 bulan yang akan datang. Pagi ini saya menatap akhbar. Berita yang menarik perhatian saya ialah Lembah Klang dijangka mengalami masalah air berikutan empangan-empangan di sekitar Lembah Klang mengalami penurunan yang mendadak.Jika keadaan ini berlanjutan, maka seluruh warga Lembah Klang akan keputusan bekalan air dan sistem ‘rationing’ terpaksa dilakukan.

 

P3151860

Saya tidak berhasrat untuk mengulas mengenai cara-cara mengatasi krisis ini. Saya juga tidak pandai untuk memberi nasihat kepada seluruh penduduk Lembah Klang supaya menjimatkan penggunaan air. Saya juga tidak tahu memberi cadangan konkrit untuk mengenalpasti punca krisis ini. 

Saya cuma ingin mengulas dari sudut kelemahan dan kedhaifan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Sebagai hamba kita sebenarnya lemah dari semua segi. Sebagai hamba kita memerlukan pertolongan daripada Allah. Kita perlukan bimbingan ke jalan yang benar. Kita mempunyai hajat yang banyak bagi meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini.

Walaupun sejarah mencatatkan bahawa Firaun pernah mengaku sebagai Tuhan, namun Firaun juga berhajat kepada semua perkara yang kita hajatkan pada hari ini. Firaun berhajat kepada isteri. Firaun juga berhajat kepada zuriat malah Firaun juga berhajat kepada makan dan minum.

Sedangkan Allah, Tuhan yang menguasai langit, bumi dan semesta alam TIDAK BERHAJAT kepada segala apa yang ada. Bahkan Allahlah yang mencipta dan mengurniakan hajat-hajat ini kepada semua manusia dan kehidupan di muka bumi ini.

Kita memerlukan air untuk hidup. Pakar kesihatan menasihatkan supaya kita minum sekurang-kurangnya 8 gelas air dalam sehari. Inilah hajat kita. Hajat seorang hamba kepada Tuhannya. Kalau kita hebat, kalau kita rasa besar diri maka sudah tentu kita tidak memerlukan air. Tidak mungkin ada manusia yang boleh ‘claim’ bahawa dia boleh hidup tanpa air. Tanyalah kepada semua manusia hatta kepada yang paling berkuasa seperti Presiden Obama sekalipun memerlukan air untuk hidup. Justeru, di sinilah kelemahan, kekerdilan dan serba kurangnya kita sebagai hamba. Maka insaflah.

Hajat perlu disalurkan melalui saluran yang betul. Hajat jika disalurkan melalui cara yang salah akan mengundang kemurkaan Allah. Bahkan Allah akan meninggalkan kita jika hajat itu dipohon kepada sesuatu selain dari Allah. Maka bagi yang berhajat mohonlah pertolongan dengan harap dan sabar kepada Allah satu-satunya tempat memohon bantuan selain ikhtiar dan usaha yang berterusan.

Menghadapi krisis air dan cuaca panas yang mencengkam ini sebenarnya merupakan peringatan daripada Allah kepada kita sentiasa insaf dan sedar akan kelemahan dan keterbatasan kuasa yang ada pada seorang hamba. Kita mungkin mempunyai semua agensi dan jabatan bagi mengatasi sesuatu masalah di persekitaran hidup kita. Namun sebanyak mana agensi dan jabatan yang ada pun tidak akan mampu untuk melawan kehendak dan takdir yang turun dari langit. Mereka ada hadnya. Mereka ada batasannya. Ada perkara yang berlaku di luar kawalan mereka. Mereka tidak boleh mengatasinya.

Bila berlaku krisis seperti ini seharusnya kita sama-sama menilai semula diri ini bahawa kebergantungan kita kepada Allah adalah sesuatu yang PERLU dan MANDATORI. Tidak dapat tidak. Rasa harap dan kebergantungan inilah yang menyebabkan kita akan semakin dekat dan mengenali Allah.

Maka bertepatanlah dengan ayat  “Waiiyya kanasta’in” [ hanya kepadaMu kami meminta pertolongan]. (Al-fatihah: 5)

Selain air dan perkara-perkara asas lain bagi meneruskan kehidupan, kita juga mempunyai hajat-hajat lain yang tidak tersenaraikan. Murah rezeki, ketenangan hidup dan bermacam-macam hajat mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

Sesungguhnya kita semua adalah hamba-hamba yang berhajat !!!!!

ABU WAFI, Putrajaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: