Simpatiku pada mereka itu

Published May 29, 2009 by Menikmati Takdir Langit

27068461

Saya baru selesai menjadi panel temuduga untuk jawatan pembantu tadbir perkeranian 2 hari lepas. Ramai yang hadir. Dalam banyak-banyak yang hadir ada juga yang mempunyai ijazah datang mencuba nasib. Namun terpaksa dikecewakan kerana minimum kelayakan yang diterima hanya SPM atau Diploma.

Seusai sesi temuduga saya termenung seketika. Ini bukan kali pertama saya berhadapan dengan karenah manusia yang perlukan pekerjaan. Dah banyak kali, tetapi kali yang ini saya agak tersentuh. Kenapa jadi begini ???

Rata-rata yang hadir berkelulusan bagus, namun tekanan ekonomi yang meleset menjadikan mereka tidak “marketeable” di pasaran.

“Susahla Encik, kilang banyak tak nak ambil pekerja baru. Dah berpuluh resume yang saya hantar, tapi tak ada jawapan.”

Ini antara alasan yang selalu diberikan selain faktor kewangan keluarga dan ekonomi meleset. Bagaimana saya dapat membantu mereka. Mana mungkin saya dapat memberikan pekerjaan kepada semua yang datang walaupun niat di hati ingin membantu mereka, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang boleh diterima.

Jika diperhatikan di sekeliling saya sendiri, ramai pekerja berijazah yang sanggup bekerja sambilan atau secara kontrak di jabatan-jabatan kerajaan. Mereka dibayar secara harian. Jika difikirkan saya rasa sungguh sedih kerana mereka terpaksa mengambil apa sahaja yang ada di hadapan mata mereka tanpa banyak berfikir panjang. Wang diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

Betapa berbezanya antara generasi saya dan generasi sekarang. Ketika saya keluar universiti tahun 1997 ekonomi tengah meleset teruk namun saya berjaya mendapat pekerjaan yang tetap. Kini tahun 2009 ekonomi meleset lagi, namun ramai yang menganggur. Mempunyai ijazah namun tidak dapat pekerjaan yang sesuai dan gaji yang berbaloi. Itulah cabaran generasi masa kini.

Saya terfikir dan tercongak-congak bagaimana pula dengan masa depan anak-anak aku kelak. Kehidupan makin lama makin sukar. Persaingan makin lama makin sengit. Akan datang mungkin segulung ijazah tidak berguna lagi. Apa yang berharga ialah kekreatifan dalam mencorakkan kehidupan. Kebijaksanaan untuk mencari peluang tanpa mengharapkan pasaran yang ada. Sesungguhnya zaman telah berubah. Ya, berubah dengan drastiknya, dan manusia baru harus pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan persaingan yang sengit.

Saya bersimpati pada mereka semua. Mudah-mudahan mereka kuat dalam mendepani cabaran masa kini.

Leave a comment