Mengharapkan kesudahan yang baik

Published May 14, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Saya sedang menyiapkan catatan perjalanan umrah dan ziarah saya bertajuk Cinta Madinah dan Cinta di Lembah Bakkah. Saya perlu menceritakan dengan terperinci supaya tidak ada sesuatu yang tertinggal untuk tatapan dan rekod saya pada masa hadapan. Tiba-tiba saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh salah seorang jemaah ketika saya sedang menikmati makan tengahari seusai solat zohor di hotel.

Ceritanya tentang kematian jemaah umrah Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalanraya kira-kira 2 minggu sebelum saya sampai di Makkah. Ya, saya ada terbaca berita mengenai kemalangan tersebut. Kalau tak silap saya 4 jemaah terkorban manakala seorang lagi masih koma di hospital. Jemaah tersebut terbunuh dalam kemalangan bas ketika dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah untuk menunaikan umrah berhampiran tempat miqat, Bir Ali. Semuanya meninggal di tempat kemalangan dalam keadaan masih memakai pakaian ihram.

Menurut abang Khairul iaitu ahli jemaah yang menceritakan kejadian tersebut kepada saya, salah seorang jemaah perempuan yang meninggal dunia sempat meminta mutawif di dalam bas untuk menuliskan ayat ” Laila hailla anta subhanakainni kuntu minnazzalimin” iaitu doa yang dibacakan oleh Nabi Yunus a.s ketika terperangkap di dalam perut ikan nun beberapa minit sebelum kemalangan berlaku.

Jemaah wanita tersebut meninggal serta merta sebelum sempat sampai ke Makkah dalam keadaan masih berihram. Menurut keluarga mangsa ketika jenazah di bawa ke hospital untuk dimandikan anak wanita tersebut dalam lingkungan umur 10 tahun berkata kepada ayahnya.

“Abah, lihatlah muka mama macam baby”

Saya terpegun seketika, hati terusik dengan komen anak wanita tersebut. Sesungguhnya anak sekecil ini tidak mampu berbohong. Terasa ingin menitiskan air mata bukan sedih kerana anak kehilangan ibu atau suami kehilangan isteri tetapi terharu kerana kematian wanita ini adalah di saat beliau dalam perjalanan untuk menuntut keredhaan Allah. Dalam keadaan masih berpakaian ihram yang serba putih yang melambangkan kesucian. Dalam keadaan membaca talbiah menyahut  seruan Tuhanmu datang menyerah diri kepadaMu.

Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi’ bersama ribuan para syuhada’. Kalau tak silap saya ada hadith yang menyatakan bahawa selepas tiupan sangkakala kedua menandakan kebangkitan manusia dari kubur, ahli perkuburan Baqi’ inilah yang akan dibangkitkan terlebih dahulu bersama Rasulullah saw sebelum orang-orang lain dibangkitkan. Begitu mulianya perkuburan Baqi’ yang mendapat jaminan Rasulullah saw.

” Barangsiapa mampu meninggal dunia di Madinah,maka lakukanlah, sesungguhnya aku akan bersaksi bagi orang yang mati di dalamnya.”

[Sunan Ibnu Majah:no 3112]

Sayyina Umar pernah berdoa  : “Ya Allah, kurniakan aku syahid di jalanmu, dan matikanlah aku di negeri Rasulmu.”  [Sahih Bukhari: no. 1890]

Rasulullah saw pernah memohon ampun bagi penghuni Baqi’ dalam sahih Muslim.

Bila membaca hadith-hadith di atas, saya terkenang wanita tersebut. Saya berdoa semoga wanita tersebut meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah atau menemui kesudahan yang baik. Sesungguhnya, beliau meninggal dalam keadaan ketika sedang dalam perjalanan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan Allah mengampunkan semua dosa-dosa beliau seperti bayi yang baru dilahirkan. Mudah-mudahan dosa-dosa beliau terampun dan gugur, suci bersih seperti kain putih ihram yang dipakai.

Ya Allah,sudahkanlah aku dalam kesudahan yang baik dan janganlah dimatikan aku dalam kesudahan yang buruk

Ya Allah,matikanlah aku dalam kesudahan yang baik dan janganlah dimatikan aku dalam kesudahan yang buruk

Saya pernah terbaca dalam mastika mengenai kisah seorang pelakon tahun 1960-an Tony Kassim yang meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat tahajud di malam yang hening. Beliau meninggal dalam keadaan bersujud. Beliau meninggal dunia ketika tahap kecintaannya kepada masjid begitu tinggi sekali sehingga tidak mahu lagi bercakap mengenai kisah-kisah gelapnya ketika menjadi pelakon di layar perak dahulu.Beliau meninggal dunia ketika sedang enak melakukan ketaatan kepada Allah. Malah, menurut salah seorang anaknya, beliau begitu rajin ke masjid untuk menunaikan solat dhuha, taubat dan membaca Al-Quran. Hari-hari terakhir dalam hidupnya diisi dengan amal ibadah sehingga beliau tidak mahu ke tempat lain melainkan ingin ke masjid semata-mata. Kagumnya saya pada cinta dan pertautan hatinya kepada Allah.
Saya tidak mampu untuk menyatakan ke manakan nasib kita selepas mati. Syurga atau neraka adalah di tangan Allah. Cuma yang hendak saya katakan bahawa cara seseorang itu meninggal dunia sedikit sebanyak memberikan gambaran yang mungkin menandakan sesuatu yang baik sedang menanti individu tersebut di alam yang satu lagi.
Apa pun, marilah sama-sama kita berdoa semoga kehidupan kita ini disudahkan dengan cara yang terbaik dan diredhai Allah. Mohon dijauhkan kehidupan yang disudahi ketika sedang lazat dan enak melakukan maksiat. Nauzubillahiminzalik !!!!
ABU WAFI, Putrajaya.

2 comments on “Mengharapkan kesudahan yang baik

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: