Perbetulkan asasmu

Published March 25, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

pc241005

” Berapa ramai di antara kita yang solatnya bagus, sempurna, cukup syarat tetapi wudhunya tidak sempurna, tidak sah?”

” Wudhu bermaksud meratakan air ke seluruh anggota badan yang berkaitan bukan menjirus air seperti yang dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Saya lihat ramai yang mengambil wudhu masih tidak betul, main hentam saja ” ujar Ustaz sambil membuat demonstrasi ambil wudhu yang selalu dilakukan oleh sebahagian umat Islam di surau dan masjid-masjid.

“Jangan membazir air. Cukup sekadar semua air sampai rata ke bahagian yang diwajibkan” tambah ustaz lagi.

“Kalau dah wudhu tak sah, maka solat kita walau sebaik dan sesempurna mana sekalipun juga tidak sah, terbatal dan tidak diterima oleh Allah. Selama 40 tahun hidup di dunia ini, sedar tak sedar rupa-rupanya solat kita tidak sah sebab wudhu tidak sah. Jadi bila menghadap Allah esok, kita bawa bekal kosong saja. Masa tu baru menyesal. Sila semak balik wudhu anda semua”.  kata-kata Ustaz makin pedas dan mendalam.

Masing-masing menundukkan muka ke bawah. Malu rasanya. Takut pun ada sekiranya saya termasuk dalam golongan yang dimaksudkan tadi.

“Awak tahu tak apa itu air mustakmal”? tanya Ustaz kepada kami semua.

Semua mengangguk tanda faham.

“Kebanyakan kita bila ambil wudhu selalu mengangkat tangan sebaik sahaja air sampai ke muka kemudian sapu balik menggunakan air yang sama. Tahukah kamu bahawa dengan berbuat demikian, akan ada titisan air yang menitis semula ke atas tangan kemudian disapukan semula pada muka. Air tadi sudah jadi air mustakmal dan bukan air mutlak yang boleh digunakan untuk berwudhu. Sebab itu, jangan sekali-kali mengangkat tangan yang telah diratakan air ke anggota badan yang wajib kerana ditakuti ada air yang akan menitis keluar” ujar ustaz lagi bersungguh-sungguh untuk menghabiskan “point” terakhir beliau kepada kami.

Saya terkedu. Saya lihat muka kawan saya yang merunduk layu. Muka teman-teman lain juga begitu. Semacam ada perasaan menyesal dan tanda tanya pada raut wajah masing-masing. Tidak terbayang rasanya kalau amalan solat kami selama ini tidak diterima Allah. Fikiran saya melayang-layang cuba untuk mengingati saat-saat saya mengambil wudhu samada di rumah atau di masjid. Sahkah? Cukup syaratkah? Saya pasti teman-teman lain yang ada bersama-sama saya juga terfikir begitu.

” Satu lagi, semak balik bacaan Fatihah awak semua. Fatihah yang dibaca dengan tidak betul, tidak ikut makhraj yang betul, tajwid yang sempurna, sehingga mengubah maksud ayat boleh membatalkan solat awak semua” tambah Ustaz lagi.

Ustaz terus membuat demonstrasi bacaan fatihah yang sebenar dan yang salah. Masing-masing mengurut dada. Mungkin ada yang termasuk dalam golongan yang dikatakan oleh ustaz tadi. Sambil itu, beliau membacakan ayat-ayat Al-Quran bagi menguatkan dalil beliau.

“Balik nanti, muhasabah diri. Semak balik semua amalan asas kita seperti wudhu dan  solat. Jangan malu bertanya, jangan malu belajar. Malu dengan manusia tidak apa, tetapi malu dengan Allah lebih mustahak lagi kerana kalau tak mahu belajar sebab malu dengan manusia, tunggulah azab Allah nanti di hari yang tiada perhitungannya” tambah ustaz lagi.

“Susah la ustaz, banyak sangat nak kena diperbetulkan. Banyak nak kena belajar balik ni.” komen seorang peserta yang separuh usia.

” Awak ingat Allah nak bagi syurga free free begitu sahaja?” tanya ustaz sebagai menjawab keluhan yang dibangkitkan oleh peserta berkenaan.

” Sesungguhnya setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah perlu diuji ketahanan iman kita. Golongan yang paling banyak diuji adalah para rasul,nabi-nabi, alim ulama dan golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Semakin kurang ujian maknanya iman kita masih di tahap rendah. Di dunia ini pun kalau nak menjadi manusia berjaya perlu melalui banyak tahap ujian sebelum diangkat sebagai manusia berjaya. Tanpa ujian yang sukar kita tidak akan mencapai kecemerlangan yang dibangga-banggakan. Begitu juga dengan Allah, sebagai Tuhan Dia berhak untuk menguji hamba-hambanya untuk melihat mana satu yang tahan diuji dan beriman kepadaNya. Syurga bukan mudah untuk dicapai. Jalan ke syurga penuh berliku dan berduri.Hanya mereka yang terpilih dan sanggup menerima apa sahaja ujian dan perintah daripada Allah serta menjauhi segala laranganNYA sahaja akan berjaya sampai ke sana “.Ustaz menerangkan dengan lebih terperinci bagi menjawab keluhan peserta tadi.

Lalu ustaz membaca sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud; ” Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga tanpa diuji sebagaimana yang telah diuji kepada umat-umat sebelum daripada kamu. Mereka diuji dengan pelbagai ujian yang berat ….. akhir ayat.

Kuliah selama 3 jam berakhir dengan penuh makna bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran. Saya dan teman berehat seketika di tepian kolam sambil menyaksikan ikan-ikan kap berenang berkawanan. Sesungguhnya, peringatan yang telah diberikan sepanjang sehari kursus ibadah tadi benar-benar mengesankan jiwa. Terasa satu keazaman untuk memberitahu orang lain dan memperbetulkan amalan-amalan asas yang diperkatakan oleh ustaz. Kalau asas tidak kuat, tidak kukuh, lemah dan tidak betul maka binaan yang dibina juga tidak mampu bertahan lama. Bangunan akan runtuh juga. Saya membuat kesimpulan sendiri.

Saya terfikir bahawa selama ini terlalu banyak keutamaan diberikan kepada perkara-perkara yang besar dan bersifat global. Kita lebih suka bercakap mengenai ekonomi dan kewangan. Kita selalu bercakap mengenai peluang dan isu-isu semasa. Kita merasakan bahawa kita sebenarnya berpandangan jauh dan berwawasan kerana berfikir perkara-perkara besar sehinggakan kita terlupa kepada perkara-perkara “basic” atau asas yang perlu digilap semula. Istilah “back to basic” rasanya sangat cocok untuk diketengahkan semula. Kesibukan kita bekerja, berfikir dan mencari idea telah menyebabkan kita meminggirkan aspek “back to basic” ini. Hatta di dalam pekerjaan sehari-harian juga perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kepada sesuatu isu jika dipinggirkan boleh menyebabkan malapetaka yang besar kepada sesebuah organisasi. Contohnya, kegagalan kerani untuk memasukkan surat ke dalam fail atau kegagalan ‘despatch’ untuk menghantar surat dalam masa yang ditetapkan memungkinkan sesebuah organisasi gagal berfungsi sewajarnya.Perkara ini dilihat remeh atau kecil tetapi inilah yang akan merosakkan reputasi kita.

Begitu juga, hubungan kita dengan Allah. Jika perkara-perkara asas tadi diabaikan maka jadilah kita di kalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah.

Saya pulang ke rumah, mencari-cari buku asas solat, asas puasa, solat-solat sunat, solat jamak dan qasar, cara-cara bertayammum dan buku-buku Fiqh Ibadat, Fiqh Munakahat yang selalu diajar oleh tuan-tuan guru di surau,masjid dan pondok-pondok. Bukunya nipis-nipis sahaja tidak setebal buku-buku lain. Tetapi buku-buku nipis inilah mempunyai pengertian yang sungguh besar dalam memahamkan kita mengenai asas-asas ibadah. Pada saya buku-buku ini perlu ditelaah semula bagi “refresh memory” dan bagi mempastikan amal ibadah yang dibuat selama ini tidak tergelincir dari landasan yang benar.

Kecil-kecil cili api.Nipis tetapi banyak manfaat. Mungkin elok rasanya kita membeli beberapa buah buku ini yang banyak kedapatan di pasaran. Kalau kita boleh menghabiskan masa menelaah karya-karya besar mengenai kepimpinan mengapa tidak kita membaca buku-buku nipis ini dan menelaahnya secara bersungguh-sungguh.

Usahlah malu, sesungguhnya masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Malu dengan manusia atau malu dengan Allah, yang mana satu perlu diutamakan. Biar ditertawakan di dunia, jangan kita menangis di akhirat !!!!!!

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: