Sabar seorang wanita

Published March 21, 2009 by Menikmati Takdir Langit

26402840

Dari Atha’ bin Abi Rabah, ia berkata, Ibnu Abbas pernah berkata kepada saya: Mahukah engkau aku tunjukkan seorang wanita dari penghuni syurga? Mahu, jawabku. Dia berkata : Wanita yang hitam ini, dia pernah mendatangi Nabi saw lalu berkata, Sesungguhnya saya mengalami penyakit kerasukan, dan bila berlakunya kerasukan kepada diri saya maka tersingkaplah auratku. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untukku. Maka jawab Baginda: Jika engkau mahu, bersabarlah nescaya engkau akan memperolehi syurga dan jika engkau mahu aku berdoa kepada Allah, aku akan memohon supaya Dia menyembuhkanmu. Lalu jawab wanita itu: Aku akan bersabar. Wanita itu berkata lagi : Sesungguhnya aurat aku tersingkap bila mengalami kerasukan maka berdoalah kepada Allah supaya auratku tidak terbuka lagi bila mengalami penyakit ini. Kemudian baginda berdoa untuknya.”

[Muttafaqun’alaih]

Saya tersentak bila mendengar kuliah yang disampaikan oleh seorang pendakwah terkemuka di sebuah surau. Hadith yang beliau baca dari kitab Riyadhus Salihin karangan Imam An-Nawawi dalam bab Sabar ternyata sesuatu perkara yang baru bagi saya. Saya belum pernah mendengar hadith ini. Lantas saya menekuni syarahan hadith yang disampaikan oleh beliau. Sekali lagi tidak mengecewakan, malah menimbulkan keinsafan dan kesedaran di kalangan yang hadir pada pagi itu. Suasana menjadi sunyi dan hening seketika. Saya terkedu mendengar kesabaran yang ditunjukkan oleh wanita yang berkulit hitam ini.

Wanita ini selalu mengalami gangguan makhluk halus selama bertahun-tahun. Bila dirasuk masalah besar yang dihadapinya ialah beliau tidak akan sedar. Menjerit dan meronta-ronta sehingga kainnya akan tersingkap dan menampakkan auratnya. Inilah yang menjadi kebimbangan wanita ini.

Lantas beliau berjumpa Nabi saw meminta supaya baginda berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan penyakit beliau. Namun, Nabi saw memberi 2 pilihan kepada wanita ini. Pertama, bersabar dan bertahan dengan penyakit ini tanpa berbuat apa-apa termasuk berubat dan berdoa memohon kesembuhan.Nabi saw menjanjikan syurga jika wanita itu bersabar dengan penyakitnya. Kedua, berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan penyakit tersebut.

Saya kagum dengan keimanan yang ditunjukkan oleh wanita dari kalangan sahabat ini. Keimanan yang begitu tinggi. Beliau memilih yang pertama. Beliau memilih untuk mengutamakan auratnya daripada penderitaan yang dialaminya selama ini. Malu beliau kepada Allah akibat aurat yang tersingkap walaupun berlaku di luar sedar lebih diutamakan berbanding kesakitan yang dialaminya. Dengan lain perkataan, beliau sanggup memilih untuk sakit kerana sakit tadi akan menganjarkan pahala kepada beliau dan seterusnya menghantar beliau ke syurga.

Pengajaran atau ibrah yang dapat diambil dari hadith di atas ialah:-

1. Kesabaran atas musibah yang menimpa di dunia akan mewariskan Syurga  di akhirat;

2. Ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit adalah dilakukan berdasarkan kemampuan yang dimiliki dan seterusnya berdoa kepada Allah untuk memberikan kebaikan;dan

3. Kita dibolehkan untuk mencontohi wanita tersebut dengan memilih untuk tidak berubat sebaliknya bersabar dan berdoa.

Mungkin ada yang sangsi. Selalunya bila sakit, cepat-cepat kita mencari ubat dan mencari doktor supaya segera mengubati penyakit kita. Sakit yang dialami akan merencatkan segala nikmat dunia yang kita kecapi. Kesakitan akan membantutkan segala perancangan yang telah diatur.Itulah pemikiran kita selama ini. Tetapi pernahkah kita terfikir seperti wanita di atas berfikir? Mungkin ada di antara kita akan menyatakan betapa bodohnya wanita ini, memilih untuk sakit sedangkan pilihan untuk berubat itu ada. Wanita ini memandang jauh ke hadapan dengan memilih nasib di akhirat sebagai pilihan utama sehingga mengetepikan nikmat kesenangan dunia yang sementara.

Ustaz lantas menerangkan bahawa kedua-dua pilihan adalah dibolehkan. Bersabar dan bertahan dengan penyakit akan memberikan pahala, manakala jika memilih untuk mencari penawar kepada penyakit melalui ubat dan berjumpa doktor juga diharuskan. Tetapi yang hendak ditekankan oleh hadith ini ialah keimanan yang ditunjukkan oleh wanita ini mengatasi semua kepentingan lain. Di matanya hanya nampak syurga Allah.Di matanya hanya nampak pahala yang menanti beliau. Beliau begitu yakin dengan janji Allah dan Rasulnya. Kerana beliau tahu bahawa kesakitan yang dialaminya akan menggugurkan dosa-dosa, digantikan dengan pahala dan dinaikkan darjat ke maqam yang lebih tinggi di sisi Allah.

“Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan teguhkanlah kesabaranmu” [Ali-Imran: 200]

” Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.   [Az-Zumar: 10]

“Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.                   [Al-Baqarah: 135]

Berbahagialah kepada mereka yang mempunyai keimanan yang setanding dengan wanita di atas. Mudah-mudahan Allah mengurniakan keimanan kepada kita semua seperti mana yang dimiliki oleh wanita tersebut.

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: