Hari-hari dalam hidupku

Published March 15, 2009 by Menikmati Takdir Langit

zainab

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat,Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang besar”. [ At-Taubah : 111]

Salam,

Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili, begitulah tokoh yang ingin saya ketengahkan dalam entry saya kali ini. Seorang muslimah dan mukminah sejati yang bertepatan dengan ayat Al-Quran di atas. Membaca catatan perjalanan hidup beliau menyebabkan hati menjadi sebak. Kagum dengan semangat jihadnya yang tinggi dalam mempertahankan Islam dari diinjak-injak oleh regim sekular di Mesir lewat tahun 1950-an menjadikan saya merasa diri ini teramat lemah jika dibandingkan dengan perempuan yang berhati waja ini.

Antara kata-kata hikmah beliau :

” Kita mesti beriltizam dengan Islam, bukan hanya pengakuan di bibir sahaja, dan iltizam itu sendiri adalah Islam.Adapun pengakuan tanpa iltizam, maka itu adalah perkara lain.”

Buku ini telah lama saya cari sejak zaman pengajian di universiti lagi. Saya mencari lagi di pesta-pesta buku sejak 2006 lagi dan beberapa kali menghubungi pihak penerbit namun menemui kehampaan apabila dimaklumkan buku habis dicetak. Akhirnya, takdir menemukan saya dengan buku ini di sebuah gerai buku di Kompleks PKNS Shah Alam.

Antara bab yan paling menarik hati ialah catatan Zainab ketika berada di dalam penjara berair Tentera Mesir sekitar tahun 1950-an ialah mimpi beliau bertemu Rasulullah saw.

Aku tidak sedar bagaimanakah aku terus tertidur… sedangkan aku sentiasa berzikir mengingati Allah swt. Tidur ini merupakan tidur yang baik, mulia dan satu anugerah. Dalam tidur itu aku bermimpi. Mimpi yang diberkati. Mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad saw. Aku simpan semuanya dalam memoriku.

Aku melihat dalam mimpiku itu seolah-olah aku berada di padang pasir yang luas. Aku melihat satu rombongan unta….. Rombongan perjalanan unta itu panjang dan tidak terhingga banyaknya. Aku merasakan seolah-olah aku berdiri di belakang seorang lelaki yang besar dan perkasa, yang mengepalai rombongan perjalanan ini. Hatiku meragui apakah itu Rasulullah saw.

“Engkau benar ya Zainab.Kau bersama Muhammad, jawab baginda.

“Saya ya habibi, ya Rasulullah. Apakah betul saya berada bersama Rasulullah saw?

“Kamu wahai Zainab berada di atas kebenaran, jawab baginda.

Lalu aku terbangun dari tidur. Dengan mimpi itu seolah-olah aku rasakan dunia ini aku yang punya. Aku hairan kerana dapat melupakan di mana aku berada dan ke mana aku di bawa… Kini aku tidak lagi merasa sakit-sakit akibat sebatan di dalam penjara”.

Membaca buku ini membuat kita seperti merasai setiap detik penderitaan yang diharungi oleh Zainab. Beliau seorang wanita yang lemah tetapi siksaan yang dilakukan ke atasnya tidak ubah seperti siksaaan yang ke atas seorang lelaki. Beliau merupakan pemimpin sayap wanita Ikhwanul Muslimin sewaktu perjuangan mereka membebaskan Mesir dari gejala sekular yang mencengkam pelosok negara. Bila rata-rata rakyatnya sudah hidup jauh dari landasan Islam maka Zainab lahir memperjuangkan sunnah Rasulullah saw bersama tokoh-tokoh lain seperti Hassan Al-Banna, Hassan Hudaibi dan Sayyid Qutb yang menemui syahid di tali gantung.

Beliau dipukul dengan tongkat,cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air yang busuk yang dipenuhi tikus dan pelbagai lagi siksaan yang tidak berperikemanusiaan. Namun beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah: “Hasbunallahuwani’mal walil atau Cukuplah Allah sebagai  sebaik-baik Pelindung”.

Saya membaca kembali kisah beberapa sahabat Rasulullah saw yang disiksa oleh kafir Quraisy ketika mempertahankan aqidah. Cerita yang sama dengan pengalaman Zainab Al-Ghazali. Kisah Bilal bin Rabbah yang diletakkan seketul batu besar di belakangnya dan dijemur di padang pasir yang panas. Namun beliau tetap bertahan dengan kalimah “ahad, ahad” yakni menyakini Allah yang satu dan tiada Tuhan lain selain Allah.

Begitu juga kisah keluarga Ammar bin Yassir yang disiksa dengan dasyatnya. Yassir dan Sumaiyyah menemui syahid akibat siksaan yang berpanjangan itu, maka syurgalah sebagai ganjaran yang menanti mereka.

Saya teringat satu pertandingan pidato yang pernah saya sertai dalam tahun 1987 di Selama, Kedah. Tajuk pidato yang saya pilih ialah “Pemusatan Aqidah Teras Pemisah Daripada Pencemaran Budaya Mungkar”. Saya yang pada ketika itu masih belajar di Tingkatan 2 terpaksa meminjam teks khutbah datuk saya yang kebetulan imam di sebuah masjid di Parit Buntar Perak. Tajuk itu terlalu tinggi untuk budak mentah seperti saya. Beberapa kali saya cuba memahami maksud sebenar tajuk tersebut namun pemikiran saya ketika itu gagal untuk memahaminya. Isi teks pidato itu terlalu berat dan sarat dengan cadangan-cadangan penyelesaian yang konkrit. Akhirnya, saya hanya menelan bulat-bulat teks yang telah saya ubah suai dengan bantuan ustaz bersama hafalan beberapa ayat Al-Quran dan Hadith yang menjadi otoriti dalam pidato tersebut. Alhamdullillah, saya berjaya memenangi tempat ketiga di peringkat daerah Kulim-Bandar Baharu. Walaupun, saya tidak dapat mewakili daerah ke peringkat negeri namun saya puas kerana mesej telah berjaya disampaikan. Permulaan pertama untuk berdakwah kepada orang ramai. Beberapa tahun selepas itu, barulah saya benar-benar faham maksud tajuk pidato yang diberikan. Melalui pembelajaran yang berterusan ke atas subjek syariah semasa di Tingkatan 6 dan di universiti telah memberikan kefahaman yang jelas mengenai kepentingan menjaga aqidah. Terjaganya aqidah yang benar akan memelihara diri daripada terpesong kepada gejala-gejala mungkar yang mengundang dosa kering.

Membaca buku perjalanan hidup Zainab Al-Ghazali menjadikan saya lebih memahami maksud pidato yang saya sertai 22 tahun yang lalu secara lebih praktikal. Saya memahami secara praktikal bagaimana Zainab Al-Ghazali mempertahankan aqidahnya melalui dialog-dialog beliau di dalam penjara. Dialog bersama rakan-rakan satu sel dan dialog beliau bersama pegawai-pegawai penyiasat yang kejam di dalam penjara. Tidak kurang juga monolog beliau bersama Tuhannya lewat munajat dan sujudnya yang tidak putus-putus di dalam penjara. Biar pun disiksa hebat, namun ibadah dan pergantungannya kepada Allah tidak pernah putus. Keyakinannya terhadap Allah tidak pernah pudar sama sekali. Sesungguhnya saya benar-benar menemui kepuasan dengan pembacaan buku ini. Buku ini boleh dijadikan motivasi kepada pendakwah yang ingin mengajak manusia supaya kembali menghayati ajaran Islam yang sebenarnya. Hidup berasaskan sunnah Rasullullah saw dan meninggalkan amalan-amalan bercanggah dengan Islam dan syirik. Motivasi supaya jangan mudah menyerah kalah dengan apa saja ujian dan cabaran yang dilalui ketika melaksanakan dakwah tersebut.

Zainab Al-Ghazali mungkin nama ini tidak sesohor artis-artis wanita tanahair yang menjadi pujaan remaja hari ini. Zainab Al-Ghazali mungkin tidak dikenali oleh sebahagian besar penduduk bumi namun saya cukup yakin tokoh ini cukup popular di kalangan penghuni-penghuni langit.

Membaca catatan hidup Zainab Al-Ghazali memberikan gambaran betapa mahalnya harga “Ad-Din” yang kita anuti selama ini. Beliau ternyata cukup menghargai dan mensyukuri nikmat beragama yang dikurniakan oleh Allah swt kepada beliau melalui Islam.

Zainab Al-Ghazali hanyalah ikon pejuang sejati bagi mereka yang mengenalinya. Kesungguhan beliau dalam mempertahankan aqidah yang satu sewajarnya dicontohi oleh semua. Maka kini saya merasakan amat wajar untuk membawa ikon ini bagi diperkenalkan kepada semua yang singgah di blog saya.

Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan di kalangan anbiya’,solihin,siddiqin dan para syuhada’  dan mendapat teristimewa di sisi Allah.

Siapalah kita jika dibandingkan dengan Zainab Al-Ghazali? Mampukah kita mencontohi keyakinan dan keteguhan aqidah beliau. Sesungguhnya beliau telah diuji dengan sekeras-kerasnya, dan kita bila lagi?

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: