Terima kasih, terasa diri dimamah usia

Published March 13, 2009 by Menikmati Takdir Langit

p3133606

Salam,

Hari ini saya menerima kejutan apabila menerima hadiah sempena hari lahir saya yang ke-36. Walaupun sebulan telah berlalu namun saya menerimanya dengan senang hati.Terasa terharu atas ingatan daripada semua staf pejabat saya. Namun, terasa diri makin dimamah usia. 4 tahun dari sekarang saya akan mencecah 40-an, bermakna saya sudah semakin tua. Semakin tua bermakna semakin hampir dengan kubur. Kudrat pun tidak sekuat dulu. Makan harus dijaga dan berpantang. Tidur mesti cukup dan makanan mesti cukup zat. Supplement seperti vitamin perlu diambil kerana tenaga yang banyak perlu digunakan untuk bekerja dan otak perlu diperah bagi mencari idea-idea baru untuk menambahbaik kualiti kerja.

Saya akui kebelakangan ini saya tidak cukup tidur. Tidur saya kerap terganggu ekoran kesihatan anak-anak yang tidak mengizinkan. Saya harus bersabar dengan kerenah mereka yang tidak memahami keletihan dan kesibukan saya di tempat kerja. Bodohlah saya jika saya memarahi dan memukul mereka semata-mata memaksa mereka untuk memahami keadaan saya. Mereka masih kecil, suci dan bersih. Mana mungkin saya boleh menyamakan pemikiran mereka setaraf dengan pemikiran orang dewasa atau rakan-rakan terdekat saya yang memahami masalah saya. Mana mungkin pemikiran anak kecil bisa menggapai pemikiran orang dewasa. Mana mungkin mereka mampu untuk menganalisis setiap perkara yang saya lontarkan kepada mereka bagi menuntut kefahaman mereka tentang kesibukan saya. Mana mungkin !!!!

Namun terkadang saya hampir hilang kesabaran dengan karenah anak-anak.Justeru saya memohonkan kepada Allah untuk membantu diri saya yang serba lemah ini dengan dikurniakan perasaan sabar yang tinggi. Benarlah kata-kata seorang sahabat baik saya Shahrizat Salleh bahawa berdepan dengan karenah anak-anak akan memancarkan warna sebenar seseorang individu itu. The true colours akan keluar bila perasaan tidak sabar dan marah bila berdepan dengan masalah tingkah laku anak-anak di rumah. Kita mungkin seorang yang penyabar di pejabat, peramah bersama rakan-rakan tetapi siapa sangka kita adalah manusia paling pembengis dan tidak bertimbang rasa bila berada di rumah. Nauzubillahiminzalik…Mohon dijauhkan hendaknya…..

Sebaik-baik lelaki ialah mereka yang melakukan kebaikan kepada isteri dan anak-anaknya.  [Hadith sahih]

Saya mula menyedari bahawa kebelakangan ini saya sungguh sibuk dengan kerja. Terang-terang tanah lagi saya sudah keluar meninggalkan rumah dan setelah senja melabuhkan tirainya saya pulang ke rumah keletihan setelah memandu sejauh 50km dari tempat kerja. Keluar dalam keadaan anak-anak di rumah masih nyenyak tidur dan pulang dalam keadaan mereka sudah tidur lena. Hanya mampu mengusap, mencium pipi dan menggantikan lampin anak sebagai pelengkap tanggungjawab yang terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah.

Saya sedar bahawa masa yang diperuntukkan untuk keluarga semakin menghakis ekoran beban tugas di tempat kerja yang menuntut saya berada di sana tanpa gagal. Ingin sahaja saya berehat buang seminggu dua bagi mengosongkan minda. Namun, mengenangkan telefon yang akan berdering-dering meminta pertolongan dari saya menyebabkan saya menangguhkan seketika hasrat di hati sehingga tugasan ini selesai dalam beberapa minggu sahaja lagi.

Mungkin saya memerlukan kembara iman atau rehlah bagi mencari makna dan tujuan hidup. Kita hidup untuk beribadat kepada Allah dan bekerja hanyalah sebagai satu alat untuk meneruskan kehidupan di muka bumi Allah ini. Cukup masa kita semua akan dipanggil menghadap Allah dalam keadaan bersedia atau tidak. Justeru, saya sangat-sangat khuatir dan bimbang sekiranya pekerjaan saya sekarang ini yang melampaui masa dan sesekali berlebih-lebihan ini tidak sahaja akan mengurangkan masa saya dengan keluarga bahkan akan semakin mengurangkan masa saya dengan Pencipta. Sudah beberapa kali, majlis-majlis ilmu di surau dan masjid terpaksa saya lupakan kerana kesibukan kerja dan menggantikannya dengan mendengar kuliah-kuliah agama di radio kereta. Mujur saya mempunyai CD lagu Sami Yussuf yang memuji-muji Rasulullah saw dan selawat ke atas baginda di dalam kereta yang menjadi peneman di kala tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas.

Kadang-kadang saya cuba menoleh kembali apa yang telah saya lakukan sepanjang 36 tahun kehidupan saya di dunia yang sementara ini. Cukup sudahkah bekalan untuk belayar ke negeri akhirat yang kekal abadi. Kerap kali hati kecil saya berbisik dan mengingat-ngingat kembali peranan saya sebagai hamba Allah. Bertambah usia bermakna kita semakin lemah. Jika lemah, jika ditimpa penyakit maka mampukah saya untuk melakukan ketaatan secara maksima. Saya teringat hadith nabi yang menyarankan supaya merebut 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara iaitu; masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit. Jika sudah sakit maka akan terhalanglah sedikit sebanyak amal ibadah kita kepada Allah. Justeru, masa sihat perlulah digunakan dengan sebaik mungkin supaya kita tidak menjadi manusia yang rugi di akhirat kelak.

” Demi masa! Sesungguhnya manusia sentiasa berada di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dengan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”

[Al-Asr]

Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Kesilapan yang silam dalam mencaturkan persoalan kehidupan tidak dapat diulang tayang kembali untuk diperbetulkan. Hanya pengajaran atau ibrah yang dapat diambil dari pengalaman lepas untuk kita teladani dan ikuti. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bila mengenangkan kembali perjalanan hidup saya, terasa banyak sangat kesilapan dan dosa yang telah dilakukan. Dosa dengan manusia dan dosa dengan Allah sama banyak. Saya hanya mampu berdoa dan bertaubat mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang lepas. Saya manusia biasa yang lemah dan lalai. Ada waktu dan ketikanya saya leka dengan keseronokan dunia dan ada waktu dan ketikanya saya melakukan ketaatan kepada Allah dengan khusyuknya. Itulah manusia yang serba lemah, serba kekurangan.

Memikirkan masa depan yang tidak menentu saya menjadi gamam seketika. Bagaimanakah nasib saya sehari dua lagi, atau seminit dua lagi pun saya tidak tahu kerana semuanya di dalam genggaman Allah. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Apatah lagi, dengan nasib saya 20 atau 30 tahun akan datang tidak saya ketahui kerana bukan dalam pengetahuan saya melainkan rahsia Allah. Apa pula, nasib dan rezeki anak-anak saya juga masih tidak menentu. Saya serahkan kepada Allah dan mendoakan kejayaan anak-anak, mudah-mudahan mereka membesar di dalam iman.

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan seluruh keturunanku orang-orang yang tetap mengerjakan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku”

[Ibrahim : 40]

Inilah doa yang acap kali dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s dan Allah telah memperkenankan doa baginda dengan melahirkan keturunan Nabi Ismail dan menyusuri sehingga Nabi Muhammad saw dan Islam yang kita warisi pada hari ini. Elok saja rasanya, jika doa ini kita jadikan amalan seharian dalam melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan paling penting yang akan tetap mendirikan solat.

Saya bersyukur atas nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah. Seharusnya syukur tidak sekadar melafazkan di bibir sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan. Kita semua dan seluruh alam maya ini milik Allah, tiada yang kekal dan kita adalah hamba yang semiskin-miskinnya. Nikmat Allah yang dikurniakan tidak terhitung banyaknya sehinggakan sekiranya diambil semua ranting untuk dijadikan pen dan lautan luas dijadikan dakwat tidak akan habis untuk menulis segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Apa pun, saya ucapkan terima kasih pada semua yang masih mengingati diri ini. Saya tidak tahu apa pandangan mereka pada saya yang banyak kelemahan ini. Terima kasih pada Liza, Azreen, Kak Norizan, Suhada,Farah dan Nani. Juga terima kasih kepada majikan saya yang cukup memahami dan prihatin dengan kekangan yang saya hadapi. Terima kasih juga kepada pembantu saya saudara Azman yang banyak membantu meringankan beban tugas saya.

Terima kasih kepada isteriku kerana memahami pekerjaanku dan sentiasa memberikan sokongan moral untuk menguatkan diri. Peluk cium untuk wafi,munzir dan fawwaz yang menjadi penyeri hidup dan pelengkap kasih sayang kami.

Saya mendoakan keselamatan, perlindungan, kesihatan dan penjagaan daripada Allah kepada kalian semua. Mudah-mudahan !!!

ABU WAFI@ ABU MUNZIR, 10.55 malam Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: