Letakkan dunia di atas tanganmu

Published March 10, 2009 by Menikmati Takdir Langit

earth

Saya pernah mendengar satu kata-kata hikmah melalui pembacaan saya baru-baru ini.

“Letakkan dunia di atas tanganmu dan bukan di hatimu”.

Sekali dibaca tidak membawa apa-apa makna. Tetapi bila dihayati sepenuhnya, kata-kata tersebut mempunyai nilai yang tinggi.

Meletakkan dunia di atas tangan bermakna menganggap semua habuan di dunia adalah bersifat sementara dan tidak perlu dikejar. Meletakkan dunia di dalam hati bermakna kita menjadi manusia yang rakus dengan dunia dan segala habuan yang ada di dalamnya.Kemewahan dan kebendaan menjadi cita-cita tertinggi. Hati akan penuh dengan kecintaan terhadap dunia yang berlebih-lebihan. Meletakkan dunia di dalam hati akan membuatkan manusia menjadi tamak haloba bila menjadikan dunia sebagai matlamat dan bukan sebagai alat.

Meletakkan dunia di atas tangan, bermakna segala kemewahan di dalam dunia ini digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat di akhirat. Segala kemewahan di dunia akan digunakan ke arah kebajikan dan dakwah di jalan Allah seperti menderma,bersedekah, mendirikan masjid,mendirikan pusat-pusat kebajikan untuk masyarakat, mewakafkan tanah dan lain-lain aktiviti yang memberi manfaat kepada manusia lain.

Inilah perbezaan antara manusia yang meletakkan dunia di atas tangannya dengan manusia yang meletakkan dunia di dalam hatinya. Membiarkan dunia menguasai hatinya bermakna dunia akan merosakkan seluruh kehidupannya. Membiarkan tangannya menguasai dunia, natijahnya akan memberi kebaikan kepada diri individu tersebut kerana dunia sama sekali tidak akan mempengaruhi dan merosakkan dirinya.

KISAH MUHAMMAD BIN WASI’

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan buku ‘best seller’ bertajuk “La Tahzan” menukilkan satu kisah teladan yang cukup menggugah jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi’.

Muhammad bin Wasi’ terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi’ di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya.

“Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.”

“Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?”

Mereka menjawab: ” Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.”

Qutaibah berkata ; ” Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua. Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi’ untuk menghadapnya.

Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi’ terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata.

Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya.

Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi’ selepas beliau keluar dari majlis itu.

Muhammad bin Wasi’ membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut.

Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi’ kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya ” Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?

Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah ‘istighfar’ [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi’ adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Nabi saw bersabda :

“Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.”                                           [Riwayat Bukhari dan Ahmad]

Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.

Pada zaman kini, terlalu ramai manusia yang sudah menjadi hamba dunia sehingga gagal menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah serta tiada masa untuk berzikir dan membaca Al-Quran kerana kecintaannya kepada dunia adalah terlalu kuat. Justeru, kita sangat-sangat memerlukan kepada kisah-kisah teladan sebegini kerana kisah-kisah seperti ini mempunyai pelajaran berharga kepada setiap manusia supaya hati mereka sedar dan bangun kembali daripada tidur leka yang berpanjangan.

KESIMPULAN

Meninggalkan kemewahan dunia bermakna kita hanya mengambil sesuatu yang bermanfaat bagi kita daripada dunia ini sahaja, sehingga tidak terlalu menyibukkan dan melalaikan kita. Dunia dan segala isi yang ada di dalamnya akan dijadikan sebagai penolong kita dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang meletakkan dunia di atas tangan dan bukan di hati.

ABU WAFI, Putrajaya

Rujukan :

Petikan kisah Muhammad bin Wasi’ diceduk daripada Buku Ihfazillah ha Yahfazuka karangan Dr. Aid Abdullah Al-Qarni.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: