Uzlah 2, peluang untuk mengecas iman

Published March 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

pc241007

Iman ada turun naiknya. Kadang-kadang ok, kadang-kadang ko. Kadang-kadang rajin beribadat, kadang-kadang malas. Ada ulama menyatakan iman seperti belon, bila baik belon mengembang,bila lemah belon mengecut. Beruntunglah iman orang yang seperti belon yang mengembang. Ada juga ulama menyatakan perjalanan hidup ini umpama bermusafir menaiki keretapi dari stesen A ke stesen B. Umpamakan, stesen A [iman tertinggi] manakala stesen B [iman terendah]. Beruntunglah kalau sekiranya ketika keretapi kehidupan kita berhenti di stesen A dan rugilah sekiranya keretapi kehidupan kita berhenti di stesen B. Berhentinya keretapi bermakna berakhirnya hidup kita. Berakhirnya hidup kita bermakna bermulalah perhitungan kita di hari akhirat yang kekal abadi. Beruntunglah kita, sekiranya hidup kita berakhir di perhentian yang baik, ketika keimanan dan ketaatan kita kepada Allah berada pada tahap yang maksima. Itulah “husnul khatimah” atau kesudahan yang baik. Berdoalah selalu semoga Allah mengurniakan kesudahan yang baik kepada kehidupan kita.

Iman ada pasang surutnya, justeru iman perlu dicas dari masa ke semasa. Kalau bateri handphone perlu dicas selalu, maka begitulah juga dengan iman di dalam diri kita. Jika tidak dicas  dan terus digunakan tanpa henti maka lama kelamaan iman tadi akan menurun atau terus padam seumpama handphone yang padam atau mati bila tidak dicas. Iman yang mati di dalam diri akan mengakibatkan jiwa menjadi lemah dan tiada semangat juang untuk meneruskan kehidupan.Iman yang mati bermakna semangat jihad untuk mempertahankan Islam yang kita anuti juga akan mati. Akibatnya hati akan menjadi tidak senstitif bila Islam diinjak-injak oleh umat lain seperti apa yang berlaku di Gaza.

Selain melakukan ibadat-ibadat sunat seperti solat sunat,qiyamullail,puasa sunat, iman juga boleh dicas melalui cara beruzlah, yakni mengasingkan diri buat sementara waktu daripada kesibukan dunia dan hiruk pikuk manusia. Beruzlah ialah dengan berfikir dan mentadabbur atau merenungi ciptaan dan tanda-tanda kebesaran Allah. Beruzlah adalah peluang terbuka untuk menemui diri yang hilang selama ini. Beruzlah adalah peluang untuk  menyesali dosa-dosa yang lepas lantas bertaubat kepada Allah.

Beruzlah merupakan cara yang berkesan untuk mengecas iman sekaligus membangkitkan jiwa rasa dalam diri untuk meningkatkan ibadah kepada Allah. Beruzlah, mekanisme untuk memotivasikan diri dalam beribadah. Beruzlah adalah langkah seterusnya untuk menjadi insan mulia lagi hebat di sisi Allah.

Beruzlah bukan untuk memisahkan diri daripada kehidupan dunia selama-lamanya sehingga menjadikan diri bagaikan kera sumbang yang tidak bercampur dengan manusia lain. Beruzlah akan membuka ruang fikir di dalam diri untuk menilai kembali peranan diri yang serba kekurangan lantas mencari jalan untuk memperbaiki diri seterusnya meningkatkan potensi diri.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak menyedari kepentingan uzlah dalam kehidupan. Pernahkan kita merasa ingin bersendirian bila menghadapi masalah atau tekanan di dalam hidup. Ada orang yang sanggup mengasingkan diri di dalam bilik selepas kecewa di dalam percintaan. Ada orang sanggup mengasingkan diri bila gagal dalam peperiksaan. Kenapa jadi begini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana manusia memerlukan ruang untuk bersendirian dan mengkoreksi diri. Kita menjadi manusia yang inginkan “privacy” walau untuk seketika kerana ruang kosong yang ada akan memberi kekuatan kepada kita untuk meningkatkan maruah diri dan bangkit semula dari kejatuhan secara lebih rasional. Sebab itu, kalau kita perhatikan manusia perlu bersendirian bila menghadapi tekanan dalam hidup. Cuma, alangkah indahnya sekiranya kesempatan bersendirian ini diambil untuk mengenal Allah dan memohon pertolonganNYA untuk memulihkan diri yang tercedera akibat tekanan hidup yang dialami.

Justeru, marilah sama-sama kita menyahut peluang yang ada untuk beruzlah seketika. Mudah-mudahan musafir saya seketika di hujung lagun Pulau Langkawi yang sunyi ini dapat diambil manfaat untuk mengkoreksi diri yang lemah dan serba kekurangan. Ya Allah, bantulah aku! Berilah aku kekuatan. Tingkatkan amal ibadahku dan sudahkanlah kehidupanku dengan kesudahan yang baik dan janganlah disudahkan kehidupanku dengan kesudahan yang buruk.Tingkatkan imanku ke tahap yang tertinggi dan redhalah Engkau atas kehidupanku ini Wahai Tuhan di mana jiwaku berada di dalam genggamanNYA. Amin.

pb170811

ABU WAFI, Langkawi Island [8 Mac 2009 10.54 malam]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: