Saya pening kepala

Published February 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Aku pening kepala la, rimas! rimas!

“Kenapa pula?” tanya saya.

Rimas memikirkan senario politik yang tak sudah sudah.Lepas satu, satu.ehh kau tak rimas ke?

“Oh sebab tu rupanya”. Biasalah politik Malaysia.

“Ye lah, politik, politik juga. Pilihanraya dah setahun berlalu, tapi nampaknya politik Malaysia masih panas, berasap dengan isu-isu moral dan lompat parti. Lebih merimaskan lagi bila menonton berita pukul 8 malam setiap hari. Isu yang mengaibkan dikupas dengan mendalam dari pelbagai segi.”  hujah kawan saya.

“Kalau dah rimas sangat, jangan beli surat khabar,jangan tengok berita, kalau nak tonton pun buka lepas jam 8.30 tengok sukan.Kalau rasa tak jalan juga buka blog-blog politik yang bertebaran di alam maya. Ada blog yang pro pembangkang dan tidak kurang yang pro kerajaan. Dari situ, kau buatla kesimpulan sendiri, pilihan sendiri, kalau kau rasa “mainstream media” tidak melaporkan yang betul.” jawab saya.

Begitulah antara senario yang dapat saya ceritakan. Satu kisah seorang rakyat Malaysia yang mengambil berat mengenai politik di negaranya sendiri. Kemelut politik yang tidak sudah-sudah malah semakin membelit dan terbelit telah menghunjam ke dalam pemikiran rakyat Malaysia. Saya akui, diri saya sendiri sedikit terganggu dengan kemelut yang tidak sudah sudah ini.

KENAPA JADI BEGINI?

Ingin sahaja saya melontarkan persoalan ini secara terbuka kepada parti yang memerintah dan parti yang membangkang. Mengapakah, kita tidak boleh mencapai kematangan politik seperti yang berlaku di USA. Sen. Hillary Clinton yang merupakan saingan utama kepada Obama akhirnya menjadi rakan seperjuangan dalam kabinet baru Obama. Setelah berbulan bulan berkempen, berbulan berdebat dengan Obama akhirnya beliau memberikan sokongan kepada Obama untuk menjadi calon mewakili parti Demokrat. Setelah Obama menjadi Presiden, Hillary dilantik sebagai  Setiausaha Negara USA, satu jawatan yang cukup berkuasa di dunia. Ini mungkin, kerana Hillary memahami bahawa beliau tidak mungkin lagi berpeluang untuk menjadi calon Demokrat selepas 8 tahun Obama mengakhiri tempohnya sebagai Presiden, justeru adalah lebih baik beliau menerima tawaran tersebut.  Namun, teori saya ini tidak penting, yang penting adalah kematangan politik yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh ini. Lawan menjadi kawan. 

26565055

Kematangan politik Obama

Fikirkan… bilakah percaturan politik seperti ini akan berlaku di negara kita.

Parti yang tewas menerima dengan hati yang terbuka, kerana akhirnya rakyatlah yang berkuasa untuk menentukan masa depan negara. Parti yang menang pula meminta pandangan kepada parti yang kalah, malah di sesetengah negara mengajak mereka untuk memberikan pandangan bagi memajukan negara.Parti yang tewas akan menjadi pembangkang yang kostruktif kepada kerajaan baru. Menjadi pembangkang tidak bermakna tidak boleh memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Menjadi pembangkang akan menentukan proses “check and balance” berjalan dengan lancar. Kepentingan dan kebajikan rakyat mengatasi segala-galanya.

Lihat pula perkembangan politik di negara haram Israel. Persaingan antara Parti Kadima, pimpinan Tzipi Livni [bekas Menteri Luar Israel] dengan Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu [bekas Perdana Menteri Israel]. Keputusan pilihanraya negara itu pada awal Februari lalu menunjukkan Benjamin Netanyahu telah memenangi pilihanraya tersebut dan dijangka akan membentuk kerajaan baru menggantikan Kerajaan Parti Kadima pimpinan Ehud Olmert. Laporan di dalam Al-Jazeera mengesahkan bahawa Benjamin Netanyahu telah menjemput Tzipi Livni untuk menyertai Kerajaan baru beliau yang dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan. Sungguh mengkagumkan, walaupun menang majoriti namun Benjamin masih mampu menghulurkan tangan menjemput Tzipi Livni yang memimpin Parti Kadima supaya menyertai kerajaan beliau. Sebaliknya, Tzipi Livni, menolak dengan baik tawaran tersebut dan memilih untuk menjadi Ketua Pembangkang di Knesset [parlimen Israel].Isu yang ingin ditonjolkan ialah kematangan berpolitik pemimpin Israel ini wajar dicontohi oleh kita sebagai umat Islam. Golongan kuffar ini sanggup bersatu hati walaupun berbeza ideologi kerana mereka tahu bahawa siapa pun yang menang di Israel akan berdepan dengan musuh yang satu iaitu umat Islam Palestin dan umat Islam di sekitar negara Israel. Mereka bersatu dalam isu-isu yang menjejaskan kepentingan dan mengancam keselamatan Yahudi [pada pandangan mereka] sehingga melupakan perbezaan ideologi parti sendiri.  Orang-orang Yahudi dan Nasrani bersatu untuk menentang Islam, sedangkan umat Islam di seluruh dunia masih berpecah belah dalam hal menentang kekejaman Yahudi.

Benjamin Netanyahu

Benjamin Netanyahu

Tzipi Livni

Tzipi Livni

Maafkan saya, kerana mengambil contoh dari pemimpin negara haram Israel. Tetapi inilah hakikatnya, orang-orang Yahudi tahu perpecahan sesama mereka akan menjahanamkan Yahudi dan justeru itu mereka bersatu untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam.

KRISIS PERLEMBAGAAN

Semasa menuntut di universiti, subjek “Constitutional Law” merupakan antara subjek yang paling saya minati. Walaupun sesetengah rakan saya menyatakan subjek ini “dry” dan tidak berminat tetapi saya tetap menyatakan bahawa subjek ini cukup menarik kerana berkaitan dengan politik. Mempelajari subjek ini, bermakna banyak kes-kes “precedent” dari India yang akan dirujuk bila menyentuh topik berkaitan krisis perlembagaan. Contoh menarik ialah pertikaian antara Perdana Menteri India Indra Gandhi dengan pihak Mahkamah sehingga memaksa Indra Gandhi menggunakan kuasa PM yang beliau ada dengan mengisytiharkan darurat bagi menghalang Mahkamah daripada menyingkirkan beliau. Begitu juga, dengan senarai kes-kes perlembagaan, krisis politik yang melibatkan tafsiran perlembagaan sebenarnya banyak mengambil contoh dari India. Mungkin, pada masa itu negara kita tidak mempunyai pengalaman krisis perlembagaan maka tiada contoh tempatan yang boleh dijadikan ‘precedent. Krisis yang kita alami kali ini sebenarnya lebih kompleks kerana melibatkan Menteri Besar,Institusi istana dan Speaker Dewan Undangan Negeri yang masing-masing mempunyai bidangkuasa tersendiri. Setakat ini, jalan penyelesaiannya masih buntu.

MEDIA MESTI MEMBANTU

Peranan media arus perdana atau “mainstream media” samada media cetak mahupun media elektronik tidak dapat dinafikan kepentingannya. Media merupakan wadah yang digunakan untuk menyebarluaskan maklumat yang tepat, betul dan tidak mengelirukan masyarakat. Media juga berperanan sebagai alat untuk anggota masyarakat menyuarakan kritikan,komen,cadangan dan segala macam ketidakpuasanhati kepada pihak yang berwajib. Bila berlakunya krisis politik yang memerlukan tafsiran dan pandangan dari bijak pandai, maka media seharusnya berperanan untuk menerangkan konflik yang berlaku kepada rakyat dan memberikan alternatif penyelesaian yang betul, tepat dan adil. Dengan ini media akan dihormati.  Saya akui krisis perlembagaan merupakan perkara baru di negara kita. Rata-rata rakyat yang ditemui tidak faham apa sebenarnya yang berlaku. Tafsiran perundangan yang berbeza-beza oleh pengamal-pengamal undang-undang juga menyulitkan keadaan. Justeru, isu yang sukar ini perlu diterjemahkan oleh media dalam bahasa “layman” yang boleh difahami oleh orang awam. Jika tidak hanya pengamal undang-undang sahaja yang akan memahami isu ini.

Check mate- politik makin berbelit

Check mate- politik makin berbelit

KRISIS DI PERAK MAKIN PARAH

Setakat berita yang saya baca dan tekuni, tidak terdapat tanda-tanda bahawa krisis perlembagaan di Perak akan menemui titik noktahnya. Walaupun BN secara rasminya telah mengambilalih kuasa eksekutif di negeri tersebut namun kuasa badan perundangan tertinggi atau “legislatif” masih dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Tindakan untuk melucutkan Speaker adalah masalah dan isu yang paling besar dihadapi oleh kerajaan baru ini, dan adalah sesuatu yang janggal bila badan eksekutif dan badan perundangan diterajui oleh 2 pihak yang bertentangan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah. Saya nampak kesukaran akan timbul bila kerajaan baru ingin melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memerlukan persetujuan dan kelulusan badan perundangan. Di sinilah “dead end” berlaku. Bersimpul dan tersimpul, berbelit dan terbelit kedua-dua belah pihak dan rakyat tersepit di tengah-tengah.

KONSEP PENGASINGAN KUASA

Konsep “separation of powers” atau pengasingan kuasa antara Eksekutif,[badan perundangan] atau Legislatif dan Kehakiman menjadi tunjang kepada pemerintahan yang adil dan saksama dalam sesebuah negara demokrasi. Sekiranya ketiga-tiga badan ini bergerak seiring dan sejalan tanpa mencampuri urusan satu sama lain maka pentadbiran sesebuah negara akan stabil. Contohnya, badan eksekutif tidak boleh campurtangan atau mempengaruhi kuasa legislatif manakala eksekutif juga tidak boleh campur tangan dalam urusan kehakiman. Sekiranya, badan eksekutif atau legislatif bertindak melebihi kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan, maka badan kehakiman boleh menyemak tindakan kedua-dua badan ini. Peranan ketiga-tiga badan ini amat penting dalam menentukan “check and balance” menerusi konsep pengasingan kuasa ini.

MENGAMBIL PENGALAMAN VENEZUELA

Rakyat Venezuela mengundi untuk menentukan kedudukan "term limits" Presiden Hugo Chavez.

Rakyat Venezuela mengundi untuk menentukan "term limits" Presiden Hugo Chavez.

Selain Israel yang baru selesai mengadakan pilihanraya, Venezuela tidak kurang hebatnya. Rakyatnya keluar mengundi melalui satu proses yang dinamakan sebagai “referendum”. Bezanya rakyat Venezuela tidak memilih pemimpin atau wakil rakyat sebaliknya memilih untuk menentukan sama ada mereka bersetuju untuk memanjangkan tempoh hayat perkhidmatan Presiden. 
Perlembagaan Venezuela menetapkan bahawa seorang Presiden hanya boleh memerintah selama 2 penggal sahaja. Selepas itu, beliau perlu meletakkan jawatan dan tidak boleh bertanding semula. Jadi, untuk membolehkan Hugo Chavez bertanding semula sehingga 2013 maka beliau perlulah mendapatkan mandat atau persetujuan dari rakyat melalui referendum.
Hasil referendum menunjukkan beliau memperolehi peratusan undian sebanyak 54.4% dan ini bermakna majoriti rakyat bersetuju supaya beliau bertanding semula. Suatu amalan yang menarik dan mengikut lunas-lunas demokrasi dan undang-undang. Bila berlakunya krisis politik seperti ini, maka rakyat diberikan peluang untuk menyatakan hak mereka melalui referndum. Suatu amalan yang jarang-jarang berlaku di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.
Saya teringat beberapa tahun yang lepas Kanada juga berhadapan dengan isu yang sama. Sebuah negeri dalam wilayah Kanada iaitu Quebec yang mempunyai majoriti penduduknya berbahasa Perancis telah membuat satu referendum.Referendum untuk menentukan sama ada mereka setuju wilayah Quebec keluar dari Kanada dan merdeka atau kekal di dalam Kanada. Referendum atau pungutan suara yang dijalankan menunjukkan bahawa majoriti rakyatnya memilih untuk berada di dalam Kanada. Suatu senario yang cukup menarik.
KESIMPULAN
Politik yang kalut. Namun kekalutan ini sebenarnya menuntut kebijaksanaan di pihak yang bertelagah. Apa pun, semuanya perlu diselesaikan menerusi saluran yang sah mengikut lunas-lunas undang-undang. Hormat menghormati pandangan yang berbeza merupakan amalan politik yang sihat. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan perdamaian marilah sama-sama kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dalam menangani konflik ini. Firman Allah:
” Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”
Mudah-mudahan kekalutan politik ini akan segera berakhir.
ABU WAFI, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: