Maaf, saya tiada bidangkuasa

Published January 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Pernahkah anda mendengar perkataan “jurisdiction” atau bidangkuasa? Sesetengahnya menyebut “purview” atau ruang lingkup sesuatu perkara. Sesetengahnya pula menyebut “within the ambit”.

Apa pun istilah yang digunakan maksudnya dan matlamatnya tetap sama. Istilah bidangkuasa atau”jurisdiction”  selalunya digunakan secara meluas dalam dunia perundangan dan kehakiman. Dalam bahasa yang mudah, bidangkuasa bermaksud kuasa yang diberikan oleh sesuatu akta atau legislatif kepada seseorang individu atau badan perundangan yang ditubuhkan.

Sebagai contohnya, bidangkuasa Mahkamah Magistrate hanya boleh membicarakan kes-kes sivil setakat jumlah RM25,000 sahaja. Manakala Mahkamah Sesyen pula boleh memutuskan kes-kes sivil dari RM25,000 ke atas sehingga RM250,000 begitulah seterusnya. Semakin tinggi hieraki, maka semakin luas bidangkuasanya. Semakin rendah hierarki semakin kurang bidangkuasanya. Justeru, kalau saya seorang Magistrate saya tidak boleh menjatuhkan denda melebihi RM25,000. Inilah bidangkuasa saya yang diberikan oleh undang-undang.

Mari kita lihat pula Perlembagaan Malaysia. Mengikut Perlembagaan perkara mengenai agama Islam adalah jelas di bawah Senarai Negeri. Justeru, hanya kerajaan negeri yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan agama Islam dan menguatkuasakan undang-undang tersebut. Inilah bidangkuasa yang diberikan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tiada kuasa dalam hal ini.

Contoh yang lain adalah pekerjaan kita sehari-hari. Tentu sekali kerja yang dilakukan mempunyai had atau batasan yang ditetapkan. Justeru, inilah bidangkuasa yang diberikan kepada kita. Melakukan pekerjaan melebihi bidangkuasa,had,batasan atau limitasi yang telah ditetapkan merupakan satu kesalahan prosedur yang tidak boleh dimaafkan. Mungkin juga kita boleh dikenakan tindakan disiplin atau dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib.

Jangan bertindak melebihi bidangkuasa

Jangan bertindak melebihi bidangkuasa

Kehidupan kita dipenuhi dengan had dan batasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kebebasan yang kita kecapi tidak bermakna bahawa kita boleh melakukan apa sahaja. Kita terikat dengan peraturan Allah dan segala tindak tanduk kita tertakluk kepada peraturan tersebut. Dengar dan patuh maka syurgalah balasannya. Sanggah dan langgar maka nerakalah jawabnya.

Allah telah menetapkan bidangkuasa setiap daripada kita. Janganlah kita melampaui batasan yang telah ditetapkan sejak azali lagi, kelak mengundang kemurkaan Allah. Hatta kehidupan di dunia juga terikat dengan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang meletakkan limitasi bagi maksud mengawal keamanan dan ketenteraman.

Marilah sama-sama kita merenung ke dalam diri akan bidangkuasa yang telah diberikan Allah kepada kita. Apakah kita telah melaksanakan segala yang diperintahkan tanpa melampaui batas. Muhasabah dan lihatlah dengan penuh keinsafan.. saya pasti hatta diri saya sendiri pun tanpa disedari kadang-kadang bertindak di luar bidangkuasa yang telah ditetapkan Allah, iaitu melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar.

Wahai diri yang lemah ini, wahai sahabat-sahabat di luar sana, kembalilah ke pangkal jalan sekiranya anda telah melampaui batasan dan had yang telah ditetapkan Allah. Sesungguhnya, jalan pulang ke pangkuan Allah masih terbuka luas.

ABU WAFI, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: