Cepatnya masa berlalu

Published December 1, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Hari ini dah masuk bulan Disember 2008.Bermakna tinggal lagi sebulan sebelum melangkah ke tahun baru 2009. Bermakna umur juga semakin meningkat, anak-anak kecil di rumah semakin membesar dan dewasa dan kita semakin tua. Kadang-kadang saya terfikir, alangkah indahnya jika umur  kita semakin menurun ke bawah atau dengan kata lain kita semakin muda. Tetapi itu tidak mungkin berlaku.

Semakin tua maka semakin matang sepatutnya. Semakin “wise” atau bijaksana. Keputusan yang diambil sepatutnya lebih “cool” dan melambangkan kebijaksanaan dan penuh hikmah. Itu yang sepatutnya. Tetapi ada juga orang dewasa yang semakin meningkat umurnya semakin muda akhlaknya, semakin terkinja-kinja dengan arus pemodenan dunia yang melekakan. Bila usia sedang menghampiri senja seharusnya amal ibadah dipertingkatkan dan amalan mendekatkan diri kepada Pencipta juga diperbanyakkan bukannya menjadi terbalik atau melawan arus.

Masa yang berlalu ibarat pisau yang akan memotong seluruh kehidupan kita. Masa yang berlalu tidak dapat dikembalikan. Menangislah dan menyesallah dengan penyesalan yang bersungguh-sungguh namun itu semua tidak akan dan tidak mampu untuk mengembalikan masa yang telah hilang. Alangkah indahnya, jika kita dapat kembali ke masa lalu dan memperbetulkan semula kesilapan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Namun itu semua mustahil dan tidak mungkin akan dilakukan. Tiada “terowong masa” atau ” time tunnel” yang boleh mengembalikan kita ke masa yang lepas seperti yang kita lihat dalam filem-filem fiksyen seperti “Back To The Future”. Semua itu dongeng semata-mata, khayalan dan fantasi yang tidak mungkin dapat direalisasikan.

Firman Allah :

 ” Demi masa! Sesungguhnya manusia sentiasa berada di dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Sesungguhnya masa tidak menunggu kita

Sesungguhnya masa tidak menunggu kita

Berangan-angan dan berbangga dengan masa lalu merupakan suatu kerugian. Kejayaan dan kegemilangan masa lalu tidak mungkin dapat dikembalikan melainkan kita sudi untuk belajar dan mengambil iktibar.

SEJARAH MENGAJAR KITA

Sejarah merupakan guru yang paling akrab. Sejarah tidak pernah berbohong melainkan jika faktanya diselewengkan oleh penulis sejarah. Tanpa mempelajari sejarah kita tidak akan mampu untuk bangkit semula bagi mengulangi kejayaan dan kegemilangan yang pernah kita ukir. Kegemilangan Empayar Kesultanan Melaka tidak dapat diulangi sekiranya punca-punca kejatuhan kerajaan tersebut akibat perlakuan rasuah penguasanya tidak kita kaji dan ambil iktibar. Dalam Al-Quran, banyak sekali kisah-kisah umat terdahulu yang diceritakan kepada kita. Untuk apa sebenarnya? Adakah untuk berseronok-seronok dan menjadikan Al-Quran seperti sebuah buku cerita tanpa ada sedikit pun pengajaran yang dapat kita ambil?

Kisah-kisah Kaum Tsamud dan Luth dipaparkan oleh Allah swt supaya kita tidak sama sekali akan mengulangi amalan-amalan maksiat yang dilakukan oleh mereka kerana azabnya terlalu perit. Mereka dihunjam dengan batu-batu panas dari neraka akibat maksiat yang dilakukan. Dan hari ini, kita melihat manusia makin rakus melakukan maksiat tanpa rasa takut dan gerun dengan amaran Allah di dalam Al-Quran.

Begitu juga kisah Nabi Yusuf a.s yang dipenjarakan bertahun-tahun mengajar kita supaya berlaku adil dalam melaksanakan keadilan. Bagaimana pula kisah Nabi Yunus a.s yang ditelan ikan nun menggantungkan harapnya hanya kepada Allah sebagai satu-satunya harapan untuk menyelamatkannya dan apakah kita pada hari ini mengikuti contoh yang telah dibuat oleh Nabi Yunus a.s. Begitu juga dengan kisah Pemuda Kahfi dan Ashabul Ukhdud yang bermati-matian mempertahankan akidah dan apakah kita mengambil pengajaran daripada keseluruhan kisah-kisah ini?

Persoalannya di manakah kita meletakkan kisah-kisah ini dalam kehidupan kita. Adakah cukup sebagai hiburan atau “bed time story” atau adakah kita benar-benar menghayati dengan bersungguh-sungguh sehingga diterjemahkan di dalam hidup kita. Jika jawapannya ya, maka beruntunglah kita kerana tergolong dalam golongan yang beruntung dan cerdik.

SEJARAH AKAN BERULANG?

Manusia yang menghayati sejarah dan mencari jalan supaya kesilapan dan kegagalan masa lalu tidak diulangi merupakan manusia yang bijaksana. Kita tidak mampu untuk kembali ke masa lalu, tetapi kita  mampu untuk mengulangi kejayaan lalu malah lebih baik lagi. Kita juga tidak mampu untuk kembali ke masa lalu bagi memperbetulkan keadaan tetapi kita mampu untuk mengambil langkah berhati-hati supaya kesilapan lalu tidak diulangi lagi.

BACA BUKU SEJARAH

Masyarakat pada hari ini ramai yang buta sejarah. Malah tidak ramai yang merasakan subjek sejarah adalah subjek yang penting sebaliknya lebih mementingkan subjek-subjek yang bersifat komersial seperti sains dan matematik. Malah ada pelajar yang “drop” subjek sejarah kerana merasa bosan dan tidak penting seperti subjek lain. Teringat saya masa zaman persekolahan dahulu lewat tahun 1992, semasa mengambil STPM subjek sejarah merupakan subjek yang paling diminati oleh pelajar-pelajar ketika itu. Subjek sejarah tidak dianggap subjek yang membosankan sebaliknya rakan-rakan saya sangat menghargainya. Kertas Sejarah Islam paling mencabar dengan cerita-cerita bermula dari zaman jahiliah sehinggalah sejarah penyebaran Islam di India dan Asia Tenggara ternyata begitu menggugah jiwa.  Bacalah buku-buku sejarah tulisan Ahmad Shalaby dan buku “Sejarah Umat Islam” tulisan HAMKA nescaya anda akan dapat mengambil pengajaran yang paling berguna.

Baca dan ambil pengajaran dari sejarah

Baca dan ambil pengajaran dari sejarah

Manusia pada hari ini semakin sibuk mengejar kebendaan sehingga mengabaikan nilai sejarah dalam kehidupan mereka. Seharusnya kita sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali peristiwa silam kehidupan kita supaya kesilapan yang sama tidak diulangi. Dalam masa yang sama kita memperbaiki diri kita supaya menjadi insan yang kuat menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Kesilapan yang lalu menjadikan kita semakin bijaksana dalam mengatur kehidupan. Yang penting belajarlah dari sejarah insyallah ianya akan mendewasakan kita dan mengajar kita supaya lebih menghargai kehidupan ini.

Isnin 1 Disember 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: