Doa yang tak terlupakan

Published November 21, 2008 by Menikmati Takdir Langit

 “JANGANLAH KELEWATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADAMU, PADAHAL ENGKAU BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM BERDOA MENYEBABKAN PUTUS HARAPAN, SEBAB ALLAH TELAH MENJAMIN AKAN MENERIMA SEMUA DOA DALAM BENTUK APA YANG DIA KEHENDAKKI UNTUKMU, BUKAN MENURUT KEHENDAKMU DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKANNYA, DAN BUKAN PADA WAKTU YANG ENGKAU TENTUKAN”.

Pasti doamu akan diterima asalkan tidak gopoh

Pasti doamu akan diterima asalkan tidak gopoh

Salam,

Saya sungguh terkesan dengan kata-kata hikmah di atas. Hikmah ini saya petik dari Kitab Hikam karangan Syekih Ibn Athai’llah Al-Sakandari. Beliau bercakap mengenai sikap putus asa sesetengah kaum muslimin yang merasa kecewa dengan doa yang lewat diterima.

Firman Allah :

“Tuhanmulah yang menjadikan segala yang dikehendakkiNYA dan memilihNYA sendiri, tiada hak bagi mereka untuk memilih.

Firman Allah lagi:

Barangkali kamu membenci sesuatu padahal itulah yang baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu padahal ianya tidak baik bagimu, dan Allah lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”

Allah swt telah berjanji bahawa semua permintaan atau doa akan diterima. Sama ada dimakbulkan di dunia atau ditangguhkan di akhirat. Berdoalah dengan penuh kesabaran dan bersungguh-sungguh insyallah akan dimakbulkan. Sedangkan doa Nabi Musa a.s dan Nabi Harun untuk kebinasaan Firaun mengambil masa 40 tahun untuk dimakbulkan, inikan pula doa kita orang biasa.

” Sungguh telah diterima doamu berdua iaitu tentang kebinasaan Firaun dan bala tenteranya maka hendaklah kamu berdua tetap istiqamah (sabar dalam meneruskan perjuangan dan terus berdoa), dan jangan mengikuti jejak orang yang tidak mengerti. [Yunus:89]

Anas r.a berkata:

“Tiada seorang berdoa, melainkan pasti diterima oleh Allah doanya, atau dihindarkan daripadanya bahaya, atau diampunkan sebahagian dosanya selama ia tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa atau untuk memutuskan hubungan silaturrahim”.

Abul Abbas Almarsi ketika sedang sakit bila didatangi seseorang kepadanya lalu berkata : Semoga Allah memberi afiyah kepada engkau. Abul Abbas berkata: Apakah kau kira saya tidak minta afiyah kepada Allah, sungguh saya telah memintanya bahkan penderitaan saya ini termasuk dalam afiyah.

Sesungguhnya Allah swt menyukai orang yang selalu berdoa dengan penuh khusyuk dan bersabar menunggu ketetapan yang telah dijanjikan oleh Allah.

PENERIMAAN DOA DALAM BENTUK LAIN?

Kita sering berdoa dan kita sering meminta supaya doa kita dimakbulkan oleh Allah dalam bentuk yang kita mahu.  Menurut Ibn Athai’llah sebaik-baik hamba ialah apabila ia berdoa dan menyerahkan semuanya menurut kehendak Tuhannya, dan mempercayai bahawa apa yang diberikan oleh Tuhannya merupakan yang terbaik untuknya walaupun tidak seiring dengan kehendak hawa nafsunya. Justeru janganlah kecewa apabila doa kita dijawab oleh Allah dalam bentuk yang lain. Kita  memohon supaya dinaikkan pangkat akan tetapi Allah tidak memberikan pangkat kepada kita sebaliknya Allah mengurniakan anak-anak yang soleh, isteri yang solehah, kesihatan yang baik dan ketenangan yang berpanjangan. Mungkin dengan pangkat yang tinggi akan menyebabkan kita semakin lalai dan jauh dari Allah, kerana sudah menjadi lumrah alam semakin tinggi pangkat seseorang maka semakin sibuklah ia dan semakin kuranglah tumpuannya pada Allah. Mungkin ini hikmahNYA yang tersembunyi. Sesungguhnya Allah lebih maha mengetahui akan segala sesuatu.

Dan syarat paling utama untuk diterimanya doa menurut Ibn Athaillah lagi ialah apabila doa itu dilakukan dalam keadaan terpaksa. Firman Allah:

” Apakah yang selalu menerima doa orang yang terpaksa, apabila ia meminta kepadaNYA [An-Naml: 62]

Yang dimaksudkan dengan keadaan terpaksa di sini ialah, apabila orang yang meminta itu seperti tiada pilihan lain dan tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan dan tempat ia bergantung melainkan dengan Allah swt. Maka pada ketika inilah, kita melihat doa seseorang itu kelihatan sangat bersungguh-sungguh, sehingga menitiskan air mata,ikhlas dan benar-benar menggantungkan harapannya kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada manusia yang lemah.

Justeru, marilah kita lontarkan pertanyaan kepada diri kita sejauh manakah kualiti doa kita di dalam solat. Fahamkah maksud doa yang dibaca, apakah adab-adab doa semuanya telah dipatuhi. Sesungguhnya orang yang malas berdoa adalah orang yang angkuh kerana merasakan dirinya hebat dan tidak memerlukan bantuan Allah sedangkan Allah sangat menyukai dan merindui untuk mendengar doa-doa orang yang bersungguh-sungguh meminta dan bergantung harap sepenuhnya kepadaNYA.

Kesimpulan, doa yang tak terlupakan memang tepat sekali. Allah tidak pernah melupakan doa hamba-hambanya. Cuma kita sebagai hamba janganlah berputus asa dan terus meminta untuk kebaikan hidup di muka bumi ini.

“TAKDIR ALLAH MERUPAKAN SEBAIK-BAIK PERKARA. MAKA TADBIRILAH TAKDIR ITU DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.”

Jumaat 21 November 2008

%d bloggers like this: