Bersungguh-sungguh untuk dunia…

Published November 9, 2008 by Menikmati Takdir Langit

” Kerajinanmu untuk mencapai apa-apa yang telah dijamin Allah yang pasti akan diberikan kepadamu,  sehingga membiarkan/mengabaikan kewajipan-kewajipan yang telah diamanahkan kepadamu, menunjukkan buta hatimu” – Ibn Atha’illah As-Sakandari

Salam,

Saya terus menerus menyemak kata-kata hikmah sepanjang minggu lalu sama ada nukilan ulama,tokoh pemimpin dunia dan personaliti terkemuka. Tapi yang menarik perhatian saya ialah kata-kata yang telah dinukilkan oleh Syeikh Ibn Ibn Atha’illah As-Sakandari dalam bukunya yang terkenal berjudul Al-Hikam. Beliau merupakan seorang ulama sufi yang sangat tersohor dengan sentuhan penanya yang menusuk ke dalam hati. Malahan ulama-ulama kontemporari banyak menggunakan kata-kata beliau bagi mengajak masyarakat kembali kepada kehidupan beragama.

Kata-kata di atas boleh dijadikan renungan kita bersama. Beliau menyatakan bahawa orang yang buta mata hatinya, yang terhijab dari kebenaran adalah orang yang bersungguh-sungguh,rajin berusaha untuk sesuatu yang telah dijamin oleh Allah. Apakah yang telah dijamin oleh Allah? Itulah rezeki yang kita perolehi di dunia ini. Rezeki makan minum, kelapangan hidup, anak-anak adalah rezeki yang diberikan oleh Allah. Rezeki merupakan jaminan yang telah diberikan oleh Allah kepada setiap makhluknya tanpa mengira kefahaman dan anutan agamanya.

” Berapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya (makanan keperluannya), maka Allah yang menjamin rezekinya juga terhadap kamu” [Al-Ankabut:  60]

” Perintahkan kepada keluargamu supaya mengerjakan solat dan bersabarlah dalam melaksanakannya, Kami (Allah) tidak menuntut kamu supaya mencari rezeki,Kami yang menjamin rezekimu, dan bagi orang yang bertaqwa”. (Thaha: 132) 

Rezeki yang tidak pernah putus

Rezeki yang tidak pernah putus

Bukanlah bermaksud bahawa kita tidak perlu berusaha untuk mencari rezeki di muka bumi ini dan berpeluk tubuh menunggu rezeki turun dari langit atau menjadi malas dengan berpegang pada pepatah bahawa rezeki secupak tidak akan jadi segantang. Islam menuntut kita berusaha keras untuk meraih rezeki yang baik,halal lagi mendapat keberkatan Allah. Cuma dewasa ini, kita melihat trend umat Islam yang bekerja siang malam bersungguh-sungguh untuk dunia sehingga MENGABAIKAN/MENINGGALKAN perkara-perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah terutamanya SOLAT lima waktu.

Ramai yang rajin bekerja sehingga berjaya mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang atau di sesetengah organisasi menjadi “Best Employee of the Month”. Ini adalah satu sikap dan contoh yang baik.Malah saya kagum dengan sesetengah manusia yang saya jumpa. Mereka sangat “proud” dengan istilah “workerholic” yang dilabelkan kepada mereka. Merekalah orang yang paling awal datang bekerja dan merekalah yang paling lewat pulang ke rumah.Mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk menaikkan imej dan prestasi jabatan atau organisasi mereka bekerja malah mengaku bahawa tanpa sumbangan mereka maka runtuhlah organisasi tersebut. Namun bila diselidiki, ternyata kebanyakan daripada mereka jiwanya sangat kosong, kering dan kontang. Tiada siraman atau makanan untuk menyuburkan roh mereka dengan makanan rohani dari sentuhan Ilahi. Saya tidak menyatakan semuanya termasuk dalam kategori ini. Ramai juga yang saya jumpa kerjanya berkualiti, bersungguh-sungguh dan dalam masa sama perintah-perintah Allah tidak diabaikan sama sekali. Seimbang.

Apa pun yang kita lakukan biarlah seiring atau selari dengan kesungguhan dan komitmen kita kepada perintah Allah. Bekerja sehingga meninggalkan solat.Bekerja sehingga lupa untuk menunaikan tanggungjawab ibadah khusus seperti puasa dan zakat yang telah diamanahkan oleh Allah.

Rezeki telah dijamin oleh Allah sejak kita lahir lagi, cuma antara banyak dan sedikit bergantung kepada usaha dan ikhtiar kita dengan disertai dengan doa. Kita dituntut berusaha mencari rezeki tetapi dalam masa yang sama kita juga dituntut supaya berpada-pada dan jangan melampaui batas. Setetengah daripada kita dianugerahkan rezeki yang melimpah ruah, merasakan masih tidak puas masih tidak cukup dan bekerja lagi sehingga lewat malam untuk merebut ganjaran yang sebenarnya telah dijamin oleh Allah.

Alangkah baiknya jika dalam masa kita mencari rezeki kita juga bersungguh-sungguh dalam mengerjakan perintah-perintah yang telah diwajibkan ke atas kita juga perkara-perkara sunat yang memerlukan usaha untuk mendapatkan pahala. Rezeki kita telah dijamin oleh Allah sedangkan tempat kita di syurga belum tentu terjamin sekiranya tidak melakukan segala amanah yang telah diperintahkan oleh Allah. Untuk masuk syurga kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan rajin. Lakukan amalan-amalan yang disukai Allah seperti solat-solat sunat, puasa Isnin dan Khamis,zikir, membaca dan mentadabbur isi kandungan Al-Quran dengan sungguh-sungguh, hadir dalam majlis ilmu dan sebagainya. Ini semua memerlukan kerajinan yang berterusan dan doa agar amalan-amalan kita diterima Allah. Dan sudah tentu penat lelah dan susah payah kita mencari bekalan untuk hari akhirat adalah lebih utama. Pahala atau bekalan untuk hari akhirat tidak dapat dicapai, tidak dapat diperolehi tanpa usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh.

Ibrahim Alkhawwash berkata :

 ” Jangan memaksa diri untuk mencapai apa yang telah dijamin dan jangan mensia-siakan/mengabaikan apa yang telah diamanahkan/ditugaskan kepadamu.”

Masih belum terlewat untuk melakukan perubahan

Masih belum terlewat untuk melakukan perubahan

Kesimpulannya, alangkah malangnya sewaktu  kita terlalu bersungguh-sungguh leka bekerja dengan tak disangka-sangka KEMATIAN menjemput kita tanpa mempunyai kesempatan untuk bertaubat dan memperbetulkan keadaan. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi dan buta mata hatinya.

“ Sesungguhnya kehidupan ini ibarat seorang musafir yang berteduh sebentar di bawah sepohon  pokok, bila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya”

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: