Hidup untuk Akhirat

Published November 7, 2008 by Menikmati Takdir Langit

“ Orang yang berwawasan sering memandang jauh melepasi kematiannya, dia memilih bagaimana dia hendak mati, dan dia sendiri memilih tempat mana dia hendak pergi selepas mati. Orang bodoh pula hanya berangan-angan sebatas dunia sementara, tanpa sedar pun yang akhirat itu jauh lebih bermakna”

 

 

Sudah agak lama saya tidak menulis. Malah saya banyak berjumpa dengan rakan-rakan di pasar tani, alamanda dan tempat kerja bertanyakan tentang blog saya dan meminta supaya saya kemaskini. Ada yang terkesan dengan penulisan saya malah ada yang mengikut saranan saya dengan membeli buku yang saya cadangkan dalam entry yang lepas. Alhamdulillah, puji-pujian kepada Allah. Maafkan saya. Saya sangat sibuk kebelakangan ini dengan tugas-tugas ad-hoc yang menerjah tanpa dijangka. Beberapa kali hasrat untuk menulis terpaksa ditangguhkan buat sementara bagi mencari ruang dan kelapangan diri serta idea yang terbaik yang boleh dikonsi bersama.

 

Pagi ini, saya terbaca satu kata-kata hikmah yang saya kira menyentap perasaan. Jika dihayati saya dapat membuat kesimpulan bahawa dunia ini adalah ladang akhirat, bercucuk tanamlah kita untuk saham yang akan dituai di hari yang kekal abadi. Justeru, hanya amalan soleh yang akan menemani kita dan menjadi bekalan. Syurgakah atau nerakah nasib kita tidaklah diketahui.

 

Membuat “projection”

 

  

Kalau di pejabat, kita mesti biasa mendengar perkataan “unjuran” atau ‘projection’ apatah lagi kalau siapa yang terlibat di dalam hal-hal kewangan dan bajet. Unjuran perlu dibuat sebaik mungkin bagi mempastikan perbelanjaan tidak melebihi anggaran yang telah ditetapkan. Seorang pekerja yang berjaya ialah mereka yang berjaya menepati unjuran yang telah dibuat. Begitulah juga dengan hal-hal akhirat, kampung halaman kita yang sebenarnya. Persoalannya berapa ramai di antara kita benar-benar merancang untuk membuat unjuran atau projection untuk hari akhirat nanti. Berapakah peruntukan untuk sedekah dan amal jariah, berapa pula zakat pendapatan dan bagaimana pula amal soleh lain seperti solat-solat sunat dan kuliah-kuliah ilmu yang dihadiri. Bagaimana pula dengan amalan berzikir sehari semalam dan bacaan Al_Quran kita sudah lancarkah lidah kita membaca ayat-ayat Allah atau kita masih lagi mengagungkan ayat-ayat cinta. 

 

Hidup di dunia bagaikan sebuah transit di jeti menunggu ketibaan kapal untuk pelayaran ke negeri akhirat yang kekal abadi.

Hidup di dunia bagaikan sebuah transit di jeti menunggu ketibaan kapal untuk pelayaran ke negeri akhirat yang kekal abadi.

Hari ini kita sibuk membuat persiapan untuk sesuatu majlis,’function’ atau acara-acara besar yang melibatkan orang-orang besar. Semua mesti dilakukan dengan teliti dan menyeluruh lagi lengkap. Tidak boleh ada yang tertinggal.Malahan “spelling error” juga tidak boleh berlaku. Semuanya memerlukan persiapan yang rapi melibatkan sebuah organisasi.

 

Contohnya, organisasi A akan menerima lawatan delegasi luar negeri yang diketuai oleh seorang Menteri. Cuba bayangkan persiapan yang perlu dilakukan tentunya melibatkan semua pihak dari CEO hingga ke office boy di bawah harus memainkan peranan sebaiknya. Sumber kewangan harus mencukupi. Sumber manusia juga harus mencukupi. Persiapan perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal. Latihan dan rehearsal berulang-ulang kali perlu dilakukan supaya majlis nampak cantik. Selepas majlis yang hanya memakan masa 1 jam kita tersenyum gembira jika majlis berjalan lancar. Begitulah hadiah penat lelah di dunia.

 

Namun bagaimana pula persiapan untuk majlis soal jawab kita di padang mahsyar. Sudah bersediakah kita. Kalau peperiksaan kita sudah hafal buku dari kulit ke kulit begitulah juga persiapan atau “imtihan” di negeri akhirat yang bukan senang soalannya.Di dunia kita gagal boleh mengulang atau repeat atau refer balik paper yang gagal. Tapi di akhirat atau di alam barzakh kalau gagal menjawab bolehkah kita buar rayuan untuk kembali ke dunia untuk mengulang kembali amalan yang tidak dibuat. Masih adakah lagi jalan pulang??? 

 

Bercucuk tanamlah di dunia dengan amal-amal soleh kerana hasilnya kelak akan dituai di negeri yang kekal abadi

Bercucuk tanamlah di dunia dengan amal-amal soleh kerana hasilnya kelak akan dituai di negeri yang kekal abadi

 Selagi nafas masih dapat dihirup, maka selagi itulah pintu-pintu kebajikan masih terbuka. Malah pintu taubat juga masih terbuka seluas-luasnya selagi nyawa masih belum sampai di kerongkong. Masih ada jalan pulang.

  MENCARI UMUR KEDUA

 

 

Hadith Nabi saw bermaksud :

 

“Apabila mati anak Adam terputuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu sadaqah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak solih yang berdoa untuknya.”

 

Saya cukup terkesan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Khairuddin Aman Razali tentang keperluan setiap umat Islam mencari umur kedua. Katanya, setiap orang hanya mempunyai satu umur di dunia yang akan menjadi tempat berladang untuk hari akhirat. Apabila mati segalanya berakhir. Namun, baginda menjelaskan masih ada ruang untuk manusia masih mendapatkan pahala selepas kematiannya. Inilah yang dikatakan sebagai umur kedua bagi manusia selepas kematiannya. Umur kedua terhasil apabila setiap orang memanfaatkan harta, ilmu dan anak-anaknya ketika hidup. Pertama, Harta yang ada dibelanjakan ke jalan Allah untuk sedakah bagi sesuatu yang kekal manfaatnya selepas kematian. Justeru ia memberi pahala yang berterusan. Kedua, Ilmu yang ada disebarkan lalu dimanfaatkan oleh ramai orang. Justeru selepas kematian, si guru masih dapat memperolehi pahalanya. Ketiga, anak soleh yang berdoa untuknya.  Saya berhasrat untuk menyediakan persekitaran yang beragama untuk anak-anak saya dan merasa begitu bimbang dengan persekitaran masyarakat yang tidak menuju ke arah akhirat. Moga mereka menjadi anak-anak yang soleh yang akan mendoakan kesejahteraan saya selepas kematian.

 

 

 

Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan merenung sedalam-dalamnya ke dalam diri adakah kita telah bersedia dengan semua ini. Adakah kita berpeluang untuk memperolehi umur kedua yakni pahala dan pertolongan yang berterusan dari alam dunia ini sesudah terputusnya hubungan kita dengan alam ini. Berpeluangkah kita mendapat doa dari anak-anak kita setiap kali seusai solat mereka dan apakah ada nasihat atau secebis ilmu yang pernah kita ajar dan manfaatkan kepada insan lain. Dan apakah harta kita yang telah diwakafkan untuk kegunaan masyarakat. Inilah umur kedua yang dimaksudkan. Umur yang dapat membantu kita di sana kerana kita pada pada ketika itu sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi melainkan bergantung kepada apa yang ditinggalkan ketika hayat ini.

Dunia ini hanya sementara dan Akhirat itu selama-lamanya. Kenapa kita tidak boleh bersusah payah sedikit, untuk kesenangan selama-lamanya?

 

Sesungguhnya Allah Itu Maha Adil, adil dalam mengadili setiap perkara. Tidak ada satu perkara pun walau sebesar zarah yang akan terlepas dari perkiraannya. Maka jika kita berusaha, pasti DIA akan memberikan kita ganjaranNya.

 

 “ Barangsiapa yang bersyukur kepadaKu, nescaya akanKu tambah nikmatnya, tetapi barangsiapa yang kufur, maka ingatlah bahawa azabKu amat pedih”

 

 

Dunia ini adalah ladang akhirat. Bagaimana kita menyemai benih, begitulah kita akan memetik hasilnya. Jika baik dan betul cara semaian kita, maka baiklah hasil yang akan dituai nanti.  Sebagaimana kata-kata Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni.. Jadilah manusia langit dan jadilah manusia bumi. Dunia dan akhirat sama dititik beratkan. Berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh di dunia adalah untuk meraih ganjaran di akhirat. AMIN.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: